18 Mac 2024, 15:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa beberapa komponen tambahan berbentuk aktiviti Jiwa Murni dan Program Titian Kasih dimasukkan dalam Program Lawatan Kerajaan Negeri Perlis Ke Negeri Sabah (Eks PerBah) bertujuan untuk menyokong semua usaha Kerajaan Negeri Sabah dalam sama-sama membangun dan meningkatkan modal insan melalui jati diri dan sifat cinta akan agama, bangsa dan negara, khususnya dalam kalangan para pelajar yang merupakan pelapis kepada barisan kepimpinan pada masa hadapan.

Demikianlah titah baginda semasa berkenan berangkat menghadiri Majlis Iftar Apresiasi Eks PerBah Tahun 2024 yang berlangsung di Hotel Borneo Royale, Tawau.

Keberangkatan tiba baginda ke majlis anjuran Kerajaan Negeri Perlis itu bertujuan untuk menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menganjurkan program pada kali ini.

Raja Muda Perlis berkenan merakamkan gambar bersama-sama dengan peserta yang hadir.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dr Faizal Kamaruddin; Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji dan Penolong Setiausaha Unit Komunikasi Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perlis, Siti Juriana Saad.

Dalam ucapan alu-aluan oleh Datuk Muhd Khair Razman, beliau berharap semoga Program Lawatan Kerajaan Negeri Perlis ke Sabah (Eks PerBah) yang dianjurkan saban tahun itu sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat dan inspirasi kepada semua pihak sama ada pasukan keselamatan, penjawat awam, para pelajar dan penduduk setempat yang terlibat untuk terus berganding bahu bagi membangunkan masyarakat berminda kelas pertama yang berpengetahuan, berbudaya kerja cemerlang, bermoral tinggi serta memiliki jati diri yang kukuh demi pembangunan negara Malaysia yang tercinta ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Rejimen 504 Askar Wataniah dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis selaku urus setia bersama-sama dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta para peserta yang membuat persiapan rapi bagi menjayakan program tahunan yang telah dipimpin oleh Tuanku Raja Muda sendiri sejak tahun 2003 ini.

Penghargaan juga dirakamkan kepada semua pihak yang terlibat di Sabah, khususnya di Tawau dan Semporna yang membantu secara langsung mahupun tidak langsung.

Program ini juga mendapat sokongan padu daripada pihak Kerajaan Negeri Sabah, Majlis Perbandaran Tawau, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia.

Para peserta yang mengambil bahagian secara berbeza setiap tahun ke kawasan-kawasan gerakan keselamatan di sempadan perairan negara di Sabah ini terdiri daripada anggota pentadbiran Kerajaan Negeri, Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, tokoh korporat serta para penceramah motivasi daripada YTSP Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.