Oleh Awang Sariyan
7 Disember 2023, 10:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rang Undang-undang Perbekalan 2024 telah diluluskan oleh Persidangan Dewan Rakyat selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen melalui undian suara. Tahniah diucapkan kepada kerajaan, khasnya Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri kerana menggariskan hal-hal penting yang berkaitan dengan perancangan ekonomi negara, bermula dengan pernyataan hala tuju ekonomi negara di bawah payung Ekonomi Madani. Antara lain yang digariskan termasuklah “Memperkasakan Rakyat; Pelan Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2023 dan Belanjawan Madani”.

Syabas juga kepada kerajaan kerana tercapainya pertumbuhan ekonomi negara sebagaimana yang tertayang pada beberapa kenyataan, iaitu (1) Kadar inflasi turun daripada 4 peratus kepada 1.8 peratus, setakat bulan Oktober 2023; (2) Tahap pengangguran turun kepada 3.4 peratus, setakat bulan September 2023; dan (3) Ekonomi negara berkembang dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga tahun 2023 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus, sejajar dengan unjuran 4 peratus KDNK pada tahun 2023.

Lunas-lunas Penting Pembangunan Negara

Sebagai asas perbincangan untuk maksud memperkukuh rancangan ekonomi negara, kita harus bermula dengan penegasan beberapa lunas penting, antaranya seperti huraian yang berikut:

  1. Keperluan kerajaan mempertegas dan memperjelas falsafah pembangunan negara supaya pembangunan negara tidak berlangsung semata-mata sebagai satu proses yang mekanis sifatnya – Falsafah penting dalam segenap aspek kehidupan. Falsafah bukan retorik “permainan bahasa” atau pernyataan utopia yang tidak mungkin tercapai. Sebaliknya falsafah menggariskan hala tuju dan pengisian program pembangunan negara. Sebagaimana kata Prof. Hamka, setiap gerak dan tindakan manusia ada falsafah di sebaliknya. Tentang hal makan minum sahaja pun ada falsafah di sebaliknya, sebagaimana yang terungkap dalam pernyataan “Makan untuk hidup” dan “Hidup untuk makan”.
  2. Lunas utama pembangunan negara berkaitan rapat dengan cita-cita atau aspirasi negara. Antaranya termasuklah keadilan sosial, perpaduan, patriotisme, pembangunan yang berasaskan jati diri, nilai dan budaya negara, kesejahteraan fizikal dan mental serta keselamatan. Dalam konteks ini, maqasid syariah sewajarnya menjadi titik perhatian para perancang dan pelaksana pembangunan negara. Aspek kesihatan mental dan kejiwaan juga perlu dititikberatkan kerana boleh menjadi tekanan kepada kehidupan manusia yang kian mencabar dengan pertambahan manusia. Keadaan ini termasuklah juga di negara kita yang mengalami masalah kesihatan mental dan kejiwaan, sehingga pembangunan negara perlu mengatur program untuk memelihara aspek kesihatan tersebut. Apakah makna negara maju? Adakah dengan berpendapatan tinggi, peningkatan KDNK dan kecanggihan prasarananya? Jika semua aspek yang berkaitan dengan cita-cita negara tidak dapat dipenuhi, adakah negara masih dianggap maju? Sesungguhnya program pembangunan ekonomi merupakan wasilah, sementara pemenuhan aspirasi negara merupakan matlamatnya.
  3. Sehubungan dengan itu, perancang dan pelaksana program pembangunan negara perlu menghayati perkara ini dengan jelas agar semua aspek kehidupan yang mewakili makna “tamadun” atau “peradaban” diberi perhatian secara seimbang dan holistik, meskipun tentu ada pertimbangan keutamaan dalam sejumlah keutamaan. Pembangunan perlu senantiasa dipertalikan dengan pembangunan sosial, pendidikan, kebudayaan, bahasa, persuratan atau kesusasteraan, kelestarian alam sekitar, selaras dengan taklif manusia sebagai khalifah fil Ardh atau wakil Tuhan di muka bumi yang berkewajiban menjaga, memelihara dan memulihara kehidupan dan alam daripada kerosakan dan kebinasaan. Soal membentuk warganegara yang berakhlak, bersahsiah positif, berintegriti, mengamalkan budaya ilmu dan berfikir secara kreatif dan inovatif merupakan hasrat utama dalam pembangunan negara. Peringatan Perdana Menteri yang sering dinyatakan, iaitu “Kecemerlangan tanpa jiwa” (Excellence without a soul) yang diinspirasikan daripada buku dengan judul yang sedemikian karya Harry R. Lewis (2006) perlu diterjemahkan dalam pelaksanaan program pembangunan negara. Kita mendambakan warganegara yang bukan sahaja mencapai tahap sosioekonomi yang tinggi bahkan mempunyai daya fikir yang tinggi juga, apatah lagi dalam kalangan pemimpin pada pelbagai peringkat.
