Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTiada siapa dapat menafikan bahawa kehidupan manusia pada zaman ini harus berdepan dengan ledakan teknologi yang jika tidak diambil peduli maka akan dikatakan “ketinggalan zaman“ dan tercicir dari landasan teknologi terkini. Tambahan pula, sejak Revolusi Perindustrian 4.0 menembusi pelbagai sektor seperti ekonomi, perindustrian dan pendidikan, mahu tidak mahu, setiap orang perlu berdepan dengan perkembangan dunia semasa, khususnya dalam hal yang berkaitan dengan teknologi.
Menyedari keadaan semasa yang sudah dihambat dengan kemajuan teknologi, terutamanya dalam teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence atau AI) yang meresapi budaya dan mempengaruhi gaya hidup, pada 16 Januari 2024, kerajaan telah melancarkan program AI Untuk Rakyat. Program AI Untuk Rakyat merupakan suatu bentuk pembelajaran dalam talian yang kandungannya diwujudkan melalui kerjasama antara MyDigital Corporation dengan Intel Corporation. Meneliti garis dasarnya, AI Untuk Rakyat ialah program pembelajaran kendiri secara dalam talian yang direka untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang AI.
Program yang dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Putra Malaysia (UPM), secara khusus membawa tujuan untuk memberikan penjelasan tentang AI kepada semua lapisan masyarakat. Hal ini bermakna, program AI Untuk Rakyat terbuka kepada sesiapa sahaja, sama ada pelajar, ibu bapa yang tinggal di rumah, golongan profesional dalam apa-apa jua bidang, dan warga emas yang berminat untuk mengetahui AI dan mempelajari teknologi AI serta yang ingin membina minda digital. Selaras dengan aspirasi kerajaan agar rakyatnya celik teknologi digital, maka program AI Untuk Rakyat juga suatu inisiatif yang menyediakan pemahaman asas mengenai teknologi AI bagi membuka peluang memperdalam pengetahuan teknologi dalam dunia digital. Sejajar dengan hal itu, maka AI Untuk Rakyat diyakini dapat memacu Malaysia membina ekonomi digital yang menepati teknologi masa hadapan dan membolehkan negara menjana nilai ekonomi yang lebih tinggi di persada dunia.
Tanpa menafikan kelebihannya, Pengarah Urusan Intel Malaysia, Puan AK Chong berkata, AI bukan hanya keajaiban teknologi tetapi juga pemacu kritikal bagi sesebuah ekonomi. Dalam kenyataannya, AK Chong membayangkan AI sebagai sebuah jambatan yang menghubungkan setiap individu kepada dunia yang penuh dengan peluang, tanpa mengira latar belakang atau keadaan. Sangat jelas bahawa itulah fokus program AI Untuk Rakyat, iaitu untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan, kemahiran dan peralatan yang diperlukan bagi mencapai kejayaan dalam era digital.
Membaca sejarah kemunculannya, istilah kecerdasan buatan atau AI muncul pertama kali pada tahun 1956 dalam Konferensi Dartmouth, iaitu ketika para ilmuwan merintis langkah pertama dalam pembangunan teknologi kecerdasan buatan. Walau bagaimanapun, hanya pada tahun 2000-an, kemajuan dalam teknologi komputer dan perkembangan algoritma telah memulai era baharu dalam perkembangan AI. Hal ini diakui oleh Naib Presiden Korporat Microsoft Corporation, Ralph Haupter yang menyatakan bahawa tahun 2018 merupakan tahun yang menjadi detik bermulanya arus deras kecerdasan buatan yang pasti menghasilkan gelombang perubahan dan inovasi dalam banyak sektor dan bidang industri, seterusnya memberikan kesan kepada banyak aspek kehidupan masyarakat.
Pada hari ini, terbukti bahawa kemunculan AI telah menjadi satu daripada inovasi paling menarik yang telah merevolusi kehidupan manusia. Teknologi AI dilihat telah menjadi rukun penting dalam pelbagai bidang dan membawa dampak yang cukup besar dalam mempengaruhi cara manusia bekerja, berinteraksi dan membuat keputusan. Hasilnya kini AI telah berkembang jauh dan seiring dengan kecanggihan teknologi yang bakal mendominasi masa hadapan.
Sebagai bukti keseriusan kerajaan terhadap signifikannya keberadaan AI dalam kehidupan pada masa ini, maka program AI Untuk Rakyat dibentuk sebagai lowongan untuk rakyat Malaysia memasuki dunia digital berasaskan teknologi AI. Program AI Untuk Rakyat boleh dicapai melalui portal www.ai.gov.my, yang diwujudkan melalui usahasama MyDIGITAL bersama-sama Intel. Perincian maklumat AI Untuk Rakyat dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, “Kesedaran AI” (AI Aware) dan kedua, “Hargai AI” (AI Appreciate). Pengguna dikehendaki menyelesaikan tugasan atau kuiz yang tersedia dalam portal AI Untuk Rakyat. Tugasan dalam kedua-dua bahagian boleh disiapkan dalam masa empat jam. Tugasan dalam setiap bahagian adalah berdasarkan konsep berkaitan dengan AI yang diselesaikan melalui aktiviti dan kuiz yang menarik. Selepas berjaya melepasi kuiz tersebut, pengguna akan menerima lencana yang boleh ditunjukkan dalam akaun media sosial masing-masing. Pengguna boleh mengambil kuiz ini seberapa banyak yang mereka mahu. Selepas menyelesaikan kuiz berkenaan, pengguna akan menjadi pemegang lencana AI Aware dan AI Appreciate.
