Oleh Hamdan Abu
18 Februari 2024, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 16 September 1963, ungkapan “Inilah Radio Malaysia” telah berkumandang buat pertama kalinya menerusi corong radio Malaysia, serentak dengan penubuhan Hari Malaysia. Ungkapan ini menggantikan sebutan “Radio Malaya” yang sering diucapkan oleh juruhebah radio tanah air pada ketika itu. Siaran radio gelombang pendek antarabangsa telah dilancarkan pada 15 Februari 1963 dan dikenali sebagai “Suara Malaya”, namun telah ditukar namanya menjadi “Suara Malaysia”.

Radio gelombang pendek (SW) dan Radio gelombang sederhana (MW) merupakan teknologi penyiaran analog siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang menggunakan frekuensi tinggi (HF) sebelum bertukar kepada gelombang FM (frequency modulation) pada tahun 1975. Gelombang pendek merangkumi semua jalur frekuensi tinggi (HF) yang menjangkau dari tiga (3) Megahertz (MHz) hingga 30 MHz atau 3,000 Kilohertz (kHz) hingga 30,000 kHz. Dalam ukuran frekuensi, nilai MHz lebih besar daripada Hz dan GHz, iaitu satu (1) MHz = 1,000 000 Hz = 1,000 kHz= 0.001 GHz.

Beberapa tahun selepas negara mencapai kemerdekaan, Suara Malaysia disiarkan dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan Indonesia, namun selepas itu, sebanyak 18 bahasa asing dapat diikuti oleh pendengar di negara Asia, Amerika dan Eropah. Suara Malaysia disiarkan dari studio RTM di Kota Media, Angkasapuri, Kuala Lumpur, menerusi stesen pemancarnya di Jalan Cheras, Kajang, Selangor.

Siaran Suara Malaysia diwujudkan untuk memperkenalkan Malaysia pada dunia luar di samping menyampaikan pembentukan dasar kerajaan negara yang telah menggabungkan Sabah, Sarawak dan Singapura, yang dianggap masih lagi baharu pada ketika itu. Suara Malaysia juga menyiarkan rancangan yang dapat mengeratkan persahabatan antara Malaysia dengan negara lain di dunia di samping memperkenalkan budaya dan cara hidup rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Suara Malaysia ditamatkan

Selepas 48 tahun Suara Malaysia berkumandang di dunia menerusi gelombang pendek, siaran itu ditukarkan kepada audio siar (podcast) Internet pada 31 Ogos 2011 dan akhirnya ditamatkan pada tahun 2012.

Selain itu, Suara Malaysia dalam bahasa Arab, Myanmar dan Thailand pula telah ditamatkan lebih awal, iaitu pada tahun 2009. Begitu juga dengan siaran bahasa Tagalog untuk pendengar dari Filipina yang dipancarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kota Kinabalu, Sabah, sejak 1 Oktober 1973, telah ditamatkan operasinya pada 30 April 2022.

Penutupan siaran Suara Malaysia dipersetujui oleh kabinet selepas mengambil kira beberapa justifikasi serta perkembangan teknologi maklumat, penyiaran dan komunikasi mutakhir. Keberkesanan matlamat siaran itu juga sudah tidak dapat dicapai disebabkan oleh jumlah pendengar yang semakin berkurangan dan terdapat pelbagai saingan daripada stesen radio dan ledakan Internet. Selain itu, capaian siaran gelombang FM untuk Sabah dan Sarawak semakin meluas dan menyebabkan keperluan penyiaran menggunakan gelombang pendek sudah tidak menjadi keutamaan lagi.

Pendengar Radio Gelombang Pendek

Sejak tahun 1920-an telah wujud hobi mendengar radio gelombang pendek dan sederhana atau disebut sebagai Short Wave Listener (SWL). Peminat SWL mendengar pelbagai siaran radio di dunia seperti berita dan muzik antarabangsa dari pelbagai tempat. Hobi ini juga berlaku dalam kalangan penggemar siaran radio antarabangsa di Malaysia. Pada ketika itu, frekuensi dalam kebanyakan radio boleh ditala kepada berbagai-bagai frekeuensi gelombang pendek antara 1,700 kHz hingga 30,000 kHz dalam mod modulasi amplitud (AM).