  4. Asas pembangunan negara amat rapat dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Sejajar dengan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara, semua pemimpin dan rakyat wajib dengan ikhlasnya menghormati dan menghayati Perlembagaan Persekutuan. Usahlah “lain di mulut lain di hati” atau “telunjuk lurus kelingking berkait”. Tidak wajar sesiapa jua mempersoalkan peruntukan teras dalam Perlembagaan Persekutuan, meskipun tentu terbuka ruang untuk sesiapa jua mengulas dan menilai aspek pelaksanaannya yang mungkin sebahagiannya tersasar atau menyimpang daripada semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan itu. Sehubungan dengan itu, larangan menyinggung perkara 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) hendaklah ditakrifkan dan ditafsirkan dengan betul. Larangan hendaklah berkaitan dengan pernyataan atau tindakan yang bercanggah dengan peruntukan perihal 3R dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu penghinaan kepada peruntukan tentang kedudukan Raja, agama Islam sebagai agama Persekutuan dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak sah kaum-kaum lain. Adapun orang yang memperkatakan tiga hal itu dalam bentuk mendukung dan memperteguh, tidak sewajarnya disamakan dengan orang yang bertindak sebaliknya. Saya menyokong penjelasan Yang Berhormat (YB) Menteri Dalam Negeri tentang maksud larangan memperkatakan isu 3R secara yang salah. Berkaitan dengan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan yang sering menjadi isu, seyogia difahami bahawa yang dinyatakan bukan semata-mata kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, bahkan juga “hak sah kaum-kaum lain”. Orang Melayu dan Bumiputera perlu memahami peruntukan itu supaya tidak timbul anggapan salah seolah-olah rakan-rakan kita yang lain daripada itu tidak ada hak di negara ini atau perlu menerima hak yang kurang daripada mereka. Demikian pula, orang bukan Melayu dan Bumiputera perlu mempelajari sejarah dan kedudukan sosioekonomi Melayu dan Bumiputera di negara ini yang mengabsahkan mengapa wujud pernyataan “kedudukan istimewa” itu (yang pada kenyataannya kini banyak yang tinggal menjadi ungkapan tersurat sahaja, kerana telah banyak “tongkat” yang tidak diberikan kepada orang Melayu dan Bumiputera apabila kerajaan tertentu pada satu masa dahulu merobah pelaksanaan Perkara 153 itu.
  5. Dalam konteks ini, tiada bersalahan perjuangan mana-mana bangsa menuntut hak sah masing-masing menurut kadar yang tepat. Kupasan ahli fikir terkenal abad ke-14, Ibnu Khaldun, yang diiktiraf oleh sejumlah sarjana besar dunia, termasuk Arnold Tonybee, perlu dihayati. Menurut Ibn Khaldun dalam adikarya (magnum opus) beliau, Mukaddimah, menjadi sesuatu yang fitrah dan tabii bagi setiap bangsa untuk menjaga hak dan kepentingannya dengan syarat tidak menafikan atau menceroboh hak bangsa lain; sementelahan manusia dijadikan oleh Tuhan berbangsa-bangsa dan berpuak-puak (al-Hujurat, ayat 13) dengan tujuan agar saling berkenalan (lita`arafu), dengan maksud saling memahami, saling menghormati, saling bekerjasama dan saling berbahagi, bukan untuk bersengketa dan menzalimi kaum lain. “Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.” Pemimpin yang adil perlu memastikan hal itu tidak terjadi dan perlu ada hikmah dalam membentuk warganegara yang tahu akan letak dan kedudukan masing-masing menurut keadaan lingkungan yang terhasil daripada sejarah dan realiti semasa. Penulis sendiri banyak menggunakan istilah “bangsa Malaysia” dalam wacana lisan dan tulisan untuk merujuk kepada warganegara Malaysia, namun tidak melihat ada masalahnya bagi setiap warganegara dikenal pasti keturunannya, asal sahaja kesemunya saling menghormati, saling memahami, saling membantu “bagai aur dengan tebing” dan “bagai isi dengan kuku”. Demikianlah sunatullah atau peraturan Tuhan. Di Melaka, menurut suratan sejarah, terdapat sekitar 80 bangsa dan etnik pada sekitar abad ke-15 dan ke-16 yang berbeza keturunan tetapi mereka saling memahami, saling menghormat dan hidup dalam keadaan yang harmonis. Mengapakah kita yang hidup dalam zaman yang dikatakan moden tidak dapat bersikap dan bertindak “moden” sehingga kelihatan jauh lebih mundur daripada masyarakat beberapa abad silam?
