5 Mac 2024, 15:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek memberikan penekanan kepada setiap individu, khususnya ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia atau singkatannya PUSPANITA untuk bersama-sama memainkan peranan dan meningkatkan kesedaran terhadap pelbagai isu terkini melibatkan wanita, kanak-kanak dan pendidikan termasuklah isu keganasan terhadap wanita atau “femicide”.

Demikian inti pati ucapan beliau yang juga merangkap Penaung PUSPANITA Cawangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semasa merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 Peringkat KPM dan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-41 PUSPANITA Cawangan KPM di Auditorium Kompleks E, Putrajaya, pada pagi ini.

YB Fadhlina Sidek (kanan) bersama-sama Pengerusi PUSPANITA Cawangan KPM, YBhg. Dato’ Sri Noorhuda Haji Alias.

Cabaran sosial dan ekonomi memberikan kesan secara langsung kepada kita (wanita)… Ini memberikan anggapan kepada kita bahawa soal keselamatan, soal ‘resilience’, soal kecerdasan pendidikan tentang isu reproduktif sangat penting untuk anak-anak remaja kita.

Pada peringkat KPM, garis panduan pendidikan interaktif perlu disegerakan melalui kerjasama yang akan diperkukuh pada peringkat kementerian bagi memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan sepenuhnya tentang isu-isu ini.

Menyentuh amanat yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) semalam, beliau menegaskan bahawa satu daripada tugas khas (task-force) dalam amanat KPPM tersebut adalah berkait rapat dengan isu keciciran dan kurikulum yang sedang dilaksanakan oleh KPM dan harus disokong oleh komuniti yang lain.

Antara ahli PUSPANITA Cawangan KPM yang hadir bersempena dengan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 Peringkat KPM dan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-41 PUSPANITA Cawangan KPM.

Bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa yang akan disambut pada 8 Mac 2024 dengan tema “Wanita Dijulang Negara Gemilang”, YB Fadhlina Sidek turut meluangkan masa menyampaikan sumbangan “Kami Peduli: Kembali ke Sekolah 2024” berupa bantuan persekolahan, makanan dan wang tunai kepada 56 orang ahli dan 191 orang anak ahli PUSPANITA Cawangan KPM.

YB Fadhlina Sidek (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan persekolahan kepada anak ahli PUSPANITA terpilih.

… Tidak ada maaf untuk PUSPANITA ini melainkan terus bergerak dan menggerakkan masyarakat, khususnya ahli PUSPANITA untuk memastikan isu-isu dan juga pelbagai program yang direncanakan itu benar-benar memberikan manfaat kepada masyarakat.

Dalam ucapan yang disampaikan oleh Pengerusi PUSPANITA Cawangan KPM, YBhg. Dato’ Sri Noorhuda Haji Alias menegaskan bahawa pemerkasaan wanita menjadi misi utama dalam penubuhan PUSPANITA Cawangan KPM. Beliau juga menyeru agar semua wakil PUSPANITA Cawangan KPM proaktif dalam mempromosikan dan melaksanakan aktiviti atau program PUSPANITA di bahagian masing-masing.

Selain itu, dalam majlis tersebut turut disampaikan Anugerah Biro Cemerlang PUSPANITA Cawangan KPM Sesi 2022/2024 yang berjaya dimenangi oleh Biro Pesara dan Keahlian, yang diketuai oleh Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Biro tersebut menerima wang tunai berjumlah RM1,000. Tempat kedua dimenangi oleh Biro Pendidikan dan Pembangunan Keluarga yang menerima wang tunai berjumlah RM600.00. Manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Biro Agama yang menerima wang tunai berjumlah RM400.00

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha KPM merangkap Penasihat PUSPANITA Cawangan KPM, YBhg. Dato’ Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi; Pengerusi PUSPANITA Cawangan KPM, YBhg. Dato’ Sri Noorhuda Haji Alias; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBhg. Dato’ Ahmad Suhaimi Endut; dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM, Encik Wan Hashim Wan Rahim.

Anak-anak PUSPANITA Cawangan KPM yang menerima sumbangan persekolahan, ahli PUSPANITA Cawangan KPM dan tetamu kehormat bergambar bersama-sama Menteri Pendidikan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.