22 Februari 2024, 17:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg bersama-sama keluarga Allahyarham memberikan penghormatan terakhir kepada mantan Tuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

Kuala Lumpur – Jenazah mantan Tuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia pada pukul 4.40 pagi semalam selamat dikebumikan di tanah perkuburan keluarganya di Demak Jaya, Kuching, hari ini.

Jenazah dibawa ke Masjid Demak Jaya pada pukul 11.30 pagi dan solat jenazah diketuai oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi selepas waktu solat Zohor.

Jenazah Allahyarham kemudiannya disemadikan bersebelahan pusara isteri pertamanya, Toh Puan Laila Taib.

Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan yang disertai oleh hampir 1,000 ahli keluarga, kenamaan, pegawai kerajaan dan orang awam yang turut memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Turut dihadiri dalam istiadat penghormatan pengebumian ialah Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan anakanda baginda, Pangiran Muda Abdul Mateen Bolkiah serta Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Tun Taib meninggal dunia pada usia 87 tahun selepas dirawat selama 10 hari di sebuah hospital swasta Kuala Lumpur.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Negara untuk dimandi dan dikafankan sebelum upacara penghormatan terakhir dari ahli keluarga dan kenalannya.

Kemudian, pada pukul 1.00 tengah hari semalam, jenazahnya dibawa ke lapangan terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk diterbangkan ke Sarawak bagi urusan pengebumian di tanah perkuburan Demak Jaya.

Difahamkan, jenazah tiba di kediaman pada pukul 3.30 petang semalam.

Sumber foto: Debbie Amanda Padan

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.