  6. Maka itu, menjadi taklif kerajaan dan penjawat awam untuk merancang dan melaksanakan program pembangunan negara yang dapat merealisasikan cita-cita mencapai keadilan sosial. Semangat Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang bermatlamat serampang dua mata perlu diteruskan meskipun cara atau kaedahnya mungkin berbeza, selaras dengan keperluan zaman. Matlamat pertama “Membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum” jelas menepati roh dan falsafah pembangunan negara yang adil. Demikian juga matlamat kedua “Menyusun semula masyarakat” dalam hal yang melibatkan kawasan atau wilayah, kaum dan strata sosial jelas masih tetap relevan untuk dijadikan kerangka pembangunan negara pada masa ini. Dalam ucapan sulung penulis di Dewan Rakyat pada 22 Mac 2023, ada diungkapkan bahawa “kemiskinan bukan milik mana-mana kaum”. Oleh itu, baik Melayu, Cina, India, Kadazan-Dusun, Iban, Orang Asli, Kenyah, Orang Sungai dan puluhan etnik lain yang berada dalam kategori miskin perlu dibantu dengan program pembangunan ekonomi secara adil.
  7. Sehubungan dengan itu, program pembangunan negara yang diterjemahkan dalam Belanjawan 2024 perlu memenuhi kesinambungan falsafah dan roh pembangunan negara yang telah diasaskan sejak berdekad-dekad lalu, khasnya di bawah kepemimpinan Almarhum Tun Abdul Razak Hussien. Dasar-dasar afirmatif masih relevan dengan syarat pelaksanaannya bersulamkan integriti, amanah, adil dan saksama kepada semua warganegara. Tindakan tegas perlu dikenakan kepada pelaksana di peringkat mana pun, yang khianat kepada dasar dan program pembangunan negara, seperti rasuah, salah guna kuasa, nepostime, kronisme, kleptokrasi dan perbuatan-perbuatan jelik yang seumpamannya. Dalam hal ini, nama baik dan mulia bangsa Melayu tidak patut dicemarkan angkara adanya sejumlah pemimpin dan pelaksana di peringkat negara, negeri dan institusi yang tidak menyempurnakan amanah dan tanggungjawab dengan betul, sehingga terjadi “Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga” dan “Seekor kerbau (hakikatnya lebih daripada seekor) membawa lumpur, semua terpalit”. Kerbau-kerbau yang menjelma dalam bentuk perasuah, penyalah guna kuasa, pendiskriminasi dan lain-lain perlu dikenakan tindakan tegas oleh kerajaan. Dalam pada itu, sifat jelik seperti itu bukan milik mutlak sesuatu bangsa ataupun kaum. Ada segelintir orang yang melibatkan orang Melayu terjebak dalam perbuatan jelik, ada juga orang daripada keturunan lain yang berperangai buruk seperti itu. Masih banyak orang Melayu yang baik yang menurut ajaran agama yang suci, sebagaimana tetap banyak orang bukan Melayu yang baik. Kerajaan perlu lebih agresif membasmi rasuah dan ekonomi hitam yang menimbulkan kerugian kepada negara sehingga mencecah trilion ringgit, baik di pihak penerima mahupun pemberinya. Sehubungan dengan itu, kita wajar memberikan sokongan padu kepada kerajaan dalam mengutamakan aspek tatakelola terbaik dan ketangkasan perkhidmatan dalam Belanjawan 2024. Tentulah mekanisme untuk memenuhi usaha itu memerlukan islah atau transformasi, termasuk pemisahan kuasa badan-badan penyiasat dan penguatkuasa daripada pihak eksekutif.

