22 November 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa memerlukan satu falsafah yang dapat dijadikan sebagai pegangan untuk hidup secara rukun dan damai. Bagi merealisasikan perkara tersebut, Rukun Negara diperkenalkan. Rukun Negara diisytiharkan secara rasmi pada 31 Ogos 1970 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong IV, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin. Rukun Negara digubal sebagai falsafah negara susulan peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang telah menguji perpaduan kaum di negara ini.

Rukun Negara yang dibentuk bertujuan untuk mengatasi segala perbezaan yang terdapat dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Oleh sebab itu, unsur-unsur yang terkandung dalam Rukun Negara tidak menampakkan hak milik sesuatu kaum dan bersifat sejagat. Lima prinsip Rukun Negara dibentuk berdasarkan acuan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Prinsip-prinsip yang terbina dapat memperkukuhkan perpaduan kaum dan membendung gejala sosial melalui penghayatan terhadap kepercayaan kepada Tuhan yang merupakan prinsip pertama dalam Rukun Negara.

Berdasarkan prinsip kepercayaan kepada Tuhan, rakyat Malaysia berbilang kaum mengakui bahawa Tuhan melebihi kuasa yang lain. Prinsip pertama itu juga menzahirkan bahawa rakyat Malaysia berpegang teguh kepada ajaran agama masing-masing yang menjadi unsur penting dalam membentuk rohani dan jasmani yang seimbang dan sempurna. Individu yang patuh kepada ajaran agama akan mempunyai budi pekerti yang mulia dan sifat-sifat terpuji. Melalui agama, keperibadian individu dibentuk ke arah lebih baik.

Pegangan yang kukuh terhadap ajaran agama dapat menghindarkan seseorang daripada terjebak dengan gejala sosial. Oleh sebab itu, kepercayaan kepada Tuhan dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara kerana kepentingan ajaran agama masing-masing dalam membentuk keperibadian yang baik sekali gus menjauhkan masyarakat daripada gejala sosial.

Gejala sosial merupakan perbuatan negatif yang dipandang serong oleh masyarakat dan bertentangan dengan ajaran agama. Gejala sosial seperti vandalisme, merokok, berkhalwat, membuli, menonton pornografi, penyalahgunaan dadah dan lumba haram begitu sinonim dengan remaja dan belia pada hari ini. Perbuatan melanggar peraturan sekolah yang dilakukan oleh pelajar sejak di bangku sekolah boleh terbawa-bawa hingga ke alam pekerjaan. Mereka yang sudah terbiasa dengan gejala negatif tersebut akan melakukan perbuatan lewat masuk kerja dan sering melanggar peraturan di tempat kerja.

Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan gejala sosial masih membelenggu masyarakat kini. Punca utama ialah kurangnya penghayatan dan pengamalan inti pati pendidikan agama atau moral dalam diri setiap individu. Pendidikan agama atau moral yang diajar pada peringkat sekolah tidak hanya terbatas untuk pelajar lulus dalam peperiksaan semata-mata. Pendidikan agama atau moral harus dihayati dan diamalkan oleh pelajar dalam kehidupan seharian mereka. Walau bagaimanapun, terdapat sebilangan pelajar yang lulus dalam peperiksaan pendidikan agama atau moral namun  masih terjebak dengan gejala sosial kerana inti pati pendidikan tersebut tidak dihayati dan diamalkan oleh mereka.

Selain itu, kurangnya didikan dalam kalangan remaja agama turut menyumbang kepada peningkatan gejala sosial. Ibu bapa bertanggungjawab memberikan didikan agama kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Ibu bapa merupakan suri teladan buat anak-anak dan menjadi sumber pembelajaran agama yang terawal. Jika ibu bapa sendiri tidak menunjukkan tingkah laku yang baik dan bermoral, maka anak-anak juga akan mencontohi setiap tingkah laku mereka, bak kata pepatah, ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi. Ibu bapa berperanan mendidik anak-anak untuk mengamalkan nilai-nilai murni seperti saling menghormati, tolong-menolong, berkasih sayang dan bertanggungjawab, mereka perlu membina hubungan kekeluargaan yang baik dengan anak-anak terutamanya apabila mereka meningkat usia remaja.

Hubungan dingin antara ibu bapa dengan anak-anak boleh menyebabkan mereka mencari alternatif lain untuk mendapatkan perhatian, kasih sayang dan meluahkan perasaan. Alternatif yang paling dekat ialah rakan sebaya. Mereka akan kerap meluangkan masa bersama-sama dan saling mempercayai antara satu sama lain, berbanding dengan keluarga sendiri. Lebih membimbangkan apabila rakan sebaya mereka ialah individu yang terlibat dengan pelbagai salah laku dan jenayah. Oleh itu, pentingnya hubungan baik antara ibu bapa dengan anak-anak terutamanya pada usia remaja agar mereka tidak terjebak dengan salah laku dan jenayah.

