11 Mac 2024, 17:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pembukaan sesi akademik 2024/2025 disambut baik oleh rata-rata murid secara keseluruhannya, hari ini.

Kapar – Keadaan trafik di sekitar sekolah lebih sesak berbanding dengan hari biasa berikutan keterujuaan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka bersekolah buat kali pertama.

Tinjauan mendapati bukan murid sahaja yang bersemangat untuk hadir ke sekolah pada hari pertama, malah ibu bapa juga tidak kurang semangatnya dengan memberikan sokongan moral terhadap anak-anak mereka.

Rata-rata ibu bapa mengambil cuti bagi meraikan pengalaman berharga ini, bahkan ada yang sanggup menunggu di luar pagar sekolah demi melihat gelagat anak-anak mereka berdikari dan bergaul bersama-sama rakan mereka.

Puan Syeira antara ibu yang pertama kali merasai pengalaman istimewa ini turut berkongsi pengalamannya dengan merakam aksi anaknya beratur di sekolah menerusi media sosial miliknya dengan kapsyen, “sedang mengintai anak pergi makan.”

Trafik semakin sesak ketika waktu persekolahan tamat kerana sesetengah ibu bapa yang mengambil perkhidmatan pengangkutan van sekolah membimbing anak mereka menaiki pengangkutan yang dilanggan buat kali pertama.

“Selepas ini ikut pak cik ya, jalan elok-elok.”

Begitulah pesanan seorang ibu murid tahun satu, Cikgu Sabrina kepada anak bongsunya sambil merakam gelagat anaknya menaiki van sekolah buat pertama kali.

Kerjaya beliau sebagai seorang guru tidak menghalangnya untuk menggunakan perkhidmatan van sekolah sejak anaknya yang pertama lagi.

Menurut seorang pengusaha van sekolah yang dikenali sebagai Acik Ibni, suasana meriah seperti ini memang fenomena biasa saban tahun.

“Hari pertama persekolahan memang sesak beginilah dan biasanya saya akan membantu anak-anak yang menaiki van saya, terutamanya anak-anak tahun satu.

“Ibu bapa mereka biasanya akan memerhatikan anak-anak mereka dari jauh untuk memastikan anak mereka tidak salah naik van,” jelas beliau lagi.

Sesi persekolahan 2024/2025 bagi Kumpulan B yang terdiri dari sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bermula pada hari ini.

Bagi sesi persekolahan kali ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih meneruskan kaedah pengecualian pengajaran dan pembelajaran (PdP) sepanjang minggu pertama persekolahan sebagai langkah untuk menggalakkan murid gembira hadir ke sekolah.

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.