14 November 2023, 17:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kajian Forum Ekonomi Dunia mendapati bahawa dari tahun 2015 hingga 2020, diramalkan sebanyak 4.5 peratus atau 7.1 juta orang pekerja akan hilang pekerjaan akibat kelewahan, automasi dan kemunculan teknologi canggih yang mengurangkan penggunaan guna tenaga manusia. Hal ini diburukkan lagi oleh kesan pascapandemik COVID-19, perang Rusia-Ukraine, konflik Israel-Palestin, perang dingin Amerika Syarikat-China serta kemajuan teknologi kontemporari, seperti kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan, ternyata memberikan impak terhadap kehidupan manusia sejagat.

Meskipun ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 5.6 peratus untuk suku tahun pertama tahun 2023, namun ekonomi dunia pula diunjurkan berkembang pada kadar tiga peratus pada tahun 2023 dan dijangka menguncup kepada 2.7 pada tahun 2024. Jika trend ini berterusan, sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada kebolehpasaran graduan kita pada masa hadapan.

Oleh sebab itulah, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengambil langkah proaktif sebagai persediaan menghadapi cabaran-cabaran getir yang mendatang.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sewaktu menyampaikan ucap utama di Persidangan Pasaran Kerja Graduan pada 1 November 2023 lalu, anjuran Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), beliau menekankan soal kepentingan dalam memperkasakan hubungan strategik antara universiti dengan industri bagi meningkatkan kualiti kebolehpasaran graduan serta menghasilkan kuantiti graduan memperoleh gaji premium.

Bagi meningkatkan kualiti graduan, mengurangkan pengangguran dan ketidakpadanan pekerjaan, KPT mengambil langkah proaktif dengan menggariskan empat strategi utama iaitu, semakan berterusan kandungan dan kualiti pengajian; mempergiat kerjasama erat dengan industri; kerjasama rentas kementerian dan agensi serta memantapkan platform yang berupaya memadankan industri dan graduan.

Satu daripada contoh kerjasama misalnya melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPT dengan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) yang mencakupi pelbagai program termasuklah pensijilan kualiti dan pengiktirafan yang berkaitan, selain usaha mewujudkan platform digital, iaitu Graduate Employability Management (GEM) bagi membolehkan graduan di bawah KPT memohon latihan amali dan pekerjaan serta membantu pihak industri mengenal pasti graduan yang bersesuaian. Malah, dalam kenyataan sebelumnya, beliau pernah menyebut, KPT akan memberikan tumpuan dalam mempergiat lebih banyak program bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman turut memberikan maklum balas terhadap kenyataan tersebut ketika melancarkan Karnival Kerjaya 20 Universiti Awam anjuran KPT dan Majlis Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya Universiti Awam (MyGRAD) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka pada 28 Oktober lalu. Jelasnya, beliau menyambut baik program tersebut yang telah berjaya membantu sekitar lapan ribu orang mendapat pekerjaan dan berupaya menarik lebih 20 ribu orang pengunjung. Meskipun beliau mengakui dan bersyukur bahawa kadar kebolehpasaran graduan universiti awam telah meningkat daripada 85.5 peratus (tahun 2021) kepada 90.2 peratus (tahun 2022), namun beliau turut menekankan aspek penting dalam menghasilkan kualiti dan kuantiti graduan yang mahir serta kompeten, selain mencari kaedah penyelesaian terbaik dalam menghadapi cabaran bagi mengurangkan pengangguran graduan, ketidakpadanan kerja dan gaji permulaan graduan yang rendah ditingkatkan kepada gaji premium.

Persoalannya, apakah inisiatif terbaik yang dapat dikemukakan demi meningkatkan kebolehpasaran graduan, sekali gus memperkasakan mereka menjadi graduan unggul kalis masa depan?

Pertama, usaha bersepadu lagi menyeluruh bagi menggembleng kesemua pemegang taruh dalam merealisasikan kolaborasi strategik untuk mempersiapkan graduan berkualiti, unggul serta bernilai tinggi bagi memenuhi piawai industri dan teknologi terkini yang relevan dengan kehendak zaman. Sebagai contoh, antaranya melalui program seperti Industry@University, CEO@Facultydan Industry Advisory Council.

Kedua, selain meningkatkan kebolehpasaran graduan, fokus pihak KPT kini merancakkan ikhtiar bagi meningkatkan bilangan peratusan graduan yang memperoleh gaji premium dalam industri termasuklah memperbanyak program pensijilan profesional yang memenuhi kehendak industri, memberikan pendedahan latihan industri secukupnya melalui kaedah pembelajaran berasaskan pekerjaan seperti program pengajian mod 2u2i. 2u2i adalah satu jenama yang boleh diterjemahkan ke dalam pelbagai jenis pengajian seperti dua (2) tahun dalam industri (2u2i). Program akademik 2u2i menggabungkan pembelajaran akademik dan aplikasi pembelajaran sebenar di tempat kerja. Selain itu, program teaching factory juga dapat membantu persediaan graduan untuk melangkah masuk ke dalam industri.

Ketiga, dengan adanya pemantapan platform pemadanan kerja yang komprehensif, graduan boleh mencari pekerjaan dalam industri dengan efisien secara dalam talian. Dari sudut industri pula, platform ini memudahkan mereka untuk mencari graduan yang berpotensi sesuai dengan kemahiran dan jawatan yang ditawarkan. Hal ini dapat mengurangkan peratusan ketidakpadanan pekerjaan dengan bidang pengajian graduan. Meskipun peratusan kebolehpasaran graduan universiti awam masa kini adalah tinggi, namun angka itu termasuk bagi graduan yang menceburi bidang ekonomi gig dan keusahawanan yang ada kalanya pekerjaan itu tidak semestinya memerlukan pendidikan tertiari dan kelayakan tinggi.

Keempat, memperhebat pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai pemangkin terhadap kemajuan negara dengan membangunkan bakat tempatan baharu yang berkemahiran tinggi. Buktinya, kerajaan menunjukkan komitmen yang tinggi apabila memperuntukkan sebanyak RM6.8 bilion untuk TVET dalam Belanjawan 2024. Tumpuan juga seharusnya diperluaskan dalam bidang kemahiran tinggi seperti AI, yang bakal ditubuhkan di Universiti Teknologi Malaysia dengan peruntukan awal sebanyak RM20 juta ringgit.

Kelima, memperhebat program berimpak tinggi seperti Karnival Kerjaya yang berfokuskan bidang pengajian di institusi pendidikan tinggi, simposium dan wacana antarabangsa dan kebangsaan yang membincangkan dan mengupas dengan serius perihal isu pasaran kerja graduan masa depan seperti forum gaji premium dan persidangan kebolehpasaran graduan pada peringkat antarabangsa.

Secara tuntasnya, sebagaimana yang diungkapkan oleh para pujangga, kita barangkali tidak mampu meramal dengan tepat berhubung masa depan, tetapi pastinya kita berupaya mempersiapkan usaha untuk melahirkan graduan berkualiti bagi memperoleh kegemilangan masa depan. Bak kata pepatah Inggeris, “success depends upon previous preparation, and without such preparation there is sure to be failure”. Maka, sama-samalah kita berusaha untuk mencapainya!

Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkap Pengerusi Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya Universiti Awam (MyGRAD).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.