Oleh Aznoora Osman
7 Januari 2024, 18:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Susulan daripada Belanjawan 2024, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya menzahirkan hasrat untuk memperkukuh inovasi dan bakat digital khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mampan.

Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis melalui Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) menyahut cabaran dengan menganjurkan seminar Remaja Celik AI bertempat di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Arau yang berlangsung pada pukul 11.00 pagi hingga 1.30 tengahari.

Sesi pengenalan dan latihan tentang aplikasi AI kepada pelajar.

Menurut penganjur, seminar tersebut merupakan satu inisiatif di bawah program Service Learning Malaysia University for Society (SULAM) yang dilaksanakan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Teknologi Maklumat dan Sains Komputer.

Seminar ini dilakukan untuk meningkatkan kesedaran remaja terhadap pengetahuan asas AI, termasuklah konsep, penggunaan dalam kehidupan seharian dan potensinya terhadap masyarakat.

Selain itu, golongan remaja ini juga dapat meningkatkan kemahiran praktikal dalam penggunaan teknologi AI melalui pengalaman amali, iaitu demonstrasi aplikasi AI dan sesi latihan dalam kumpulan.

Seramai 259 orang pelajar MRSM Arau yang terdiri daripada pelajar tingkatan tiga dan tingkatan empat telah hadir ke seminar tersebut. Selain itu, guru-guru Sains Komputer, iaitu Puan Azlina Abdul Wahab dan Puan Siti Marliah Mohd. Hariz turut menyerikan majlis. Seminar itu turut dihadiri oleh pensyarah penasihat KPPIM, iaitu Dr. Aznoora Osman, Dr. Nadia Abdul Wahab dan Puan Siti Sarah Md. Ilyas.

Sesi pertama dimulakan dengan ceramah pengenalan kepada AI dan diikuti oleh ceramah Bedah AI untuk memperkenalkan beberapa aplikasi AI yang popular seperti ChatGPT, Gamma dan Playground AI.

Pada sesi kedua pula, pengisian program diteruskan dengan latihan dalam kumpulan dan sesi kuiz dalam talian melalui platform Kahoot. Seminar diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang aktiviti tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.