28 November 2023, 21:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Khairul Azhar Baharuddin

Bangi – Dasar Pendidikan Digital merupakan isyarat komitmen kerajaan dalam memastikan generasi fasih digital yang berdaya saing dapat dilahirkan, sekali gus membentuk sebuah ekosistem yang saling berkait, iaitu pemerkasaan keupayaan digital murid, guru dan pemimpin pendidikan, dengan pengukuhan sokongan infrastruktur dan infostruktur serta jalinan pelibatan aktif rakan strategik sebagai pemangkin.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek berkata demikian semasa merasmikan Majlis Peluncuran Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Bangi Avenue pada petang tadi.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Peluncuran Dasar Pendidikan Digital (DPD).

Selain memfokuskan Dasar Pendidikan Digital yang telah menggariskan enam teras strategik yang merangkumi Murid Fasih Digital; Pendidik Kompeten Digital; Budaya Kepimpinan Digital Berwawasan; Pengupayaan Infostruktur dan Infrastruktur; Kandungan Digital Berkualiti dan Rakan Strategik yang Komited, YB Menteri Pendidikan turut menegaskan keperluan dalam melihat cabaran lain yang memberikan impak kepada dasar pendidikan digital ini.

KPM menyedari bahawa masih terdapat jurang digital antara murid di kawasan bandar dengan luar bandar. Bagi mengurangkan jurang akses sumber pembelajaran murid terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, KPM memperkasakan 367 buah Pusat Kegiatan Guru (PKG) dan 16 buah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri di seluruh negara sebagai pusat kecemerlangan (Centre of Excellence – CoE) untuk inisiatif pendidikan digital.

Antara insitiatif lain yang telah diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuklah penyediaan, pemasangan dan pembekalan peralatan dan perkakasan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP), penyediaan capaian jalur lebar Internet untuk 10 233 sekolah di bawah KPM serta penambahbaikan kemudahan kelas hibrid di 110 buah institusi pendidikan terpilih yang melibatkan 550 buah bilik darjah yang akan mengupayakan PdP secara digital dan bersemuka dalam satu ekosistem yang sama.

Barisan tetamu kehormat merakamkan gambar bersama-sama dengan sebahagian daripada penerima peranti tablet sumbangan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang diserahkan kepada Yayasan Didik Negara selaku penyelaras sumbangan dan bantuan kepada murid-murid.

Selain itu, dalam mengupayakan pendidik yang kompeten digital, KPM melaksanakan pengesahan saringan tahap kompetensi digital dalam kalangan warga pendidik. Dalam masa yang sama, guru juga digalakkan untuk membangunkan kompetensi digital secara kendiri bagi memenuhi keperluan dalam melaksanakan tugas mereka.

Menyentuh mengenai cabaran lain yang perlu dilihat, YB Fadhlina Sidek menegaskan kepentingan sisi manusiawi yang perlu turut sama menjadi keutamaan tatkala melaksanakan dasar ini. Sisi manusiawi atau “kesejahteraan digital” ini merupakan antara elemen penting dalam memastikan bahawa aspek moral juga diberikan penekanan.

Sisi manusiawi, sisi insani, sisi moral ini mesti dilihat dalam konteks tidak berlakunya ‘cyber-bully’ dalam konteks peringkat teknologi ini.

Begitu juga dengan peranan guru. Konteks digital ini tidak boleh mengambil alih peranan guru sepenuhnya – peranan guru untuk mengangkat kompetensi dan memastikan ‘cybergogy’ dalam dunia digital ini benar-benar dapat dilaksanakan sepenuhnya.

YB Fadhlina Sidek turut mengambil kesempatan dalam majlis ini untuk merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada KPM atas anugerah Malaysia Digital Transformation Award: Special Mention – The Inter-Agency Award oleh GovInsider bagi usaha pasukan pelantar DELIMa dalam memacu pembelajaran digital di Malaysia, iaitu  pengiktirafan kedua yang diterima oleh DELIMa pada tahun 2023.

YB Fadhlina Sidek mengunjungi reruai pameran di ruang legar Pusat Konvensyen Bangi Avenue.

YB Menteri Pendidikan juga merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan Malaysia yang telah dijulang sebagai juara keseluruhan bagi kejohanan World Robot Olympiad (WRO) International yang berlangsung di Panama City, Panama. Kejayaan ini menurut beliau telah menunjukkan kompetensi dan kesediaan Malaysia untuk berada di pentas antarabangsa.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pendidikan; YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah yang menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia); YBrs. Tuan Wan Hashim Wan Rahim, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM; YBrs. Tuan Zainal Abas, Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (merangkap Pengerusi Pengelola Majlis Peluncuran Dasar Pendidikan Digital) dan YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.