Cadangan-cadangan Khusus

Kerajaan perlu memberikan perhatian khusus untuk melakukan penambahbaikan dalam bidang-bidang utama pembangunan negara.

  1. Dalam bidang pendidikan, kita masih bergelut dengan isu-isu berterusan seperti (a) keutamaan pendidikan di sekolah rendah, sama ada perlu lebih berpusat pada kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) atau mendedahkan aspek akademik dengan agak meluas, (b) masalah nisbah pelajar STEM 60:40 di sekolah menengah yang nisbahnya kian membimbangkan, (c) soal kebajikan guru yang sebahagiannya terkait dengan prasarana, (d) isu sekolah daif, (e) latihan dalam perkhidmatan yang lebih berkesan dan relevan dengan keperluan semasa. Dalam hal kurikulum, tampak nyata keperluan untuk menyemak semula sukatan mata pelajaran Sejarah yang diandaikan menyebabkan kurangnya penghayatan generasi muda tentang sejarah negara yang tepat. Dalam isu bahasa Melayu, penulis pernah menimbulkannya di Dewan Rakyat tentang keperluan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah mengarusperdanakan sekolah rendah jenis kebangsaan dengan menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar sejumlah mata pelajaran. Jika tidak kesemuanya sekalipun, langkah itu boleh dilaksanakan secara beransur-ansur, selaras dengan keperluan kohort tertentu yang mengambil kira tempoh enam tahun untuk transformasi tersebut. Setakat ini, bahasa Melayu hanya menjadi mata pelajaran dan hal itu tidak memenuhi gagasan Bahasa Melayu Merentas Kurikulum yang menjadi satu daripada inti pati Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Dalam hal bahasa Melayu sebagai mata pelajaran pun berlaku kesenjangan yang tidak sewajarnya, iaitu dua jenis buku teks yang berbeza bagi sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Mengapakah diizinkan keadaan “atap genting atap rembia” dan “dua darjat” berlaku dalam pada kita bercita-cita membentuk perpaduan dan penguasaan bahasa negara yang setara bagi semua warganegara? Penulis juga ada pengalaman dalam mengendalikan peranan sebagai “bapa angkat” kepada ratusan pelajar lepasan SPM yang dihantar oleh KPM ke Beijing untuk mengikuti program Pengajian Mandarin selama lima tahun. Semua dilayan sama dengan pelajar penutur jati bahasa Mandarin dalam hal tahap dan kualiti bahasa dan tiada sukatan kursus dan instrumen penaksiran yang berbeza antara pelajar Malaysia dan pelajar negara lain dengan pelajar negara Republik Rakyat China. Demikian juga, pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada peringkat pendidikan tinggi, kian kabur, sebagaimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri sejak beberapa dekad beliau berada dalam kepemimpinan negara. Ketetapan kerajaan bahawa tahun 1983 dijadikan tahun sasaran bermulanya bahasa Melayu sebagai bahasa utama di institusi pengajian tinggi (IPT) ternyata kian melemahkan peminggiran bahasa Melayu, khasnya dalam bidang yang disebut “bidang kritikal” seperti perubatan, undang-undang, kejuruteraan dan sains dan teknologi. Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu di IPT yang dimulakan pada tahun 2011 menemui kegagalan apabila laporan audit bahasa di IPT yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menunjukkan peratusan penggunaan bahasa Melayu yang rendah di kebanyakan IPT. Taklif mengimarahkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi seolah-olah terbeban kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sahaja sebagai universiti watan, sementara IPT lain seakan-akan mempunyai autonomi untuk tidak melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan. Kini Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mula menggerakkan Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu di IPT bagi tempoh 2023-2030. Kerajaan perlu memastikan pelan itu tidak tinggal menjadi tindakan yang berlangsung “pelan-pelan” dan tidak menimbulkan kesan positif.
