23 Februari 2024, 15:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Allahyarham Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud ketika menyampaikan amanat dan merasmikan Pertandingan Forum Remaja Piala Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Peringkat Negeri Sarawak pada tahun 2019.

Kuching – Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Abang Haliman Haji Abang Julai, diiringi pegawai DBP Cawangan Sarawak menghadiri Istiadat Penghormatan Negeri kepada Allahyarham Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud di Atrium Dewan Undangan Negeri Sarawak, semalam.

Abang Haliman (tengah) semasa menghadiri Istiadat Penghormatan Negeri di Atrium Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Abang Haliman berkata,

Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada Sarawak. Bahkan bagi DBP Cawangan Sarawak, sumbangan dan sokongan Allahyarham terhadap aktiviti bahasa dan sastera tidak dapat disangkal lagi.

Allahyarham sentiasa memberikan sokongan terhadap penganjuran program kebahasaan demi perpaduan dan kesejahteraan masyarakat di Sarawak.

Allahyarham Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, 87 tahun, menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Kuala Lumpur sekitar pukul 4.40 pagi pada 21 Februari 2024.

Jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kira-kira pulul 4.25 petang tarikh yang sama.

Orang awam dan kenamaan dari segenap pelosok negeri Sarawak hadir memberikan penghormatan terakhir dalam istiadat yang bermula pada pukul 8.00 pagi.

Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang digelar sebagai Bapa Pemodenan Sarawak telah menerajui Sarawak selama 33 tahun dan merupakan Ketua Menteri yang paling lama berkhidmat di Malaysia.

Sepanjang perkhidmatan, Allahyarham banyak membawa perubahan besar terhadap landskap Sarawak, yakni daripada sebuah kawasan terpencil yang mundur kepada sebuah negeri yang progresif, aman dan dihormati pada hari ini.

Dari aspek politik pembangunan, Allahyarham juga telah menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di bawah payung kepimpinan yang bersifat inklusif, stabil dan mapan.

Berkelulusan Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Adelaide, Australia, Allahyarham turut menulis dan menerbitkan beberapa buah buku, termasuklah Nabi Muhammad dan Misinya, Islam dan Kegunaan Umat Manusia, Kebebasan dalam Pemikiran Islam dan Strategi yang Sesuai untuk Pembangunan Negara Semasa Menghadapi Kekurangan Sumber.

Turut hadir dalam majlis istiadat penghormatan tersebut ialah Tuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri-menteri Sarawak, Timbalan-timbalan menteri, wakil-wakil rakyat, pemimpin-pemimpin masyarakat dan ketua-ketua jabatan.

Pada masa yang sama, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah turut mencemar duli menghadiri istiadat tersebut diiringi oleh dif kenamaan Brunei yang lain.

Baginda Sultan Brunei turut diberikan penghormatan untuk memulakan siraman air mawar dan menabur bunga ke pusara allahyarham semasa majlis pengebumian, diikuti oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.