29 November 2023, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli

Kuala Lumpur – “Untuk memastikan kes buli siber tidak terus menular, setiap remaja haruslah berhati-hati sewaktu melayari media sosial.” Begitulah antara ayat yang dipetik dalam ruangan Cakna dalam majalah Dewan Siswa, bil.11/2023 oleh peserta Program Majalah Dalam Kelas yang diadakan di Dewan Tun Templers 2, Maktab Tentera Diraja, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, pada hari ini.

Program Majalah Dalam Kelas atau singkatanya MDK telah dihadiri oleh 173 orang pelajar dari 11 buah sekolah, iaitu Maktab Tentera Diraja Kem  Perdana Sungai Besi, Maktab Rendah Sains Mara Sultan Azlan Shah, Maktab Rendah Sains Mara Ulul Albab Felda Trolak, Sekolah Menengah Sains Muar, Sekolah Menengah Sains Tengku  Muhammad Faris Petra, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sekolah Sultan Alam Shah, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas, Sekolah Menengah Kebangsan Victoria dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga.

Antara pelajar yang menyertai program MDK di Dewan Tun Templers 2, Maktab Tentera Diraja, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Para pelajar sedang berbincang untuk melaksanakan tugasan yang diberikan.

Pelaksanaan Program MDK adalah sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menginginkan para pelajar terlibat dalam proses pembudayaan ilmu termasuklah menjadikan pembacaan sebagai satu budaya hidup. Program ini juga bertujuan untuk membantu guru Bahasa Melayu, khasnya dalam mempelbagaikan kaedah, teknik dan bahan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Selain itu, Program MDK turut diadakan untuk mendekatkan pelajar dengan majalah terbitan DBP.

Antara pengisian program MDK ialah taklimat tentang peluang penerbitan dalam Majalah Dewan Siswa yang disampaikan oleh Editor Dewan Siswa, aktiviti menukarkan cerpen kepada sajak dan kuiz menara belon.

Editor Dewan Siswa sedang menyampaikan taklimat kepada para peserta.

Dalam program MDK ini, para pelajar telah dibahagikan kepada 17 kumpulan dan setiap kumpulan perlu menghasilkan sajak berdasarkan artikel atau cerpen yang terdapat dalam majalah yang dibekalkan. Rata-rata pelajar dapat menghasilkan sajak yang baik dan indah dalam masa yang singkat. Antara bait sajak yang dihasilkan oleh kumpulan pelajar tersebut ialah:

Takdir kita sentiasa manis,

hanya kau yang segan menikmatinya,

walau sukar berdepan dengan ranah kehidupan,

kau tetap cuba lakukan yang terbaik.

Ternyata para peserta program MDK ini bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah mempunyai potensi yang boleh digilap untuk menghasilkan karya sastera yang lebih baik dan bermutu pada masa akan datang.

Pelajar sedang membaca artikel yang diberikan untuk menghasilkan sajak.
Program MDK dapat mendekatkan pelajar dengan majalah terbitan DBP.

Turut hadir sama dalam program ini ialah guru-guru pengiring dari 11 buah sekolah yang terlibat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.