Oleh G. Manimaran
4 Mac 2024, 18:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pembukaan Sidang Penggal Ketiga Parlimen ke-15 dinanti-nantikan dengan penuh minat oleh sebahagian besar pemegang taruh dalam negara. Malah turut dinanti-nantikan oleh komuniti antarabangsa termasuklah kumpulan pelabur. Begitulah persoalan yang berlegar di minda banyak pihak yang ditemui menjelang istiadat melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim pada 31 Januari lalu. Banyak pihak memperlihatkan minat yang berbeza pada kali ini. Secara rumusannya, kita bakal menyaksikan persekitaran yang sungguh berbeza lagi menarik.

Sebagaimana keunikan sewaktu menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan semasa berlangsungnya PRU-15, istiadat pembukaan sidang Parlimen pada kali ini yang diadakan pada 26 Februari lalu turut melakar sejarah dari pelbagai sudut.

Titah istiadat pembukaan sidang Parlimen pada Februari 2023 lalu telah mencatatkan sejarah tersendiri apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, iaitu Al-Sultan Abdullah telah menekankan beberapa aspek yang menjurus ke arah keperluan kestabilan politik negara. Antara lain, baginda telah meletakkan harapan agar Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri yang terakhir dilantik sepanjang tempoh pemerintahan baginda.  Sebelum ini, gerakan politik untuk menukar kerajaan berlarutan hingga akhir Januari 2024, sehingga apabila DYMM Sultan Ibrahim sendiri telah mengeluarkan titah bahawa baginda tidak akan menerima apa-apa permohonan untuk mengadap baginda sehingga 31 Januari (hari istiadat melafaz sumpah memegang jawatan) kecuali majlis yang telah ditetapkan oleh pihak Istana Negara dan sesi mingguan bersama-sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Kerajaan Negeri Johor.

KDYMM Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim memulakan titah ucapan dengan menarik perhatian bahawa “pemerintahan saya sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah sama seperti Yang di-Pertuan Agong yang terdahulu mengikut Perlembagaan Persekutuan, dasar dan peraturan yang ditetapkan.”

“Kedudukan saya di sini adalah bagi menjalankan tanggungjawab dan memikul amanah Raja-Raja Melayu untuk memastikan kedaulatan tanah air, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat akan senantiasa dipelihara,” titah baginda yang menggelar diri baginda dengan panggilan “saya”, bukannya bahasa istana “beta” yang lazimnya didengari oleh kita.

KDYMM Yang di-Pertuan Agong seterusnya menyeru kesemua ahli Parlimen supaya berganding tenaga demi kepentingan rakyat. Hal ini bermakna, baginda tidak mahu isu politik yang keterlaluan berterusan sehingga membawa kepada siri impak negatif kepada negara. “Saya menyeru semua pihak sama ada yang duduk di sebelah kanan saya atau yang di sebelah kiri saya, marilah kita bersatu hati, berganding bahu dan bekerjasama untuk membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia,” titah baginda.

Siri mesej yang hampir sama, yang dizahirkan oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong ke-16, turut diberikan penekanan.

Pada kali ini, titah pembukaan membawa kepada sekurang-kurangnya 15 nasihat teras, yang jika dilihat dalam kaca mata atau perspektif lebih luas, akan memanfaatkan negara dan rakyat.

Seterusnya baginda bertitah, “di mata saya, kejayaan atau kegagalan negara tidak terletak  di bahu Perdana Menteri sahaja, tetapi merupakan tanggungjawab semua 222 ahli Dewan Rakyat kerana Yang Berhormat semua telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil rakyat mereka di dalam kerajaan.” Sultan Ibrahim mengulangi pendiriannya bahawa keutamaan baginda adalah terhadap keadaan hidup lebih 33 juta orang rakyat Malaysia. “Oleh itu, saya berharap semua ahli Dewan Rakyat akan menumpukan usaha untuk membela nasib hidup seluruh rakyat.”

