30 Disember 2023, 21:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Sekumpulan pelajar daripada Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis (UiTM Cawangan Perlis) dan Kolej Pengajian Seni Kreatif Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak (UiTM Cawangan Perak) telah bekerjasama menghasilkan lukisan mural di Stesen Penyelidikan Marin (Marine Research Station: MARES) di Pulau Tuba, Kedah baru-baru ini.

Projek Mural MARES ini merupakan kolaborasi projek khidmat masyarakat yang digerakkan oleh Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat, Alumni dan Keusahawanan UiTM Cawangan Perak dan UiTM Cawangan Perlis.

Signifikan projek penghasilan mural ini adalah untuk memupuk nilai profesionalisme dan menyumbang kreativiti dalam bentuk seni kreatif dalam kalangan mahasiswa dan warga UiTM.

Penghasilan mural ini juga mampu memberikan wajah baharu kepada MARES selain daripada menarik perhatian pelbagai pemain industri, rakan strategik, komuniti dan penyelidik untuk melabur dan berkolaborasi bersama-sama dengan UiTM pada masa hadapan.

Penghasilan mural ini telah dimulakan dengan gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran MARES oleh para mahasiswa daripada program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Marin Lestari (UiTM Cawangan Perlis).

Debu mahupun sebarang kekotoran pada dinding mampu memberikan kesan kepada hasil akhir mural. Oleh itu, proses pembersihan dinding perlu dilakukan dengan segera sebelum proses melukis dan mewarna mural.

Kemudian proses melukis dan mewarna mural yang merangkumi pembuatan dan eksperesi seni dilakukan oleh mahasiswa program Diploma Seni Halus dan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Reka Grafik dan Media Digital) daripada Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Cawangan Perak.

Proses ini memakan masa yang agak lama kerana memerlukan tumpuan dan ketelitian bagi proses menterjemahkan aspirasi dalam bentuk seni lukis yang berkisar tentang biodiversiti marin dan panorama Pulau Tuba.

Majlis penutup yang diadakan pada sebelah pagi 21 Disember 2023 menyaksikan penyerahan papan tanda yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Mohd Khairulnizam Ramlie (UiTM Cawangan Perak) kepada Encik Khairul Naim Abd. Aziz yang mewakili MARES.

Turut berada dalam majlis tersebut ialah Puan Siti Hajar Maizan, Puan Nurul Shima Taharuddin, Encik Mohd Halimi Ab Hamid (ICAN UiTM Cawangan Perlis) dan Encik Sharir Aizat Kamaruddin.

Semoga wajah baharu MARES mampu menyemarakkan lagi aktiviti penyelidikan, pendidikan, komuniti dan kolaborasi dalam pelbagai bidang di MARES. Selain itu, diharapkan program penghasilan mural ini mampu membina keperibadian mahasiswa yang menjurus kepada pembangunan jati diri, identiti berkumpulan dan komunikasi berpasukan.

Penyerahan papan tanda kolaborasi antara UiTM Cawangan Perlis dengan UiTM Cawangan Perak dalam projek mural MARES.
 Para peserta merakamkan gambar setelah selesai proses melukis dan mewarna mural MARES.
Sekitar proses mengecat mural MARES yang dilakukan oleh para mahasiswa daripada Kolej Pengajian Seni Kreatif Universiti Teknologi MARA, Cawangan Perak.
Lukisan mural MARES yang berilhamkan latar belakang komuniti Pulau Tuba, Kedah.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.