27 Mac 2024, 15:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli

Kuala Lumpur – Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek melancarkan 15 judul buku kanak-kanak terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, pagi ini.

YB Fadhlina Sidek dalam ucap utamanya menyatakan bahawa beliau membesar dengan buku-buku terbitan DBP. Menurut beliau,

Sewaktu saya masih kecil, saya dilatih untuk membaca buku dan membuat persembahan penceritaan semula oleh keluarga saya. Bulan Ramadan merupakan bulan yang paling mewah kerana kami akan dibekalkan dengan buku bagi mengisi masa sewaktu berpuasa.

YB Fadhlina Sidek dalam ucapannya menegaskan bahawa amalan membaca perlu diterapkan seawal usia kanak-kanak lagi di samping memberikan pendidikan secara tidak formal melalui aktiviti membaca.

Tambah  beliau lagi, “Budaya membaca perlu disemai sejak kecil untuk kepentingan masa depan negara. Moyang saya dahulu merupakan seorang penghibur lara. Ramai anak-anak kampung suka berkumpul dan mendengar cerita yang diceritakan oleh moyang saya. Dari situ, kami belajar tentang moral dan mengeratkan hubungan silaturahim.”

Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek menyeru masyarakat agar menyemai budaya membaca sejak dari kecil.

Sebanyak 15 judul buku kanak-kanak dilancarkan dalam majlis tersebut termasuklah Baruh Berjalan Jauh, Yem Sayang, Tiga Ekor Gajah, Didik Seni Visual, Siri Mudahnya Belajar Sains: Dunia Elektrik dan Siri Pandai Baca Buku.

JendelaDBP berpeluang mendapatkan pandangan daripada penulis buku Siri Mudahnya Belajar Sains: Dunia Elektrik, iaitu Puan Rosshada Mohd Lazim ketika ditanya tentang harapan beliau terhadap penerbitan buku tersebut. Menurut beliau,

Melalui penerbitan buku tersebut, saya berharap agar khalayak pembaca khususnya murid sekolah rendah memperoleh manfaat dan dapat menambah ilmu berkaitan dengan asas elektrik yang mudah difahami dan kaedah penjimatan tenaga elektrik. Saya juga berharap agar buku ini dapat menarik minat murid mendalami bidang sains fizik amnya dan bidang elektrik khususnya. Hal ini berikutan bidang tersebut semakin kurang diminati oleh kebanyakan murid.

Penulis buku Siri Mudahnya Belajar Sains: Dunia Elektrik, Puan Rosshada Mohd Lazim bersama-sama editor, Puan Marliana Shamsir dalam majlis pelancaran buku tersebut.

Sementara itu, editor DBP yang menangani penerbitan buku tersebut, iaitu Puan Marliana Shamsir dari Bahagian Buku Sekolah pula berpendapat bahawa sebagai seorang editor, buku Siri Mudahnya Belajar Sains: Dunia Elektrik amat sesuai untuk murid sekolah rendah yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dalam darjah. Tambah beliau lagi, kandungan buku tersebut selari dengan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang digunakan di sekolah rendah.

Menurut beliau lagi, “Saya berharap agar buku tersebut dapat menjadi sumber rujukan yang dapat menyokong buku teks sekolah rendah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).”

Tinjauan pandangan daripada editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja DBP, Puan Shakira Khairuddin menyatakan bahawa buku berjudul Baruh Berjalan Jauh mengandungi nilai murni dan pengajaran yang wajar dicontohi oleh pembaca kanak-kanak. Tambah beliau lagi,

“Kandungan buku ini sesuai untuk pembaca kanak-kanak yang berada di sekolah rendah berikutan teks di dalam buku tersebut lebih panjang berbanding dengan buku Yem Sayang dan Tiga Ekor Gajah. Selain itu, ilustrasi yang terdapat dalam buku ini juga memainkan peranan bagi menarik minat pembaca cilik di luar sana untuk mendapatkan bahan bacaan terbitan DBP ini.”

Yang turut hadir dalam majlis pelancaran buku pada hari ini termasuklah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan; dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.