9 November 2023, 21:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penulis merupakan generasi kedua anak Lembaga Kemajuan Tanah Persekutan (FELDA) di salah sebuah tanah rancangan yang terletak di Gemencheh, Negeri Sembilan. Walaupun kini sedang berkhidmat di Johor Bahru dan mempunyai keluarga sendiri di sana, namun penulis sentiasa pulang ke kampung untuk bertemu dengan emak dan ayah di FELDA tersebut.

Baru-baru ini, penulis berpeluang menonton filem Gemencheh Boys di pawagam. Sebenarnya, penulis agak memilih untuk menonton filem, apatah lagi setelah mempunyai anak kecil yang membataskan diri daripada berkunjung ke pawagam. Walau bagaimanapun, filem yang dihasilkan berdasarkan kisah benar yang berlaku di kawasan FELDA berdekatan dengan rumah penulis membuatkan filem ini terasa dekat dengan pengalaman hidup penulis sendiri. Disebabkan hal ini, penulis meluangkan sedikit masa untuk menonton filem tersebut.

Filem yang merujuk kepada sekumpulan murid tidak bernasib baik yang dipanggil “Enam Jahanam” di Sekolah Kebangsaan Bukit Rokan Utara (F) membuatkan penulis mengimbau kembali pengalaman ketika bersekolah rendah di FELDA ini. Murid-murid tersebut mengalami transformasi secara mendadak setelah guru mereka memperkenalkan permainan kriket. Filem Gemencheh Boys diadaptasikan daripada kisah benar seorang bekas murid sekolah tersebut yang memenangi pingat emas di Sukan SEA 2017 dan kemudiannya mewakili Malaysia dalam Piala Dunia Kriket 2019. Filem ini menunjukkan keupayaan seorang murid FELDA, tanpa mengira latar belakang, boleh berjaya dengan keyakinan dan tekad yang kuat.

Pada mulanya, murid-murid itu tidak dilihat mempunyai masa depan yang cerah sehinggalah mereka bertemu dengan seorang guru yang bernama Cikgu Azman. Walaupun Cikgu Azman tidak mempunyai pengetahuan mengenai permainan kriket, beliau bertekad untuk menyelamatkan kanak-kanak tersebut daripada kehidupan tanpa arah tujuan di jalanan. Ketika Cikgu Azman mengkaji potensi setiap murid, beliau mendapati bahawa setiap murid mempunyai bakat terpendam yang unik. Justeru, Cikgu Azman memulakan usaha untuk menyediakan murid-murid ini bagi menyertai pertandingan. Situasi ini baginya, tiada yang mustahil untuk kanak-kanak FELDA ini menjadi atlet sebenar.

Filem tersebut turut terkait dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang digubal pada tahun 1988 yang bermatlamat untuk meningkatkan potensi setiap individu. Potensi merujuk kepada bakat dan kebolehan yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada setiap murid. Bakat dan kebolehan ini merangkumi aspek intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial yang perlu dicungkil, dikembangkan serta dipertingkatkan. Semua potensi yang ada dalam diri individu dikembangkan secara holistik, optimum dan dilaksanakan dengan mengaitkan potensi ini antara satu sama lain bagi melahirkan insan yang seimbang dengan berpandukan Rukun Negara.

Sistem pendidikan di negara lain mungkin berbeza daripada negara ini dalam menunjukkan cara kita menghargai kepelbagaian bakat murid. Namun begitu, semakin banyak negara mula menyedari bahawa betapa pentingnya untuk kita memberikan perhatian kepada kepelbagaian bakat yang ada dalam kalangan murid. Oleh hal yang demikian, terdapat beberapa buah negara mula menyediakan program pendidikan khas untuk mengembangkan bakat tertentu, seperti seni, sukan, sains atau teknologi. Menerusi bantuan program ini, murid mempunyai peluang untuk menumpukan perhatian kepada bakat unik mereka dan berkembang secara khusus dalam bidang tersebut.

Beberapa pendekatan yang lebih holistik untuk menghargai kepelbagaian bakat murid turut digunakan oleh negara lain. Sebagai contoh, pihak sekolah mula memberikan tumpuan bukan sahaja kepada kemahiran akademik, malah terhadap pembangunan kreativiti, kepimpinan dan kemahiran interpersonal. Dengan cara ini, murid berpeluang untuk mengembangkan bakat yang mungkin tidak termasuk dalam kurikulum. Selain itu, terdapat juga negara yang menyediakan sokongan kewangan dan latihan kepada murid yang menunjukkan bakat dalam bidang tertentu. Hal ini memberikan peluang kepada murid untuk mengembangkan lagi bakat, seterusnya menjadikan mereka lebih bersedia untuk berjaya dalam bidang tersebut pada masa akan datang.

Mengenal pasti dan menggali bakat setiap murid merupakan komponen penting dalam pendidikan. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap murid mempunyai potensi dan kebolehan yang berbeza. Bakat dan ciri-ciri unik setiap murid dapat dicungkil melalui proses pemerhatian, iaitu mengamati murid secara langsung atau menilai kecenderungan mereka sama ada di dalam atau di luar bilik darjah. Antara langkah penting dalam usaha ini termasuklah berkomunikasi dengan setiap murid, sama ada secara formal atau tidak formal untuk mengetahui minat, hobi, dan bakat mereka. Guru boleh memberikan peluang kepada murid untuk menyuarakan pendapat, minat, dan kecenderungan mereka melalui komunikasi.

