22 Januari 2024, 20:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Forum Literasi Kesejahteraan Psikologi: Wanita Mendepani Keganasan Rumah Tangga menampilkan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek sebagai panel utama di Auditorium Kompleks E Putrajaya, hari ini.

Putrajaya – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek tampil menegaskan bahawa setiap wanita perlu menjadi insan yang berilmu apabila dirujuk oleh rakan berkenaan dengan hal rumah tangga semasa menjadi panel utama dalam program Literasi Kesejahteraan Psikologi: Wanita Mendepani Keganasan Rumah Tangga di Auditorium Kompleks E Putrajaya, hari ini.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.

YB Fadhlina Sidek berkata,

Berdasarkan kajian, terdapat 80 peratus wanita akan merujuk rakan baik, sekiranya mereka mempunyai masalah rumah tangga. Tetapi, dalam 80 peratus ini, sebanyak 50 peratus memberikan nasihat yang salah dan sesat.

Oleh sebab itu, Menteri Pendidikan menegaskan kepentingan menjadi wanita yang cerdik dan berilmu untuk berhadapan dengan situasi yang sukar seperti ketika dirujuk oleh rakan yang memerlukan nasihat dan pandangan yang berkaitan dengan keganasan rumah tangga.

Program anjuran Bahagian Psikologi dan Kaunseling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan KPM ini berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta yang berdaftar, iaitu 47 482 orang.

Forum yang berlangsung secara hibrid menerusi EDUWEBTV KPM telah menampilkan tiga orang panel lain, iaitu Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek; Pengerusi PUSPANITA Cawangan KPM, YBhg. Dato’ Sri Noorhuda Haji Alias; dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Puan Nazare Yusra Mohamed @ Yusof serta dipengerusikan oleh Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Antarabangsa KPM, YBrs. Dr. Mohd Ghazali Taib.

Dalam forum tersebut, YB Fadhlina Sidek juga turut berpesan supaya tidak menjadikan kisah diri sendiri sebagai kayu ukur apabila menasihati rakan-rakan yang menghadapi konflik keganasan rumah tangga ini, sebaliknya mengajak rakan tersebut merujuk pihak berautoriti bagi menangani isu tersebut.

Dalam menghadapi situasi tersebut, beliau menjelaskan,

Perkara pertama yang kita perlu buat adalah menasihati rakan tersebut agar merujuk orang yang betul, sama ada peguam syariah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) atau kaunselor KPM, bagi memastikan dirinya mendapat nasihat yang betul.

Dalam sesi forum ini juga, beliau menyeru agar golongan wanita mampu membezakan aib suami dengan kezaliman suami apabila berlaku isu keganasan dalam rumah tangga. Hal ini demikian kerana terdapat perbezaan yang besar antara aib dengan kezaliman yang dilakukan oleh suami terhadap isteri.

Beliau menjelaskan lagi bahawa akta keganasan rumah tangga telah digubal secara teliti dan peka terhadap wanita supaya mereka menerima perlindungan dan hak yang sewajarnya.

Pada masa yang sama, beliau turut menyambut baik seruan Pengerusi PUSPANITA Cawangan KPM, agar wanita berani untuk keluar daripada rumah tangga yang tidak selamat demi kelangsungan dan jaminan kesejahteraan diri.

Aspek kesejahteran turut dititikberatkan dalam rukun penting MADANI. Oleh itu, YB Fadhlina Sidek menyarankan agar program kesejahteraan dipergiat dalam usaha membentuk wanita yang cerdik dan celik terhadap hak-hak wanita.

Tegasnya lagi,

Perkara ini sangat penting bagi menyedarkan wanita untuk bangkit daripada persekitaran permissive society, iaitu masyarakat yang membenarkan keganasan berlaku dan terus berlaku.

Konsep qawwam, sakinah, mawaddah dan warahmah merupakan syarat untuk menjamin keharmonian, ketenangan dan kebahagiaan wanita yang bergelar isteri.

Pengerusi PUSPANITA Cawangan KPM, YBhg. Dato’Sri Noorhuda Haji Alias semasa menjelaskan isu berkaitan dengan keganasan rumah tangga.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Puan Nazare Yusra Mohamed @ Yusof semasa menghuraikan persoalan yang dikemukakan oleh moderator berkaitan dengan isu rumah tangga.
Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Antarabangsa KPM, YBrs. Dr. Mohd Ghazali Taib sebagai moderator forum.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.