26 Mac 2024, 15:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Hanafi Mohd Yusof dan Mohd Farid Janudin

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada hari ini melancarkan buku Hikayat Hang Tuah Manuskrip Terawal Tahun 1758, dan 10 judul Tafsir Maudhu’iy, iaitu Society and Social Development, Politics and Governance, Knowledge and Civilization, Family, Enviromental Conservation, Economy and Finance, Aqidah, Akhlaq, Hudud, Qisas and Ta’zir, dan Ibadah.

Majlis pelancaran buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tersebut berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Buku Hikayat Hang Tuah Manuskrip Terawal Tahun 1758.
10 judul Tafsir Maudhu’iy.

Menurut YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua buku yang dilancarkan pada hari ini merupakan buku yang pernah ditelitinya terhadap kupasan yang disunting oleh Sasterawan Negara (SN) Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sewaktu beliau berada di dalam Penjara Sungai Buloh.

“Kedua-dua buku ini, antara teks penting saya semasa berada di Penjara Sungai Buloh. Oleh sebab saya tidak dimaklumkan awal tentang buku ini, tidaklah saya membawa nota-nota saya itu,” ujar beliau.

Jelas beliau, SN Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh telah memberikan satu kupasan yang lebih menyeluruh, iaitu satu versi yang agak berbeza daripada versi biasa yang ada sekarang.

Tambah beliau,

Dalam pengantar itu, ada beberapa pandangan yang lebih kritis terhadap beberapa tafsiran, sama ada yang terlalu mendewakan atau sebaliknya mengkritik tetapi tidak dalam konteks kita.

Saya ingat persis pandangan SN Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan mengkritik karya klasik tidak lagi dari sudut kaca mata kini kerana konteks itu berbeza dan hal ini juga memberikan jawapan tentang beberapa kupasan terdahulu mengenai Hikayat Hang Tuah.

Penghasilan buku Hikayat Hang Tuah Manuskrip Terawal Tahun 1758 merupakan hasil alih aksara manuskrip oleh YBrs. SN Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.

Buku ini merupakan sebuah kanvas ceritera yang lebar tentang cara berfikir, nilai, hubungan manusia dan antarabangsa pada zaman Melaka, dan sebelumnya yang terkandung mengenai seorang wira Melayu, pergelutannya secara fizikal dan intelektual.

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada hari ini melancarkan buku Hikayat Hang Tuah Manuskrip Terawal Tahun 1758, dan 10 judul Tafsir Maudhu’iy.

Sementara itu, menurut YAB Perdana Menteri, Tafsir Maudhu’iy pula merupakan tafsir al-Quran mengikut tajuk dan setiap tajuk itu dikupas daripada fahaman mufasir tradisional dan pandangan semasa yang kontekstual serta memberikan kefahaman yang lebih mendalam dalam membaca, memahami, menjiwai dan menghayati semangat al-Quran.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir dalam majlis pelancaran buku tersebut pada hari ini ialah Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md Johari Hasan.

Antara barisan tetamu kehormat yang hadir dalam Majlis Pelancaran Buku Terbitan DBP, hari ini.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.