  2. Dalam pembangunan kebanyakan negara di dunia, Dasar Bahasa Kebangsaan (National Language Policy) menjadi satu daripada tonggak. Perancangan bahasa (language planning) menjadi antara agenda utama negara, untuk membangun dan maju dalam acuan sendiri. Pengalaman dua kali bertugas di Republik Rakyat China (RRC) sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia dan di Jerman sebagai Profesor Tamu menunjukkan bahawa faktor ketegasan pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan menjadi satu daripada faktor kejayaan kedua-dua buah negara itu. Satu daripada asas kejayaan RRC dalam pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative) ialah kekuatan bahasa Mandarin sehingga kewujudan Institut Kongfusius di seluruh dunia telah mengatasi British Council dan Malaysia America Culture and Education Exchange (MACEE). Bagi Jerman, pelajaran dapat ditimba daripada peranan pemikir ulungnya, Gottfried Wilhelm Leibniz melalui teori dan pelan cadangannya yang menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa utama pembangunan negara telah membangkitkan negara itu daripada negara yang ketinggalan berbanding dengan negara-negara Eropah lain pada abad ke-17 kemudian muncul menjadi negara maju hingga kini. Pengalaman sedikit sebanyak di Korea Selatan, Jepun, Belanda dan Perancis pun menunjukkan pola yang sama; bahkan negara tetangga kita Thailand dan Indonesia juga mengamalkan dasar yang sama, tentu dengan tidak menafikan peranan bahasa asing yang dapat menjadi nilai tambah terhadap pembangunan negara. Peri pentingnya bahasa kebangsaan dalam proses pembinaan negara (nation building) tergambar dalam pernyataan Yang Amat Mulia (YAM) Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri pertama negara kita, iaitu “Negara tanpa bahasa kebangsaan ibarat jasad tanpa roh”.
  3. Kerajaan perlu lebih tegas dan berencana dalam pelaksanaan
    Dasar Bahasa Kebangsaan.
    Langkah Perdana Menteri mengarahkan agar surat rasmi yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan tidak dilayan patut dipuji; namun barah penggunaan bahasa kebangsaan lebih parah daripada sekadar isu bahasa dalam surat. Sikap dan tindakan yang meremehkan ketetapan Perkara 152(6) dalam Perlembagaan Persekutuan masih berleluasa. Perkara 152(6) dengan jelas menetapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bagi urusan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Apabila banyak mesyuarat yang masih dikendalikan dalam bahasa asing atau bahasa yang “sekerat ular sekerat belut”, hal itu menjadi bukti jelas tentang pelecehan taraf bahasa rasmi negara dalam kalangan orang yang terlibat dalam pentadbiran. Demikian juga, penggunaan bahasa di tempat awam, baik iklan, nama kawasan, nama bangunan atau kompleks dan lain-lain. masih sangat pekat kecenderungan penggunaan bahasa asing; belum lagi kita nilai aspek mutu bahasanya. Masalahnya ialah ketidakpekaan sejumlah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam penguatkuasaan Undang-undang Kecil Pengiklanan yang menetapkan keutamaan penggunaan bahasa kebangsaan. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendakwa tidak mempunyai kuasa mengarahkan atau memantau PBT kerana PBT terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri. Sejumlah kerajaan negeri pula tidak peka dalam penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan sehingga akhirnya berlaku dendangan lagu “Oh, bangau, oh bangau mengapa engaku kurus”. Dalam hal ini, kerajaan dimohon untuk menyegerakan penggubalan Akta DBP yang baharu dengan satu daripada perkara penting ialah memberikan kuasa penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam pelbagai sektor utama di negara ini. Akta DBP 1959 hanya memberikan kuasa pembakuan bahasa (ejaan, sebutan, istilah, kosa