Radio yang boleh menerima siaran gelombang pendek (SW) dan gelombang sederhana (MW).

 

Antara peralatan radio yang boleh menerima siaran gelombang pendek (SW) dan gelombang sederhana (MW)

Selain peralatan radio penerima atau receiver yang biasa, gelombang pendek boleh juga didengar melalui peralatan radio amatur yang dikendalikan oleh penggiat radio amatur berlesen dalam mod frekuensi tinggi (HF). Biasanya penggiat radio amatur boleh mendengar dengan mudah kerana mereka lebih memahami perkara teknikal radio seperti frekuensi, antena dan propogasi.

Wai FM RTM

Walaupun radio gelombang pendek mungkin dianggap bukan peranti pilihan yang popular pada zaman teknologi moden pada hari ini, namun masih relevan sebagai alternatif kepada gelombang FM pada keadaan tertentu. Radio gelombang pendek boleh menjadi pilihan atau pengganti jika komunikasi moden seperti telefon, televisyen dan internet mengalami gangguan, tergendala atau terputus.

Oleh itu, bagi kawasan pedalaman yang sukar untuk dibangunkan infrastruktur radio FM, radio gelombang pendek seperti Wai FM RTM (Wai FM) mungkin pilihan terbaik kerajaan. Melaluinya, usaha kerajaan untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai tidak terhenti malah pancarannya boleh menjangkau ke sebahagian besar pelosok  dunia.

Pada awalnya, Wai FM merupakan siaran radio tempatan yang menggunakan bahasa Bidayuh dalam rangkaian Radio Sarawak dan telah dilancarkan pada Jun 1963. Wai FM telah berkongsi stesen dengan bahasa Iban dan telah bersiaran di Radio Sarawak tiga bulan sebelum tertubuhnya Malaysia pada 16 September 1963.

Penulis boleh mendengar Wai FM menerusi peralatan radio gelombang pendek, walaupun kadang kala audionya tidak begitu jelas. Di samping itu, pendengar atau SWL boleh mengikuti siaran Wai FM secara dalam talian menerusi pautan: https://waifmiban.rtm.gov.my/

Pada ketika ini, RTM hanya mengendalikan dua stesen radio gelombang pendek, iaitu Sarawak FM menggunakan frekuensi 9.835 MHz dan Wai FM Bidayuh – Iban menggunakan frekuensi gelombang pendek 11.665 MHz. Siaran tersebut dipancarkan dari stesen pemancar RTM Jalan Cheras, Kajang, berkuasa 100 kW. Manakala, Asyik FM yang menggunakan frekuensi 6.050 MHz telah ditamatkan pada tahun 2018.

Antena pemancar gelombang pendek dan sederahana RTM, di Jalan Cheras, Kajang.

 

Stesen pemancar RTM, di Jalan Cheras, Kajang, Selangor.

Panduan Mendengar Gelombang Pendek

Pada zaman ini, tidak sukar bagi pendengar yang ingin mendengar siaran radio dari pelbagai negara di dunia. Hobi mendengar radio gelombang pendek tidak  memerlukan peralatan radio yang mahal atau yang berteknologi tinggi. Memadai dengan memiliki sebuah radio frekuensi gelombang pendek dari tiga MHz hingga 30 MHz seperti radio bimbit pada gambar yang ditunjukkan di bawah.

Jika anda ingin mendengar sesuatu siaran radio gelombang pendek, anda perlu mengetahui masa siaran dan frekuensi yang digunakan. Hal ini demikian kerana anda tidak akan mendengar apa-apa audio atau suara daripada radio bimbit jika tidak mengetahui masa siarannya kerana radio gelombang pendek tidak dipancarkan sepanjang masa. Secara umumnya, negara Asia dan Australia memancarkannya pada waktu pagi, manakala negara Eropah pula pada waktu malam waktu tempatan.

