Oleh Ruzaini Ijon
16 Januari 2024, 22:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kanak-kanak di KACC bermain dengan arnab sebagai satu bentuk terapi meningkatkan daya kemampuan kanak-kanak autisme.

Kota Bharu – Sekumpulan penyelidik daripada Marginalised Communities Research Group (MCRG), Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meneroka dan mencari kaedah terapi yang efektif bagi menyokong komuniti kanak-kanak autisme, khususnya di Kelantan.

Setiap kanak-kanak autisme menunjukkan keadaan yang tersendiri dengan sesetengahnya mempunyai kebolehan luar biasa dalam bidang tertentu, manakala yang lain mungkin bergelut dengan tugas harian.

Usaha untuk memahami dan menyokong kanak-kanak autisme adalah penting untuk membantu mereka berkembang maju dan mencapai potensi penuh mereka dengan mewujudkan persekitaran yang menyokong dan inklusif untuk mereka.

Oleh yang demikian, penyelidik MCRG mengambil inisiatif dengan mengadakan Program Keusahawanan Usahatistik dan Pelepasan Arnab yang berlangsung di Kelantan Autism Care Centre (KACC), Kota Bharu pada hari ini.

Program ini merupakan satu daripada usaha untuk menggunakan kaedah terapi haiwan dan pendayaupayaan terhadap kanak-kanak ini.

Bagi kaedah terapi haiwan ini, penyelidik MCRG telah memanfaatkan Geran Sumbangan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO MALAYSIA (SKUM) yang telah diperoleh untuk tahun 2023. Manakala penerokaan aktiviti keusahawanan kumpulan ini dijayakan melalui UMK Community Impact Grant (UMK-COM). Program ini turut dijayakan oleh sekumpulan pelajar tahun dua daripada Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) dan sukarelawan Kelab Penyayang Universiti Malaysia Kelantan.

Demonstrasi penyediaan makanan oleh kanak-kanak di KACC.

Dalam ucapan program itu, Encik Muhamad Faiz Rosli yang merupakan pentadbir mewakili KACC berkata, mereka sangat mengalu-alukan penyertaan daripada pelajar dan sukarelawan dalam usaha meringankan tanggungjawab demi kesejahteraan anak-anak autisme ini.

Seterusnya, ucapan ringkas daripada ketua penyelidik MCRG, Profesor Madya Dr. Yohan Kurniawan dan penasihat Kelab Penyayang, Encik Ruzaini Ijon. Majlis itu disempurnakan dengan penyerahan arnab dan demonstrasi penyediaan makanan melibatkan kumpulan kanak-kanak autisme.

Arnab dijadikan sebagai pilihan kerana kebanyakan kanak-kanak menyukai haiwan tersebut, malah diharapkan agar dapat membantu kanak-kanak di pusat ini sebagai satu lagi bentuk terapi yang dapat ditawarkan, di samping meneroka dapatan kajian yang baharu dan terbukti berkesan untuk dikembangkan.

Para pelajar FPV memainkan peranan dalam berkongsi kaedah penjagaan arnab kepada pihak KACC dan sukarelawan terlibat. Antara perkongsian yang dilakukan, termasuklah tempoh sesi bermain dengan arnab hendaklah sekitar 30 minit sahaja dan jumlah kanak-kanak pada satu-satu masa hendaklah dalam kumpulan yang kecil.

Sementara itu, aktiviti keusahawanan pula melibatkan penyediaan minuman (berasaskan kopi dan coklat), roti bakar (sapuan jem strawberi dan coklat) dan bertih jagung (berperisa karamel). Kanak-kanak autisme dilatih cara penyediaan makanan dan aktiviti keusahawanan dengan pelibatan sukarelawan Kelab Penyayang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.