9 Januari 2024, 21:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Semasa artikel ini ditulis, lebih daripada 20 ribu orang rakyat Palestin telah dilaporkan terkorban akibat pengeboman liar rejim Zionis terhadap warga Palestin. Angka ini telah dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza apabila lebih daripada 70 peratus angka korban terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Angka kematian sebenar dijangkakan lebih tinggi kerana ribuan lagi masih hilang dan maut di bawah timbunan runtuhan bangunan yang telah dibedil. Angka tersebut dipercayai akan terus meningkat lagi kerana serangan ganas Israel terhadap warga Palestin di Gaza masih berterusan hingga kini.

Seluruh dunia berasa sedih, kecewa dan bersalah kerana menyaksikan kezaliman di hadapan mata, namun tidak berupaya untuk menghalanginya daripada terus berlaku. Namun begitu, situasi yang lebih menyedihkan lagi ialah kebanyakan negara Islam terutamanya negara Arab langsung tidak membantu. Negara Arab yang berjiran dengan Palestin seperti Mesir dan Jordan sepatutnya membantu pejuang Hamas untuk menentang Israel, sebaliknya mereka masih mengekalkan hubungan diplomatik dengan Israel. Begitu juga dengan Turkiye dan Emeriah Arab Bersatu (UAE), walaupun lantang bersuara mengutuk Israel, namun mereka masih mengekalkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel. Malah lebih malang lagi apabila Arab Saudi pula sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk menormalkan hubungan dengan Israel.

Kita bersyukur apabila Malaysia berani mengambil tindakan yang konkrit baru-baru ini apabila kerajaan Malaysia membuat keputusan untuk mengharamkan kapal milik Israel, khususnya Zim Shipping, daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan di Malaysia. Kita mengharapkan supaya negara-negara lain, khususnya negara Arab dan negara Islam yang lain akan mencontohi Malaysia dalam usaha menyekat kezaliman Israel yang begitu ketara melakukan Nakba kedua di Gaza, iaitu dengan menghalau penduduk Palestin keluar dari Semenanjung Gaza.

Tindakan tidak berperikemanusiaan Israel semenjak awal Oktober lalu telah membuka mata masyarakat dunia kepada hakikat bahawa Israel adalah sebuah rejim yang sangat zalim dan tidak mengendahkan keputusan masyarakat dunia. Semenjak 1968, Israel telah melanggar 32 resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Pada tahun 2023 sahaja, Israel telah dikutuk oleh Perhimpunan Agung PBB sebanyak 14 kali berbanding dengan hanya tujuh kali dalam kes negara-negara lain. Terkini, Israel telah dikutuk pada 20 Disember tahun lalu kerana tindakan zalimnya membunuh warga awam Palestin di Gaza.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa sikap dan tindakan zalim Israel itu dibenci oleh seluruh dunia. Yang paling ketara ialah dalam kalangan generasi muda Amerika Syarikat. Satu kajian oleh The Harris Institute dan The American Political Studies Center di Universiti Harvard menunjukkan bahawa majoriti belia Amerika yang berumur antara 18 hingga 24 tahun bukan sahaja tidak menyokong Israel bahkan menentangnya. Kajian yang melibatkan  2000 ribu pengundi Amerika daripada pelbagai kumpulan umur menunjukkan sebanyak 51 peratus dalam kumpulan umur tersebut berpendapat bahawa penyelesaian jangka panjang konflik antara Palestin dengan Israel hanya boleh diselesaikan dengan cara Israel ditamatkan kewujudannya dan negara tersebut diserahkan kembali kepada pejuang Hamas dan warga Palestin.

Dalam hal serangan Israel terhadap Gaza, sebanyak 67 peratus daripada belia Amerika menyokong gencatan senjata tanpa syarat oleh kedua-dua belah pihak apabila semua tebusan dilepaskan dan Hamas dibenarkan untuk terus memerintah Semenanjung Gaza. Jelas sekali rakyat Amerika daripada kalangan belia sangat bersimpati kepada kesengsaraan warga Palestin di Gaza.

Di samping itu, tunjuk perasaan yang mengutuk Israel serta menyokong Palestin telah disertai oleh ratusan ribu orang di bandar-bandar besar di Amerika Syarikat dan telah berterusan semenjak bulan Oktober, iaitu semenjak Israel mula membedil Gaza.

Suasana ini sangat berbeza daripada keadaan di Amerika Syarikat sebelum ini yang bukan sahaja menunjukkan kebanyakan rakyat Amerika menyokong Israel, bahkan ramai daripada kalangan mereka langsung tidak ambil peduli tentang konflik yang berlaku antara warga Palestin dengan rejim Zionis. Bahkan ada yang tidak tahu langsung tentang kewujudan Palestin. Mereka hanya tahu kewujudan Israel dan mempunyai tanggapan yang sangat negatif terhadap orang Arab dan orang Islam. Oleh sebab itu, tidak ada seorang pun ahli politik Amerika yang berani membela nasib orang Palestin. Namun kini sudah ramai yang berani bersuara membela nasib warga Palestin, termasuklah Rashida Talib, Ilhan Omar dan Alexandria Ocasio-Cortez.