Siaran radio gelombang pendek pada setiap negara di dunia tidak memancarkan frekuensi secara berterusan selama 24 jam. Selain itu, siaran radio sesuatu negara mungkin tidak dipancarkan dalam bahasa negaranya sendiri atau berkemungkinan juga dipancarkan dari negara lain.

Radio British Broadcasting Corporation (BBC) Worldservice berbahasa Inggeris sebagai contoh, selain berpangkalan di London juga dipancarkan di beberapa buah negara lain misalnya di Moscow, Russia menggunakan gelombang pendek 25 meter melalui frekuensi 12.085.000 MHz. Manakala China Radio International (CRI) yang berpusat di Beijing menggunakan frekuensi 12.065.000 MHz dan dipancarkan dari St. Petersburg, Russia. Stesen Radio Japan (NHK) pula bersiaran dalam 18 bahasa  dan dipancarkan dari beberapa buah negara lain seperti di Indonesia, Thailand, Singapura, Amerika Syarikat dan banyak lagi negara lain yang menggunakan frekuensi FM dan SW. Sebagai rekod, siaran bahasa Melayu BBC World Service pernah dipancarkan di Malaysia selama 50 tahun sebelum ditamatkan pada 31 Mac 1991.

Walau bagaimanapun, kebanyakan negara di dunia masih aktif memancarkan siaran radio gelombang pendek dengan matlamat tertentu. Mereka menggunakan pelbagai jalur atau band frekuensi daripada jalur 120 meter hingga 11 meter (lihat Jadual 1). Matlamat stesen tersebut antara lain untuk memberikan maklumat negara mereka kepada dunia luar yang gelombang FM tidak dapat dipancarkan sebegitu jauh.

Jadual 1 Antara Frekuensi Radio Gelombang Pendek (SW) dan Sederhana (MW) bagi beberapa buah negara.

(Sumber: https://shortwaveschedule.com/)

Radio  gelombang pendek juga memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat pada masa kecemasan seperti peperangan atau darurat sekiranya radio FM tidak dapat beroperasi. Sebagai contoh, Austarlia, China, India, dan Korea masih aktif memancarkan siaran radio melebihi daripada 10 stesen gelombang pendek. Negara lain termasuklah Romania, Vatican, Turkey, Taiwan dan lain-lain.

Amerika Syarikat memancarkan lebih daripada 60 stesen radio gelombang pendek menerusi pelbagai jalur  atau band frekuensi dari dalam dan luar Amerika. Kandungannya juga mengandungi pelbagai bahasa pengantar selain bahasa Inggeris serta mencakupi pelbagai perkara, antaranya termasuklah politik dan rancangan agama. 

Stesen Radio Luar Negara 

Di Malaysia, banyak stesen radio gelombang pendek luar negara dapat didengar di beberapa tempat di negara ini. Siaran Suara Turki dalam bahasa Inggeris yang menggunakan frekuensi 9.660 MHz dapat didengar di Pulau Pinang pada pukul 5.30 petang hingga pukul 6.30 petang pada setiap hari.

Suara Indonesia menerusi frekuensi 4.750 MHz dalam bahasa Jepun boleh didengar di kebanyakan pantai barat Semenanjung Malaysia pada waktu pagi. Dari negara China, pendengar gelombang pendek di Malaysia boleh mendengar siaran bahasa Melayu stesen CRI selama satu jam menerusi frekuensi 15.135 Mhz pada pukul 5.30 petang hingga pukul 6.30 petang dan 17.680 Mhz pada pukul 8.30 malam pada setiap hari.

Stesen luar negara lain yang dapat didengar di negara ini ialah Suara Amerika (VOA), Radio Antarabangsa Romania (RRI), Radio Myanmar, Radio Nasional China (CRN), Radio New Zealand, Vietnam dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, kejelasan siaran tersebut bergantung pada beberapa faktor seperti propogasi, cuaca dan peralatan radio yang digunakan. Ketika cuaca buruk, siaran mungkin tidak dapat diterima dengan jelas. Propogasi bermaksud arah ayunan pergerakan atau perambatan gelombang radio sama ada secara membujur atau melintang di mana alat radio penerima perlu menggunakan antena yang bersesuaian dengan arah gelombang tersebut.