Aktiviti di luar bilik darjah boleh menjadi wadah bagi murid dalam mengembangkan bakat mereka di luar konteks kelas. Hal ini termasuklah dengan mengambil bahagian dalam kelab, persatuan, sukan atau program yang dijalankan di luar waktu pembelajaran formal. Namun begitu, perhatian, usaha dan kesabaran guru dan komuniti sekolah sangat penting bagi mencungkil bakat setiap murid. Setiap murid mempunyai peluang untuk memanfaatkan potensi luar biasa mereka dan mengalami pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna jika metodologi yang sesuai digunakan oleh pihak yang terlibat.

Seterusnya, filem Gemencheh Boys juga mengingatkan penulis kepada filem Adiwiraku yang memenangi Anugerah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM29). Filem tersebut adalah berdasarkan kisah benar perjalanan 35 orang murid dari sebuah sekolah kampung ke pertandingan Choral Speaking peringkat negeri. Kisah ini menunjukkan kesukaran yang dihadapi oleh dua orang guru bahasa Inggeris dalam meningkatkan potensi murid mereka yang mempunyai kepelbagaian dalam keperibadian masing-masing. Mereka menghadapi pelbagai masalah yang berlaku dalam kalangan murid, termasuklah murid yang pemarah, pendiam dan kerap ponteng sekolah. Walau bagaimanapun, bagi mengatasi cabaran ini, guru-guru tersebut membuat keputusan untuk melatih dan menyerlahkan potensi murid seterusnya membawa mereka ke pertandingan Choral Speaking pada peringkat negeri.

Teori tentang potensi murid yang pelbagai merangkumi pandangan bahawa setiap murid mempunyai kebolehan dan keperluan yang berbeza. Hal tersebut menggalakkan guru untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang sesuai dan menyokong pertumbuhan murid secara holistik. Teori Kecerdasan Pelbagai (Multiple Intelligences Theory) yang diperkenalkan oleh Howard Gardner mengatakan bahawa setiap murid mempunyai kecerdasan yang terdiri daripada kombinasi pelbagai bakat dan kebolehan yang berbeza. Setiap murid juga mempunyai tahap kecerdasan dan kecergasan yang berbeza dari pelbagai aspek.

Berdasarkan teori tersebut, guru perlu peka dan mengambil kira kepelbagaian kecerdasan setiap murid semasa berlangsungnya proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini berikutan setiap individu dipercayai mempunyai sekurang-kurangnya lapan kecerdasan yang terdiri daripada verbal-linguistik, logik matematik, kinestetik, muzik, visual-ruang, interpersonal, intrapersonal dan naturalis. Selain itu, setiap individu juga dipercayai mempunyai semua jenis kecerdasan tetapi berbeza dari segi kadar kekuatannya dalam setiap kecerdasan tersebut. Bagi melahirkan generasi yang seimbang, kepelbagaian kecerdasan boleh dikembangkan melalui pengalaman, persekitaran dan pendidikan. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa kecerdasan pelbagai perlu diintegrasikan dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Teori Pembelajaran Konstruktivis (Constructivist Learning Theory) pula menekankan bahawa setiap murid mampu membina pengetahuan mereka sendiri melalui pengalaman pembelajaran aktif dan interaktif. Teori ini menekankan kepentingan pengajaran yang berpusatkan murid, iaitu murid diberi peluang untuk menyusun maklumat, menghubungkan konsep dan mencari pemahaman berdasarkan kebolehan dan personaliti mereka sendiri. Kemudian, kesan persekitaran sosial dan budaya terhadap pembangunan murid pula diambil kira dalam Teori Ekologi Sosial (Social Ecological Theory). Hal ini menekankan bahawa semua murid terlibat dalam jaringan hubungan sosial yang mempengaruhi perkembangan mereka. Justeru, guru perlu memahami latar belakang sosial dan budaya muridbagi mewujudkan persekitaran yang menyokong perkembangan mereka. Manakala, Teori Pembezaan Pengajaran (Differentiated Instruction Theory) pula mencadangkan supaya pengajaran perlu disesuaikan dengan keperluan murid kerana mereka mempunyai tahap pengetahuan dan kemahiran yang berbeza. Oleh itu, guru perlu menggunakan pelbagai pendekatan pengajaran untuk memenuhi keperluan setiap murid.

Tuntasnya, bagi menghasilkan modal insan yang dapat memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara sebagaimana yang digariskan dalam FPK, potensi individu perlu dioptimumkan dengan sebaik yang mungkin. Oleh hal yang demikian, golongan pendidik seharusnya diberikan masa yang mencukupi untuk memahami potensi dan bakat yang ada dalam diri setiap murid, seterusnya menggilap dan mengembangkan lagi potensi serta bakat tersebut.

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.