16 Januari 2024, 16:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA PERLIS – Tiga orang pensyarah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), iaitu Siti Fadhilah Ghazali, Naimah Abu Kasim dan Suharne Ismail memenangi Pingat Emas (Gold Medal) bagi pertandingan inovasi kategori C (ahli akademik/penyelidik) bersempena dengan Ulul Albab Innovation Competition and Exhibition (UAICE) 2024 yang dianjurkan oleh Pusat Ulul Albab, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 13 Januari 2024.

Ketua penyelidik, Siti Fadhilah berkata, tajuk  inovasi yang diketengahkan ialah “Zakat on Inheritance: A Proposed of Implementation Zakat Guidelines Standard”.

Pemilihan tajuk ini adalah untuk memberikan kesedaran dan membantu semua pihak termasuk Institusi Zakat Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, institusi pentadbiran harta pusaka, pengamal undang-undang dan semua orang awam yang beragama Islam berkenaan kewajipan terhadap ahli waris bagi menunaikan zakat yang diperoleh daripada harta pusaka.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berkongsi kejayaan mereka dengan Rektor KUIPs, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle.

Rektor KUIPs, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle (kiri) bersama-sama dengan pemenang pertandingan inovasi UAICE 2024.

Fadhilah menambah bahawa institusi zakat sememangnya berada di barisan hadapan bagi memainkan peranan mereka namun kesedaran dalam kalangan masyarakat dan beberapa buah institusi lain perlu digerakkan agar wang zakat yang terkumpul itu kelak dapat diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Sementara itu, Dr Muhamad Rozaimi yang ditemui berbangga dengan pencapaian para pensyarahnya kerana berjaya memenangi Pingat Emas dalam pertandingan inovasi yang dianjurkan di UPSI itu.

“Pastinya kejayaan ini bukan sahaja membanggakan warga KUIPs malah yang penting dapat membantu Institusi Zakat Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, institusi pentadbiran harta pusaka, pengamal undang-undang dan juga menyedarkan masyarakat Islam tentang zakat.”

Semoga inovasi yang diketengahkan ini dapat membantu masyarakat dalam mengharungi kehidupan mereka termasuk membantu pelajar-pelajar dalam pengajian mereka.

Inovasi “Zakat on Inheritance: A Proposed of Implementation Zakat Guidelines Standard” membawa tuah buat ketiga-tiga penyelidik ini.

Penyertaan mereka dalam Ulul Albab Innovation Competition and Exhibition (UAICE) 2024 kali ini merupakan kesinambungan daripada penyertaan mereka dalam pertandingan inovasi di peringkat KUIPs, iaitu Innovation, Invention & Design (KIID 2023) yang diadakan pada 15 November 2023.

Hasil daripada penyertaan tersebut, mereka telah membuat penambahbaikan dalam beberapa aspek bagi memastikan penyelidikan ini memberikan impak yang lebih signifikan kepada institusi yang terlibat.

Oleh itu, penglibatan ini diharap dapat memberikan inspirasi kepada golongan penyelidik dan ahli akademik untuk menyalurkan idea dalam meningkatkan elemen inovasi dalam bidang penyelidikan.

Pertandingan inovasi ini melibatkan 30 buah kumpulan terdiri daripada ahli akademik/penyelidik, guru-guru sekolah, pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta pelajar sekolah.

Antara institusi yang mengambil bahagian ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sains Malaysia (USM), Politeknik Ungku Omar, institusi-institusi di bawah MARA dan sekolah-sekolah di peringkat menengah dan rendah.

Majlis perasmian penutup Ulul Albab Innovation Competition and Exhibition (UAICE) 2024 telah dirasmikan oleh Pengasas Konsep Ulul Albab, Tan Sri Dato’ Seri Haji Idris Jusoh.

Turut hadir termasuklah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPSI, Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli serta Dr Sakinah Salleh, Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI dan wakil-wakil daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.