Kelebihan Radio Gelombang Pendek

Stesen radio gelombang pendek penting dalam beberapa industri tertentu kerana siarannya boleh dihantar sejauh beribu kilometer dari stesen pemancar. Kuasa pemancar radio gelombang pendek serendah satu (1) watt hingga 500 kilowatt (Kw) atau lebih tinggi. Radio gelombang pendek juga digunakan dalam industri angkasa untuk komunikasi antara juruterbang dengan menara kawalan di bumi. Industri lain yang menggunakan gelombang ini ialah ketenteraan, perkapalan dan maritim serta satelit atau stesen angkasa lepas.

Encik Philip Yong Chin Foong, penggemar radio gelombang pendek.

Menurut Encik Philip Yong Chin Foong, 30 tahun, radio gelombang pendek merupakan satu daripada pilihan terbaik untuk memancarkan siaran radio di kawasan terpencil yang tidak mendapat liputan gelombang FM. Beliau telah menghabiskan masa antara tujuh hingga lapan jam sehari pada waktu hujung minggu untuk mendengar radio.

Disebabkan hobi tersebut, Encik Philip sering menjelajah ke beberapa buah tempat terpencil atau kawasan yang jauh dari bandar untuk menguji liputan stesen radio tempatan mahupun antarabangsa. Melalui penjelajahnya di Pengkalan Hulu dan Lenggong di Perak, beliau mendapati bahawa siaran radio Perak FM tidak dapat diterima dengan jelas di kawasan tersebut.

Namun begitu, dua kawasan tersebut  boleh menerima siaran dari Kedah FM (90.5 Mhz) yang dipancar dari Gunung Jerai, Kedah, atau Mutiara FM (95.7 Mhz) yang dipancar dari Bukit Penara, Pulau Pinang, dan siaran RTM lain seperti Nasional FM (95.4 MHz) dari stesen pemancar yang lain. Malah, siaran radio Thailand juga boleh diterima di beberapa tempat di utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia.

Encik Philip berkata:

Aktiviti membentuk kumpulan pendengar radio gelombang pendek (DXing) bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai kebolehcapaian isyarat radio di sesuatu lokasi, terutamanya di kawasan pedalaman”. (DXing berasal daripada huruf DX, iaitu isyarat kod morse yang bermaksud distance. DXing bermaksud mendengar dari jarak jauh dan dikaitkan dengan aktiviti mendengar atau komunikasi radio).

Kad QSL daripada Stesen Radio Antarabangsa Romania yang dihantar kepada Encik Philip Yong.

Sebagai seorang penggemar radio gelombang pendek, Encik Philip telah mendengar lebih daripada 120 stesen radio dari seluruh dunia sejak 18 tahun yang lalu, bermula dengan Radio Singapura Antarabangsa pada tahun 2006. Stesen paling jauh yang pernah beliau dengar ialah stesen radio Brazil yang berjarak kira-kira 17,433 kilometer dari Bandar raya Kuala Lumpur.

Peminat radio gelombang pendek yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Simon Loh, 50 tahun, berkata, dunia pada hari ini menghadapi lebih banyak cabaran seperti bencana alam, ketidaktentuan politik dan ekonomi, peperangan serta krisis kesihatan. Oleh itu, sangat penting untuk mempunyai radio bagi mendapat maklumat yang disampaikan secara terus sama ada pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Menurut Encik Simon Loh:

Peralatan radio tidak memerlukan kuasa pancaran yang tinggi. Radio murah juga boleh mendengar apa-apa yang didengar oleh radio yang mahal. Sesiapa saja boleh menggunakan dan mendengar radio kerana peranti itu mudah didapati (dibeli) dan tidak memerlukan lesen. Selain itu, radio gelombang pendek menyiarkan maklumat mentah yang pantas, berita terkini, pelbagai maklumat hiburan dan mengenali budaya sesebuah tempat.