Menerusi titah nasihat itu, baginda telah mengambil satu langkah ke hadapan dengan meletakkan noktah mengenai polemik yang mahu menjatuhkan dan mengubah Kerajaan Perpaduan, susulan pelbagai “langkah politik” yang diaktakan berlangsung sejak lebih setahun yang lalu. Dalam hal ini, tegas baginda: “Ingin juga saya tegaskan di sini yang saya tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat kestabilan politik negara.” “Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk. Jika ada yang hendak bermain politik, tunggulah pada pilihan raya yang akan datang.”

Meskipun ada pihak kelihatan tidak bersetuju dengan nasihat itu, namun titah pada kali ini telah memberikan keyakinan untuk membawa kestabilan politik yang amat diperlukan pada hari ini. Mandat semasa selama lima tahun, susulan PRU-15 pada 19 November 2022, berbaki tiga setengah tahun atau hingga penghujung tahun 2027.

Kedua, baginda juga mengingatkan bahawa Parlimen merupakan tempat para penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan Ahli-ahli Dewan ialah para penggubalnya. “Oleh itu, adalah tidak masuk akal jika penggubal undang-undang itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat,” titah baginda dan seterusnya menegaskan bahawa “oleh yang demikian, saya harap semua Ahli Dewan akan tunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di Dewan yang mulia ini dengan mematuhi peraturan sepanjang tempoh persidangan.”

Ketiga, baginda turut menyampaikan nasihat yang cukup membina dalam soal perpaduan. “Saya perhatikan setelah lebih 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna kerana masih ada generasi pada hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum lain. Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.” “Pepatah Melayu ada menyebut, melentur biarlah waktu rebung yang bermaksud jika kita hendak melahirkan generasi masa hadapan yang bersatu padu dan saling memahami, kita mesti membentuk mereka sejak anak kecil.” Malah, baginda juga menyeru semua lapisan masyarakat supaya memperkukuh perpaduan negara dan tidak menghasut rakyat dengan memainkan isu 3R, iaitu kaum (race), agama (religion) dan raja (royal).

Keempat, keperluan menghormati Perlembagaan Persekutuan. “Kita semua sedia maklum bahawa Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang utama negara yang mesti dihormati. Perlembagaan merupakan hasil daripada persetujuan Raja-Raja Melayu yang membentuk persekutuan dan memberikan punca kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang.” Baginda seterusnya bertitah, “Perlembagaan Persekutuan telah mengiktiraf Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan akan terus kekal dipelihara. Namun begitu, agama-agama lain masih dibenarkan untuk diamalkan dengan aman tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Oleh itu, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba memutarbelitkan atau mempolitikkan asas Perlembagaan.”

Kelima, baginda menzahirkan rasa puas hati dengan langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam menyelesaikan perkara yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Oleh itu, baginda berharap agar perjanjian yang dimeterai itu dapat dimanfaatkan oleh semua pihak berkepentingan dalam memenuhi hasrat dan aspirasi demi kemakmuran bersama.

Keenam, baginda juga berasa amat kecewa kerana negara pada hari ini sedang menanggung beban hutang yang semakin besar. Menurut baginda, sejak tahun 1998, Kerajaan senantiasa berada dalam kedudukan defisit fiskal. Baginda seterusnya bertitah, “adakah beban hutang ini yang akan kita tinggalkan untuk ditanggung oleh anak cucu kita nanti?” “Dengan keadaan kewangan kerajaan yang lemah ini, adalah sukar untuk kerajaan melaksanakan projek pembangunan baharu atau memberikan suntikan kewangan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi.” Maka, baginda juga bertitah bahawa dasar-dasar baharu perlu diperkenalkan untuk melengkapi dasar nasional yang lain seiring dengan pendekatan negara yang lebih menyeluruh.

Ketujuh, KDYMM Yang di-Pertuan Agong juga menarik perhatian bahawa baginda sendiri akan melihat pengurusan perbelanjaan kerajaan dengan lebih teliti dan memastikan setiap cadangan perbelanjaan adalah untuk perkara yang betul-betul diperlukan. “Saya berharap semasa pemerintahan saya ini, Kerajaan akan berjaya memperoleh lebihan fiskal pada setiap tahun.”

Kelapan, baginda juga berharap agar kerajaan akan mengambil pendekatan yang proaktif dalam melaksanakan agenda pembaharuan untuk memperkukuh daya saing negara sebagai sebuah ekonomi yang mampan sejajar dengan keperluan semasa.