Internet dan media sosial juga amat mempengaruhi tingkah laku anak-anak pada masa ini. Kewujudan Internet menjadikan dunia tanpa sempadan dan segala maklumat berada pada hujung jari. Hal ini membolehkan anak-anak muda mengakses pelbagai maklumat tanpa sempadan. Sebagai contoh, dengan mengakses laman sesawang yang mempunyai unsur pornografi yang boleh menyebabkan anak-anak muda terjerumus dengan gejala sosial seperti sumbang mahram, berkhalwat, seks luar nikah dan rogol. Terdapat juga laman sesawang dan aplikasi media sosial yang mempromosikan aktiviti pelacuran. Buli siber juga semakin berleluasa dengan wujudnya media sosial. Pendek kata, gejala sosial kini turut menguasai alam siber.

Bagi memperkukuh penghayatan prinsip kepercayaan kepada Tuhan dalam kalangan masyarakat, pendidikan agama atau moral perlu diajar atau disampaikan oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Selain itu, warga pendidik, agamawan sama ada pada peringkat sekolah mahupun institusi pengajian tinggi, perlu menyampaikan ajaran agama atau moral secara lebih menyeluruh. Ibu bapa merupakan ‘guru’ pertama buat anak-anak. Jika ibu bapa tidak menghayati dan memberikan didikan agama, maka anak-anak akan semakin dekat dengan gejala sosial. Lebih membimbangkan apabila mereka terpengaruh dengan rakan sebaya yang negatif.

Warga pendidik khususnya para guru berperanan dalam menyampaikan inti pati pendidikan agama atau moral di sekolah selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang kemudiannya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan Falsafah Pendidikan Islam (FPI). FPK bersifat umum untuk semua kaum dan agama, manakala FPI khusus untuk mata pelajaran Pendidikan Islam. FPN digubal pada tahun 1988. FPN ditukar kepada FPK pada tahun 1996.

Menurut FPK, pendidikan di Malaysia merupakan suatu usaha berterusan ke arah memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek (JERI), berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha tersebut bertujuan bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Pernyataan falsafah tersebut menegaskan bahawa sistem pendidikan negara memberikan penekanan terhadap perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu ke arah melahirkan insan yang baik, berdasarkan kepercayaan, keyakinan dan kepatuhan kepada Tuhan. Hal ini bermakna FPK berhasrat untuk melahirkan insan yang berpegang teguh kepada agama. Insan yang berpegang teguh kepada ajaran agama akan melahirkan rakyat Malaysia yang baik budi pekerti. Mereka ini akan memperlihatkan ciri-ciri seperti yang berikut:

  1. Memiliki dan menghayati kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
  2. Berilmu pengetahuan.
  3. Berakhlak mulia.
  4. Bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara
  5. Berbakti dan memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara.
  6. Memiliki sahsiah diri yang seimbang.

FPI pula bermatlamat untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah SWT yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat. Matlamat FPK dan FPI adalah sama, iaitu untuk membentuk insan yang seimbang dan harmonis dari segi JERI. Cuma perbezaan dari sudut pengistilahan Tuhan dalam FPK dan Allah dalam FPI.

Oleh hal yang demikian, sekolah dipertanggungjawabkan untuk membentuk insan yang seimbang dari segi JERI. Jasmani merupakan indikator penting untuk melahirkan insan yang cemerlang. Jasmani yang sihat boleh disifatkan sebagai yang berikut:

  1. Sihat tubuh badan.
  2. Sentiasa solat, riadah dan aktif.
  3. Sentiasa sedar, mengasah, membina bakat dan keupayaan diri.
  4. Sentiasa mengamalkan sikap ingin mencuba dan berdikari.
  5. Memanfaatkan kebolehan dan keupayaan diri untuk kesejahteraan diri dan masyarakat.
  6. Berusaha meningkatkan produktiviti pengeluaran.

Emosi yang sihat adalah emosi yang seimbang dan harmonis. Emosi yang seimbang dapat membentuk pemikiran dan tingkah laku individu ke arah yang lebih baik. Individu yang sihat, seimbang dan harmonis dari aspek emosi mempunyai ciri-ciri seperti yang berikut:

  1. Mempunyai perasaan tenang dan tingkah laku yang terkawal.
  2. Memiliki perasaan kasih dan sayang kepada semua makhluk.
  3. Memiliki semangat perpaduan, kekitaan dan menghormati orang lain.
  4. Memelihara dan menghargai keindahan alam semula jadi.
  5. Menghargai dan menghormati keindahan ciptaan manusia selagi tidak bertentangan dengan agama dan adat budaya.
  6. Sentiasa bersikap matang dan terbuka.