Seorang lagi peminat radio gelombang pendek, Encik Mohamad Haidir Hasim, 28 tahun menjelaskan bahawa beliau mula mendengar radio antarabangsa sejak tahun 2022 selepas menerima hadiah sebuah radio gelombang pendek daripada adiknya. Mendengar siaran radio telah menjadi minatnya sewaktu kecil dan hobi tersebut berterusan hingga kini. Beliau mula meneroka radio SW daripada pelbagai sumber dan kumpulan penggemar radio SW.

Menurut Encik Mohamad Haidir:

Encik Mohamad Haidir Hasim.

Pada hari bekerja saya hanya mendengar radio dalam dua hingga tiga jam sehari,  namun, jika hari cuti atau dalam perjalanan balik ke kampung di Sabak Bernam, Selangor, saya akan mendengar radio melebihi lima jam sehari. Di Sabak Bernam, siaran luar negara dapat diterima dengan lebih jelas.

 

 

 

Menurutnya lagi, antara stesen luar negara yang diikutinya termasuklah, stesen CRI, Radio Brazil, Suara Turki dan Radio Antarabngsa Romania. Kadangkala selepas mendengar radio tersebut, beliau akan menghantar laporan penerimaan kepada stesen radio berkenaan dan stesen radio tersebut biasanya akan membalas dengan kad QSL. Tambah beliau lagi, sejak setahun yang lalu, beliau telah menerima lebih daripada 30 keping kad QSL daripada pelbagai stesen radio.

Ditanya mengenai masa hadapan siaran radio, Encik Haidir yang bertugas sebagai Pembantu Teknik di Pulau Pinang menjelaskan, “mungkin siaran radio (konvensional)  atau radio gelombang pendek dapat bertahan antara 20 hingga 30 tahun lagi kerana adanya radio Internet yang boleh didengar menerusi telefon pintar. Tambahan pula, siaran Suara Malaysia juga sudah ditamatkan.”

Kad QSL

Sejak dahulu lagi, sebagai tanda amalan dan persefahaman antara peminat dengan stesen radio gelombang pendek, merera akan menghantar atau menerima kad pemberitahuan atau disebut sebagai kad QSL. Kad QSL mirip seperti poskad yang dikirim menggunakan perkhidmatan pos dan dilekatkan setem dengan nilai secukupnya. Kad itu antara lain mencatatkan tarikh dan masa siaran didengar, alamat dan lokasi pendengar, nama dan frekuensi stesen serta laporan mengenai kejelasan audio atau suara yang didengar.

Kejelasan audio merujuk kebolehbacaan dan kekuatan atau kualiti isyarat radio atau readability and signal strength, ringkasnya RST untuk menentukan sama ada siaran tersebut dapat diterima atau didengar. Biasanya pendengar akan melaporkan sama ada audionya sangat jelas, terputus-putus, terganggu dengan stesen lain atau terganggu dengan bunyi bising.

Pentadbir stesen radio akan memberikan perhatian terhadap semua laporan yang diterima dan berusaha untuk mengatasi kelemahan atau kekurangan yang dilaporkan untuk kebaikan pada masa hadapan.

Pada tahun 2024, RTM masih mengamalkan penghantaran kad QSL kepada pendengar stesen gelombang pendek milik kerajaan. Jika dahulu, kad QSL RTM dihantar menggunakan perkhidmatan pos, namun pada hari ini, kad tersebut dihantar secara dalam talian atau menggunakan e-mel. Hal ini bagi menjimatkan perbelanjaan kos setem yang semakin meningkat terutamanya bagi poskad yang dikirim ke seberang laut.

Penulis juga ada menerima kad QSL RTM pada 30 Januari 2024, sebagai tanda pengesahan  telah mendengar siaran radio  gelombang pendek Wai FM pada tarikh yang dinyatakan.  Kad itu dihantar menggunakan e-mel dan ditandatangani oleh Encik Mohd Fauzi Ali Hassan. Siaran Wai FM juga disiarkan menerusi frekuensi 89.5 FM dan 101.3 FM yang dipancar daripada studio RTM Kuching dan Limbang, Sarawak.

