30 November 2023, 15:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Bertemakan Sarawak sebagai peneraju sektor tenaga boleh baharu di rantau Asia, buat julung-julung kalinya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengungkapkan kemajuan dan pencapaian ekonomi baharu bumi kenyalang, terutamanya dalam sektor peralihan tenaga melalui penerbitan majalah Dewan Masyarakat Edisi Khas.

Penerbitan majalah ini merupakan hasil kerjasama antara DBP dengan kerjasama Pejabat Premier Sarawak bersempena dengan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka.

Lanjutan daripada kerjasama penerbitan tersebut, Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg menerima kunjungan hormat daripada DBP yang diketuai oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari bersama-sama Pengarah Penerbitan, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Abang Julai; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; dan sidang editor majalah Dewan Masyarakat Edisi Khas, iaitu Encik Abd Kadir Mohd Ayub dan Puan Norfaranieza Muhd Arifin, di Menara Pelita pada pagi ini.

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg membelek naskhah majalah Dewan Masyarakat Edisi Khas yang diterbitkan oleh DBP bersempena dengan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka dalam sesi penyerahan majalah di Menara Pelita pada pagi ini.

Dalam pertemuan tersebut, Premier Sarawak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas inisiatif DBP mendokumentasikan usaha Kerajaan Negeri Sarawak, terutamanya dalam konteks pembangunan sektor tenaga boleh baharu menerusi penerbitan eksklusif ini.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari  turut menyerahkan bingkai gambar yang menampilkan kulit majalah Dewan Masyarakat Edisi Khas kepada Premier Sarawak sebagai simbolik penyerahan dan penghargaan bagi penerbitan majalah ini.

Majalah setebal 68 halaman ini memuatkan hasil wawancara bersama-sama Premier Sarawak dan kandungan majalah berkenaan yang berkisar tentang pembangunan negeri Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak dalam aspek politik, sosial dan ekonomi, terutamanya dalam pembangunan sektor tenaga boleh baharu sebagai tenaga terbesar serta bernilai tinggi di Malaysia yang diterajui oleh kerajaan negeri Sarawak.

Bagi memastikan usaha penerbitan ini berjalan dengan lancar, sebanyak 14 penulis kelahiran Sarawak dalam pelbagai bidang telah mengutarakan pandangan dan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Sarawak dalam meningkatkan pembangunan negeri, terutamanya dalam konteks pembangunan sektor tenaga boleh baharu melalui penulisan rencana.

Antara penulis yang terlibat termasuklah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara, YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir; pensyarah di Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaysia, Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi; Pengarah, Institut Tenaga Lestari dan Diperbaharui, Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Ts. Dr. Shanti Faridah Salleh; dan Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari yang menyumbangkan puisi dalam keluaran istimewa ini.

Premier Sarawak meneliti naskhah Kamus Melayu Sarawak – Melayu Dewan terbitan DBP yang dilancarkan pada Oktober lalu di UNIMAS.

Dalam konteks pembangunan, Sarawak menumpukan pembangunan sektor tenaga, terutamanya tenaga boleh baharu dan tenaga hijau yang akan menjadi tunjang kepada ekonomi negeri ini menuju tahun 2030.

Ketua Pengarah DBP menyampaikan cenderamata kepada Premier Sarawak atas kesudian pihak Pejabat Premier Sarawak menerima kunjungan hormat daripada DBP.

Turut hadir dalam pertemuan ini ialah Pegawai Komunikasi Korporat DBP Cawangan Sarawak, Puan Siti Nur Atiqah Amirudin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.