Individu yang mempunyai keteguhan rohani pula akan memiliki ciri-ciri seperti yang berikut:

  1. Mengakui dan meyakini adanya Pencipta (Tuhan) serta mempercayai-Nya.
  2. Sentiasa melaksanakan tanggungjawab kepada agama, diri, masyarakat, bangsa dan negara.
  3. Sentiasa mensyukuri anugerah Tuhan, pemberian negara, masyarakat dan keluarga.
  4. Menyemai dan membina disiplin diri yang tinggi.
  5. Membentuk tingkah laku sopan dan berakhlak terpuji.

Individu yang intelek memiliki keseimbangan dan harmonis serta mengamalkan ilmu, sihat tubuh badan, hidup bermasyarakat, tenang dan proaktif. Individu yang berfikiran intelektual akan memiliki ciri-ciri seperti yang berikut:

  1. Menguasai kemahiran asas, iaitu membaca, menulis dan mengira.
  2. Kuat berusaha untuk mencari, memperbaiki, meneliti, memperkukuh, mempertingkat, mengamal dan menyebarkan ilmu.
  3. Sentiasa berfikiran kreatif, kritis dan inovatif serta menghasilkan idea-idea baharu yang bernas dan menyelesaikan isu-isu dalam masyarakat.
  4. Sentiasa berupaya mengembang dan memanfaatkan ilmu bagi kemajuan diri, keluarga dan masyarakat.

Pendidikan agama dan moral telah wujud dalam sistem pendidikan negara sejak dahulu lagi. Namun begitu, tugas yang paling mencabar adalah untuk memastikan pelajar menghayati dan mengamalkan pendidikan agama atau moral dalam kehidupan seharian mereka agar terhindar daripada gejala sosial. Dalam hal ini, perkara tersebut bukanlah tanggungjawab para guru di sekolah semata-mata, namun ibu bapa juga perlu memainkan peranan.

Pengenalan kursus Falsafah dan Isu Semasa (FIS) pada peringkat institusi pengajian tinggi dapat menyambung usaha para guru dalam memperkukuh insan yang seimbang dari segi JERI. Kursus FIS dan Penghayatan Etika dan Peradaban (PEP) mula diperkenalkan di universiti awam bermula sesi 2019/2020. Dr. Maszlee Malik yang pada ketika itu menjawat jawatan Menteri Pendidikan (2018 – 2020) menjadi individu yang bertanggungjawab memperkenalkan kursus FIS dan PEP bagi menggantikan kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) dan Hubungan Etnik.

Kursus FIS diletakkan di atas landasan FPK dan Rukun Negara yang bertujuan untuk membina insan beretika yang seimbang dan harmonis dari segi JERI. Melalui kursus tersebut, mahasiswa dapat menghayati FPK dan Rukun Negara, terutamanya pada prinsip pertama, iaitu kepercayaan kepada Tuhan. Penghayatan mahasiswa terhadap prinsip kepercayaan kepada Tuhan melalui kursus FIS dapat memperkukuh pegangan agama dan moral individu yang sebelum ini telah dibentuk melalui didikan ibu bapa dan guru.

Institusi agama dan agamawan juga tidak terkecuali dalam memastikan masyarakat mematuhi ajaran agama dalam kehidupan seharian dan membendung gejala sosial. Agamawan perlulah sentiasa cakna terhadap perkembangan semasa khususnya gejala sosial yang membelenggu anak-anak muda. Pematuhan terhadap ajaran agama dilakukan oleh institusi agama melalui pendidikan seperti program keagamaan, kempen kesedaran, perkongsian maklumat serta penulisan artikel dan buku. Program keagamaan perlu rancak diadakan di rumah-rumah ibadat dan melalui media massa atau media sosial.

Gejala sosial merupakan masalah yang tiada kesudahan. Namun begitu, perkara tersebut tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang penyelesaian. Sinergi antara ibu bapa, warga pendidik, institusi agama dan agamawan umpama bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Hal ini demikian kerana kerjasama daripada semua pihak dapat membentuk dan melahirkan insan yang menghayati kepercayaan kepada Tuhan serta mampu menghindarkan diri daripada gejala sosial. Gejala sosial pasti akan berlaku, namun hanya jumlah individu yang terlibat sahaja dapat dikurangkan dari tahun demi tahun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.