Kad QSL RTM yang dihantar kepada Penulis.

Siaran Radio Secara Langsung

Melalui carian menerusi Internet pada pukul 12:55 waktu UTC (Universal Time Coordinated), bertarikh 30 Januari 2024 (bersamaan 8:55 malam, 30 Januari 2024) menunjukkan sebanyak 1,659 stesen radio gelombang pendek telah ke udara secara langsung di seluruh dunia menggunakan 372 bahasa.

Berdasarkan maklumat tersebut, penulis telah membuat pemantauan siaran dalam beberapa hari dan mendengar lebih kurang 30 hingga 45 stesen radio yang telah ke udara dalam pelbagai frekuensi gelombang pendek bagi jalur 25, 31, 40 dan 49 meter, iaitu antara pukul 9.00 malam hingga pukul 11.00 malam dan dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 10.30 pagi. Antara yang dapat didengar ialah Stesen Penyiaran Jepun (NHK) menggunakan frekuensi 11.810 MHz dalam bahasa Jepun, Romania International Radio (RIR) dengan frekuensi 15.160 dalam bahasa Mandarin dan Stesen Reach Beyond, Australia (15.320 MHZ) dalam bahasa Hindi.

Antara stesen lain termasuklah Radio Free Asia (11.795 MHz) Burma, Stesen Wai FM, Sarawak (9.835 MHz, bahasa Bidayuh/Iban), Suara Amerika (VOA) menerusi frekuensi 11.660 MHz menggunakan bahasa Mandarin, China Radio International (CRI) menerusi frekuensi 11.995 MHz dalam bahasa Melayu/Indonesia dan Radio Antarabangsa Filipina (RFI).

Melalui siaran secara dalam talian pula, terdapat banyak siaran radio yang boleh didengar menerusi Internet dalam pelbagai bahasa dan dari pelbagai negara. Laman Radio TuneIn turut menawarkan akses percuma kepada lebih 100,000 buah stesen radio dari seluruh dunia untuk menyiarkan berita dan maklumat semasa, sukan, muzik dan sebagainya.

Hari Radio Sedunia

Berdasarkan fakta yang diberikan, jelas menunjukkan bahawa banyak lagi stesen radio kerajaan, bukan kerajaan mahupun swasta yang masih lagi relevan pada zaman ini dalam menyiarkan maklumat percuma untuk tujuan komersial. Sejak lebih 10 dekad lalu hingga kini, radio masih mempunyai nilai guna yang berterusan serta boleh digunakan secara mudah alih, terutamanya semasa kecemasan, bencana alam, kemalangan dan juga peperangan.

Siaran radio yang dipancarkan melalui pelbagai gelombang masih mendapat tempat dalam kalangan pendengar radio di seluruh dunia. Namun begitu, adakah kemajuan teknologi Internet dan komunikasi yang berkembang pesat akan menenggelamkan peranan radio seperti yang berlaku pada alat kelui atau pager yang digantikan dengan telefon pintar pada tahun 2000? Diharapkan agar perkembangan teknologi yang semakin pesat ini akan memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat dunia.

Oleh itu, bersempena dengan Hari Radio Sedunia yang disambut pada 18 Februari  di seluruh dunia, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menyeru agar semua stesen radio di dunia menganjurkan acara yang berkaitan dengan radio bagi menyemarakkan lagi sambutan pada tahun ini.

UNESCO menetapkan pengisian Hari Radio Sedunia 2024 dengan menyebarluaskan fungsinya, iaitu “memancarkan cahaya pada masa lalu dengan menjadi radio yang luar biasa dan menjadi relevan pada masa ini demi menjanjikan masa hadapan yang dinamik”. Selain itu, sambutan ini juga diharap dapat memperkukuh peranan radio sebagai penyampai maklumat, berita dan hiburan terkini kepada pendengar atau orang ramai.

Penulis merupakan wartawan jalanan atau street journalist yang menulis untuk mengupas isu semasa dan bergiat aktif dalam aktiviti komunikasi radio secara sukarela.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.