25 November 2023, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil telah berjaya menamatkan pengajian pada peringat Ijazah Doktor Falsafah dari Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM).

Baginda telah menerima skrol pengijazahan yang telah disempurnakan oleh Sultan Perak, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah yang juga merupakan Canselor UM pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-63 UM yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, pada hari ini.

Baginda telah berjaya lulus dari API dengan tesis dalam bahasa Inggeris yang bertajuk “The Importance of Islamic Regal Leadership in Zakat Delivery to the Asnaf in Perlis”.

Sebagai rekod, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur sebelum meneruskan sesi persekolahan di Merton Hall-Melbourne Girls Grammar School di Australia hingga tingkatan enam.

Baginda kemudian meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda (Bachelor Humanities) di La Trobe University, Melbourne, Australia pada tahun 1989 dan melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya, iaitu Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada tahun 2014.

Tuanku Raja Puan Muda Perlis juga merupakan Pro-Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan merupakan Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Selain itu, baginda turut memegang pangkat Mejar Kehormat dalam Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat, dianugerahkan Sayap Kehormat Polis DiRaja Thailand pada 2019 dan Doktor Kehormat (Honoris Causa) Sains Kesihatan dari Universidad Nacional Pedro Henriquez Urena, Republik Dominica.

DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah bergambar kenangan bersama-sama DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta anakanda baginda, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail

Turut berangkat sama dalam istiadat tersebut ialah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta anakanda baginda berdua, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.