Kesembilan, baginda juga mahu kerajaan menyediakan insentif yang menarik dan memudahkan segala urusan melalui tadbir urus yang cekap. Baginda seterusnya menitahkan bahawa polisi yang dibuat pada peringkat Persekutuan juga hendaklah disesuaikan dengan keadaan persekitaran di negeri kerana setiap negeri mempunyai keadaan yang berbeza-beza, terutamanya dalam sektor pembangunan hartanah.

Kesepuluh, dengan peningkatan taraf sistem pendidikan tinggi dalam negara, banyak graduan yang bermutu tinggi telah berjaya dihasilkan. Namun begitu, tegas baginda, peluang pekerjaan yang ditawarkan tidak setaraf dengan kelayakan yang dimiliki oleh graduan. Oleh hal yang demikian, titah baginda, kerajaan perlu berusaha menarik pelaburan yang bernilai tinggi supaya peluang pekerjaan yang dihasilkan akan memberikan pendapatan yang berpatutan.

Kesebelas, baginda juga menyeru semua pihak agar memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia 2026. Titah baginda, pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan meneroka peluang ekonomi bagi menjana sumber pendapatan selain mempromosikan budaya dan warisan negara kepada para pelancong yang berkunjung ke negara ini kelak.

Kedua belas, tegas baginda, usaha meningkatkan pengeluaran makanan hendaklah dilaksanakan secara lebih tersusun bagi memastikan tahap jaminan makanan negara mencapai sasarannya. “Pada masa yang sama, pelbagai program untuk meringankan beban petani, penternak, nelayan dan pengeluar makanan perlu ditingkatkan agar penghasilan dan pendapatan mereka berada pada tahap yang tinggi.” Sehubungan dengan itu, baginda bertitah, “memandangkan kos import semakin tinggi, kerajaan perlu meningkatkan usaha dan galakan untuk pengeluaran barangan dalam negara, terutamanya bekalan makanan harian dan bahan mentah.”

Ketiga belas, baginda juga mahu jentera kerajaan meningkatkan kecekapan dan prinsip kerja berintegriti supaya pembangunan ekonomi dapat dicapai dengan jayanya. Baginda juga tidak mahu sistem yang banyak red tape, sebaliknya mahu kecekapan proses kerja dan tadbir urus “sentiasa dinilai dan ditingkatkan.”

Keempat belas, baginda juga menzahirkan harapan agar semua agensi penguatkuasaan dapat menjalankan siasatan dengan lebih cekap dan cepat supaya kes-kes yang ditangani dapat diselesaikan dengan segera.

Kelima belas, pendirian Malaysia dalam mendukung keamanan dan menentang keganasan harus disuarakan dengan lebih tegas pada peringkat antarabangsa. Namun begitu, pada masa yang sama, titah baginda, “peranan aktif Malaysia baik pada peringkat ASEAN mahupun peringkat dunia perlu terus dimainkan bagi memupuk semangat perpaduan dan memacu kemajuan mengambil kira cabaran geopolitik dan perkembangan serantau.”

Titah sulung Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong telah melakar sejarah dengan membawa mesej yang lebih tegas merangkumi pelbagai aspek dan bidang. Kesemua 15 perkara teras yang disampaikan oleh baginda secara langsung berkaitan dengan perjalanan kerajaan dan pentadbiran serta tindak-tanduk faktor politik. Baginda telah menzahirkan sejumlah nasihat yang membina  dengan bahasa yang mudah kepada kesemua wakil rakyat dan anggota pentadbiran. Sebagaimana yang telah dijangkakan, titah pada kali ini merupakan satu permulaan kepada detik yang lebih menarik selepas ini demi menjamin kestabilan negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Semoga mesej ini akan meninggalkan arena yang padu ke arah masa hadapan yang lebih baik. Setiap pemegang taruh perlu faham bahawa mereka ada fungsi, tugas, amanah dan tanggungjawab dalam menambah baik kualiti kehidupan rakyat dan terus memajukan negara. Oleh itu, kita harus mengambil titah nasihat DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dari sudut yang positif.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.