10 November 2023, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Tahun 2024 akan mencatatkan satu detik bersejarah buat UiTM Cawangan Perlis bersempena dengan 50 tahun penubuhannya. Oleh itu, sebagai persediaan untuk sambutan ulang tahun penubuhannya, Majlis Pelancaran Logo Sambutan Perayaan Jubli Emas telah diadakan dengan jayanya. Majlis ini disempurnakan oleh YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor UiTM Cawangan Perlis dan disaksikan oleh barisan Pengurusan Kanan serta warga kampus dalam Majlis Sambutan Hari Inovasi dan Majlis Penghargaan Staf 2023.

Majlis ini diadakan bagi memberikan makluman awal berkenaan Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UiTM Cawangan Perlis yang akan dilaksanakan sepanjang tahun hadapan.

Dalam ucapannya, YBhg. Rektor berkata bahawa sambutan ini sangat bertepatan bagi menghargai aspirasi kecemerlangan dan kejayaan semua pihak dalam pembangunan UiTM Cawangan Perlis.

Beliau juga menyeru agar setiap warga kampus saling menghayati dan bersama-sama meraikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UiTM Cawangan Perlis pada tahun hadapan dengan pelbagai pengisian aktiviti dan program.

Logo Sambutan Perayaan Jubli Emas telah dilancarkan oleh YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor UiTM Cawangan Perlis.

Pelbagai program telah dirancang bagi memeriahkan lagi Sambutan Jubli Emas UiTM Cawangan Perlis yang akan bermula dari bulan Januari tahun 2024 sehingga Disember 2024. Antaranya termasuklah program berbentuk akademik, sukan, kerohanian, penglibatan alumni dan lain-lain.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis merupakan sebuah institusi yang terletak di utara tanah air yang telah ditubuhkan pada tahun 1974 di Padang Katong, Kangar, Perlis. Enam tahun kemudian, Kampus Cawangan Perlis telah berpindah ke kampus tetap di Arau. Dengan keluasan 400 ekar, UiTM Cawangan Perlis kini menempatkan tujuh buah fakulti dengan jumlah enrolmen melebihi 7000 pelajar dan disokong oleh 700 staf akademik dan sokongan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.