Pertambahan sokongan rakyat Amerika terhadap perjuangan pembebasan Palestin disebabkan pendedahan berita sebenar tentang kezaliman rejim Zionis terhadap warga Palestin. Sebelum ini hampir kesemuanya sumber berita berkenaan isu Palestin diperoleh daripada media utama Barat seperti CNN, ABD dan NBC. Namun kini, kebanyakan berita boleh diperoleh secara langsung daripada media sosial termasuklah video pengeboman, gambar-gambar wanita dan kanak-kanak yang terkorban akibat pengeboman tanpa henti rejim Zionis di Gaza.

Sesiapa sahaja yang mempunyai secebis perasaan kemanusiaan pasti tidak boleh menerima pembunuhan orang awam dan kanak-kanak, inikan pula jika jumlahnya sudah melebih 20 ribu. Tambahan pula, sikap pemimpin Israel yang berterusan mahu melakukan pengeboman terhadap rakyat Gaza membuatkan rakyat Amerika Syarikat yakin bahawa pemimpin Israel langsung tidak berhati perut.

Perkara yang menambahkan lagi kemarahan rakyat Amerika termasuklah apabila pemimpin mereka dilihat membantu kezaliman Israel dengan menggunakan kuasa vetonya di Majlis Keselamatan PBB untuk menyekat sebarang usaha menghentikan pengeboman dan pembunuhan beramai-ramai warga Palestin.

Selain faktor kemanusiaan yang menyumbang kepada perubahan ini, terdapat juga faktor dalaman yang mempengaruhi sokongan rakyat Amerika termasuklah hakikat bahawa lebih kurang sebanyak 17 peratus daripada rakyat Amerika adalah dalam kategori miskin dan memerlukan bantuan kewangan daripada kerajaan. Namun begitu, mereka menyedari bahawa dana kerajaan mereka telah disalurkan kepada Israel untuk membolehkan Israel terus membunuh wanita dan kanak-kanak di Gaza. Selain itu, ramai pelajar Amerika juga terbeban dengan masalah hutang pendidikan yang berjumlah USD1.77 trilion. Para pelajar ini juga sangat memerlukan bantuan kerajaan untuk menyelesaikan masalah beban hutang mereka terutamanya bagi yang masih tidak mempunyai pekerjaan. Walau bagaimanapun, kerajaan Amerika juga tidak membantu mereka, sebaliknya memberikan bantuan kewangan segera ke Israel tanpa banyak soal. Situasi ini merupakan antara faktor utama yang menyebabkan golongan belia di Amerika membenci Israel dan menyokong Palestin.

Sokongan rakyat Amerika, terutamanya daripada golongan belia dijangka akan terus meningkat pada masa akan datang dan keadaan ini sudah tentu akan memberikan kesan kepada sikap dan pendirian ahli politik serta pemimpin Amerika Syarikat pada masa hadapan. Mereka akan semakin bersikap kritikal terhadap tindakan Israel. Tidak mustahil jika satu hari nanti polisi kerajaan Amerika akan berubah dan tidak lagi menyebelahi Israel yang secara terang-terangan telah bertindak zalim terhadap warga Palestin.

Perubahan sikap ahli politik Amerika pernah berlaku kepada rejim aparteid di Afrika Selatan pada tahun 1980-an dan telah menjadi faktor utama kerajaan tersebut jatuh sehingga membolehkan rakyat kulit hitam mendapat hak yang saksama. Apabila kerajaan Amerika menarik sokongan terhadap rejim aparteid Afrika Selatan, kesemua negara lain di Eropah yang sebelum itu menyokong rejim aparteid Afrika Selatan telah turut sama menarik sokongan mereka, sekali gus menyumbang kepada kejatuhan rejim tersebut.

Oleh sebab rejim Zionis Israel juga mempunyai ciri kezaliman yang sama dengan rejim aparteid Afrika Selatan, bahkan lebih teruk lagi, maka sudah tentu lambat laun Amerika Syarikat akan terpaksa menarik sokongan kepada Israel apabila rakyatnya sendiri membenci kezaliman Israel.

Sesuatu yang diperlukan kini ialah kempen yang berterusan untuk menyedarkan masyarakat di seluruh dunia tentang kezaliman Israel terhadap warga Palestin serta seruan kepada semua pemimpin negara untuk menukar polisi mereka agar terus memboikot Israel. Sudah tentu usaha ini memerlukan tenaga dan pengorbanan daripada kita. Jika diteliti, pengorbanan kita didapati lebih sedikit berbanding dengan pengorbanan warga Palestin yang telah memberikan nyawa anak-anak dan bapa-bapa mereka yang berjumlah ratusan ribu dalam usaha menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran.

Profesor Dr. Mohd Nazari Ismail,
Pengarah Pusat Pengajian Palestin Hashim Sani,
Universiti Malaya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.