Secara khusus, portal AI Untuk Rakyat memberikan pemahaman asas dan aplikasi AI, termasuklah penjelasan tentang mitos dan salah tanggapan tentang AI. Selain itu, pengguna juga mendapat pengetahuan tentang domain utama AI, seperti Visi Komputer (Computer Vision), Pemprosesan Bahasa Semula Jadi (Natural Language Processing), Data Statistik (Statistical Data) dan Etika AI (AI Ethics). Oleh itu, jelaslah bahawa program AI Untuk Rakyat telah direka bentuk untuk membolehkan rakyat mengambil langkah pertama untuk mengenali AI, seterusnya memasuki dunia inklusif AI. Dengan memiliki pemahaman asas tentang AI, ilmu dan maklumat yang diperoleh dapat memperkasakan rakyat Malaysia supaya boleh bercakap mengenai AI.
Semasa pelancarannya, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, AI merupakan suatu bidang yang mesti dikuasai pada masa sekarang kerana teknologi AI merupakan suatu perubahan yang perlu diterima oleh semua pihak. YAB Perdana Menteri juga meletakkan harapan agar pemimpin setiap universiti memastikan semua pelajar tanpa mengambil kira disiplin pengajian mengikuti program AI Untuk Rakyat. Selain pelajar, anggota pentadbiran kerajaan termasuklah Jemaah Menteri juga diwajibkan mengikuti dan menyelesaikan program AI Untuk Rakyat. Tidak mahu program berkenaan menyepi dan dipandang sepi oleh rakyat selepas pelancarannya, YAB Perdana Menteri menyeru, “Bermula hari ini mesti ada usaha untuk memperkenalkan aplikasi ini. Laporan tentang apa telah dilakukan untuk melaksanakan usaha pencerahan atau kecelikan AI ini mesti dikemukakan. Dalam tempoh satu bulan dari hari ini, berikan laporan apa yang telah diusahakan dan berapa jumlah anak-anak kita yang telah menamatkan kursus awal yang berlangsung selama empat jam ini.”
Bagi golongan pelajar, program AI Untuk Rakyat memberikan gambaran asas tentang dunia AI yang bertujuan untuk menarik minat mereka menceburi dan membina kerjaya dalam sektor tersebut. Bagi golongan masyarakat lain, program AI Untuk Rakyat dapat memberikan kefahaman asas tentang AI, iaitu sebuah teknologi yang boleh membawa manfaat besar kepada individu, masyarakat dan negara. Oleh itu, arahan susulan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, melalui surat pekeliling bertarikh 17 Januari 2024 yang mengehendaki semua penjawat awam di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan untuk menyelesaikan program pembelajaran dalam talian AI Untuk Rakyat. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan Surat Edaran Pelaksanaan Program AI Untuk Rakyat Dalam Kalangan Penjawat Awam yang boleh dimuat turun melalui laman web jpa.gov.my (Surat Edaran JPA/KPPA/016 JLD18 (52)).
Meneliti pekeliling berkenaan, penyertaan penjawat awam dalam program AI Untuk Rakyat dilihat berupaya meningkatkan pencapaian pelaksanaan inisiatif pendigitalan oleh kerajaan dalam perkhidmatan awam. Walau bagaimanapun, JPA tidak menetapkan tarikh akhir secara khusus bagi penjawat awam menyelesaikan program berkenaan, namun JPA mahu laporan kemajuan mengenai penyertaan dalam program itu diserahkan kepada Kementerian Ekonomi. Yang pasti, semua penjawat awam di kementerian/jabatan/agensi peringkat persekutuan dan negeri serta badan berkanun di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan dikehendaki menyelesaikan program pembelajaran AI Untuk Rakyat yang dibuat secara dalam talian untuk mendapatkan pengiktirafan “AI Aware” dan “AI Appreciate”.
Oleh hal yang demikian, semua rakyat Malaysia digalakkan untuk mendaftar sebagai “pelajar” dan memulakan sesi pembelajaran kendiri AI yang boleh diikuti secara percuma melalui http://ai.gov.my. Pengguna boleh memilih domain yang diminati dan memulakan perjalanan pembelajaran AI secara kendiri yang akan membawa mereka langkah demi langkah melalui topik yang menjadi pilihan mereka. Dengan memiliki pengetahuan yang diperoleh daripada program AI Untuk Rakyat, maka tidak hairanlah jika rakyat Malaysia mampu mencipta minda digital hasil daripada pengembaraan menerokai dunia AI.