kata dan tatabahasa) serta kuasa “menegur, menasihati dan membimbing” yang ternyata menyebabkan DBP sering dianggap harimau kertas, bukan kerana DBP tidak bekerja keras tetapi kerana tidak memiliki kuasa penguatkuasaan. Kita boleh menimba pengalaman daripada Perancis. Di Perancis, kerajaannya memberikan wewenang kepada badan perancang bahasa negara itu dalam aspek penguatkuasaan, sehinggakan pernah dilaporkan bahawa sebuah syarikat yang tidak mengutamakan bahasa Perancis dalam laman sesawangnya didenda beberapa ribu Euro. Denda atau hukuman bukanlah matlamat utama, tetapi bersama-sama dengan peruntukan lain dalam akta, perkara tersebut dapat dijadikan sebagai satu daripada mekanisme yang berkesan. Penegasan kepada bahasa kebangsaan tidak bererti kita perlu menutup mata kepada keperluan mempelajari bahasa asing yang dapat menjadi nilai tambah untuk pembangunan negara. Tohmahan bahawa para pejuang bahasa dogmatik, fanatik, ekstrem dan lain-lain hanyalah fitnah kerana semua pejuang bahasa kebangsaan turut menguasai bahasa asing. Bagi orang Islam, al-Quran dalam surah al-Rum, ayat 22 menjelaskan hakikat bahawa Allah SWT menjadikan bahasa bagi setiap bangsa, oleh itu tiada sebab untuk memusuhi bahasa yang mana pun. Yang menjadi perancangan kita ialah mengutamakan bahasa negara kita, selaras dengan fitrah penyampaian ilmu, maklumat dan komunikasi yang lebih berkesan dalam bahasa sendiri, sebagaimana yang diisyarakatkan dalam surah Ibrahim, ayat 4 tentang ketetapan Allah SWT bahawa para rasul-Nya menyampaikan ajaran agama dalam bahasa yang difahami oleh kaumnya.
  4. Pada peringkat antarabangsa pula, negara kita tidak cukup tangkas dalam mengangkat bahasa negara. Negara tetangga, Indonesia selama puluhan tahun bekerja keras dan akhirnya United Nations Educational Scientific and Cultural Organi-sation (UNESCO) baru-baru ini mengisytiharkan bahasa Indonesia sebagai satu daripada 10 bahasa rasmi di badan dunia itu. Satu daripada kaedah yang digunakan oleh Indonesia ialah gerak kerja atase pendidikan kebudayaan bagi kedutaan negara itu di negara-negara utama di dunia, dengan program promosi dan publisiti yang berkesan. Kerajaan perlu menggerakkan Kementerian Luar agar mewujudkan jawatan atase pendidikan dan kebudayaan yang diharap dapat mengangkat bahasa, kebudayaan, kesusasteraaan dan aspek lain tamadun negara pada peringkat antarabangsa. Apakah langkah susulan Kementerian Luar dalam pelaksanaan Dasar Diplomasi Budaya yang diisytiharkan pada hujung tahun 2021? Sementelahan pula Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang diurussetiakan oleh DBP dalam kesederhanaan dana, iaitu RM300 ribu setahun, telah menunjukkan keberhasilan. Komitmen kerajaan yang lebih rinci diperlukan dalam upaya mengangkat bahasa, sastera dan budaya negara kita pada peringkat antarabangsa. Sedikit maklumat berdasarkan pelibatan penulis sebagai duta kecil dalam bidang ilmu dan pendidikan kerajaan di RRC selama empat tahun, kini terdapat 16 buah IPT di negara itu yang menawarkan program ijazah bahasa Melayu, hasil daripada promosi dan gerak kerja Kementerian Pendidikan Tinggi, Kedutaan Besar Malaysia dan Pejabat Konsul Jeneral serta sedikit sebanyak daripada Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di RRC. Di beberapa kota di sana juga telah tampak potensi bahasa Melayu berkembang dan diterima di luar negara. Dari tahun 1993, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan/Kementerian Pendidikan Tinggi, telah menubuhkan beberapa Kursi Pengajian Melayu, seperti di Leiden, di Wellington, di Beijing dan di Seoul. Kini kesemuanya telah sunyi sepi kerana penangguhan program itu. Sewajarnya Kursi yang sedia ada itu dihidupkan semula, malah ditambah di beberapa wilayah sedunia yang berpotensi.
  5. Isu lain yang pada hemat saya penting diberi perhatian ialah upaya analisis dan penerbitan karya-karya berdasarkan sekitar 40 ribu manuskrip Melayu lama yang bertebaran di seluruh dunia, selain di negara kita sendiri. Kebanggaan akan wujudnya puluhan ribu manuskrip Melayu lama tidak akan bererti jika ilmu dan kandungan dalam manuskrip-manuskrip itu tidak dikaji dan diterbitkan untuk manfaat masyarakat setempat dan masyarakat di luar negara. Penulis menyarankan agar sebuah majlis penyelaras manuskrip Melayu lama dibentuk melibatkan semua institusi yang merupakan pemegang kepentingan mansukrip Melayu lama, seperti Perpustakaan Negara Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Yayasan Karyawan Malaysia dan IPT-IPT yang mempunyai pusat manuskrip. Tujuannya supaya dapat dilaksanakan pakatan strategik dan perkongsian kepakaran serta dana dalam menggandakan usaha menganalisis manuskrip yang menggarap pelbagai bidang ketamadunan seperti agama, ketatanegaraan, undang-undang, perubatan, seni bina, tekonologi, historiografi, prosa dan puisi agar dapat diketengahkan sebagai sebahagian warisan ilmu watan ke mata dunia, yang dengan demikian memberikan sumbangan kepada globalisasi seimbang dari timur ke barat. Terkait dengan itu, bidang penerbitan negara perlu melalui transformasi, terutamanya keutamaan kepada penerbitan elektronik dan digital dalam bentuk yang terangkum dalam industri kreatif, seperti multimedia, animasi, adaptasi dan lain-lain, yang mesra masyarakat, berbanding dengan terbitan bercetak dalam bentuk teks asal yang hanya menarik minat sejumlah sarjana atau pelajar IPT. Penghargaan yang tinggi diberikan kepada Perdana Menteri kerana pada tahun 2023, telah diberikan peruntukkan sebanyak RM20 juta untuk pengembangan ilmu, karya agung dan karya sastera tersohor. Badan-badan yang diberikan amanah perlu melaporkan apakah yang telah dimanfaatkan daripada peruntukan itu. Untuk tahun 2024, dengan cakupan yang lebih meluas, iaitu industri kreatif sebanyak RM60 juta, diharapkan kementerian, agensi dan pihak lain yang diberi amanah dapat menghasilkan produk ilmu, bahasa, sastera, budaya, sejarah dan lain-lain, dalam bentuk yang lebih sesuai dengan minat masyarakat, terutamanya golongan muda. Maka itu, satu pelan induk industri kreatif negara diperlukan untuk pengisian program dan unjurannya. Berkaitan dengan taraf negara maju yang dikaitkan dengan industri penerbitan negara, kerajaan perlu memikirkan perancangan untuk memenuhi ketetapan UNESCO yang mensasarkan penerbitan judul baharu bagi setiap tahun dengan nisbah 0.01 peratus berdasarkan jumlah penduduk. Ertinya, dengan anggaran 30 juta orang penduduk di negara ini, kita perlu menerbitkan sebanyak 30,000 judul, baik dalam bentuk bercetak mahupun elektronik.
  6. Program pembentukan watak generasi muda sebagai bakal pemimpin dan penggerak pembangunan negara masa hadapan perlu diberikan perhatian khusus. Pada tahun 2003, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah diwujudkan, tetapi pada tahun 2015, program ini telah dihentikan sementara dan disambung semula dengan PLKN 2.0 pada tahun 2016. Namun begitu, pada tahun 2018, PLKN telah dimansuhkan sepenuhnya. Pada 9 Oktober 2023, terbit pernyataan daripada Menteri Pertahanan bahawa PLKN 3.0 akan dilaksanakan pada tahun 2024. Perancangan dan pelaksanaan program ini perlu diperhalusi dengan proses libat urus daripada pihak-pihak yang penting agar PLKN benar-benar berkesan dan tidak mengulang kelemahan PLKN 1.0 dan PLKN 2.0.
  7. Bagi memastikan keterjaminan makanan, kerajaan perlu merancang semula program pengaktifan sektor pertanian sebagai sektor penting negara dengan meneruskan sektor perindustrian.
  8. Sekali lagi ditegaskan bahawa, kebudayaan perlu diberi martabatnya yang hak, bukan dipayungi oleh sektor pelancongan. Pelancongan lebih sesuai dipadukan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa. Kebudayaan dan Warisan perlu mandiri di bawah sebuah kementerian agar dapat menumpukan perhatian kepada bidang kebudayaan yang ditakrifkan sebagai satu cara hidup.

Demikianlah sebahagian isi perbahasan untuk renungan dan ikhtiar kerajaan dalam memenuhi falsafah dan makna pembangunan negara yang sewajarnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.