Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perkembangan teknologi digital pada hari ini memberikan manfaat kepada pasaran buku negara khususnya buku berbahasa Melayu.

Pasaran buku bahasa Melayu kini sudah boleh berdiri sendiri dan mendapat sokongan daripada pihak komersial untuk merancakkan industri buku negara. Perkembangan media sosial dan portal dalam talian memberikan stimulus terhadap perkembangan penulisan dan penerbitan buku berbahasa Melayu.

Demikian menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Penerbit PTS Media Group Sdn. Bhd, Puan Ainon Mohd dalam Sidang Pleno 4, Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu yang bertemakan “Pencetakan, Pengedaran dan Pemasaran” yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP hari ini.

Puan Ainon Mohd ketika membentangkan kertas yang bertajuk “Trend Pengedaran dan Pemasaran Buku Berbahasa Melayu”.

Beliau berkata,

Perkembangan kemudahan pembayaran pada masa ini, iaitu cash on delivery (COD) membolehkan segenap lapisan masyarakat termasuklah masyarakat luar bandar mendapatkan buku bahasa Melayu dengan lebih mudah.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Encik Syazrul Aqram Sulaiman pula, pada tahun 2017 hingga tahun 2020, dunia perbukuan menghadapi masalah untuk dipasarkan disebabkan oleh beberapa isu termasuklah pencetakan buku melebihi permintaan, penamatan program Baucar Buku 1Malaysia, dan situasi ketidaktentuan ekonomi.

Beliau mengupas tentang isu pencetakan melebihi permintaan yang dikatakan berpunca daripada beberapa faktor. Antara faktor tersebut termasuklah harga cetak yang  meningkat sekitar 12 peratus hingga 15 peratus setiap tahun, kos cetak dari tahun 2020 hingga tahun 2023 meningkat sebanyak 50 peratus, dan kos mencetak 2000 salinan lebih murah berbanding dengan mencetak 1000 salinan buku.

Menurut beliau,

Dapat dilihat bahawa rata-rata pemain industri terutama penerbit akan memilih untuk mencetak lebih banyak salinan bagi mendapatkan harga per salinan yang lebih murah agar dapat mengekalkan atau menambah keuntungan serta menurunkan modal cetak.

Perkara ini mendatangkan masalah apabila buku tidak dapat dijual dengan banyak. Hal ini menjadikan lebihan stok tidak terjual semakin bertambah sejajar dengan penambahan judul baharu.

Lalu, perkara ini menyebabkan masalah baharu, termasuklah gudang penyimpanan stok buku semakin penuh sehingga perlu menambah gudang baharu bagi menampung stok buku yang semakin bertambah; tenaga kerja bagi mengendalikan stok buku juga perlu ditambah terutama di bahagian pemasaran, pembungkusan dan jualan agar dapat menghabiskan stok buku yang tidak terjual; dan keperluan mengadakan jualan gudang bagi menghabiskan stok buku yang tidak terjual.

Encik Syazrul Aqram Sulaiman mengemukakan isu dan permasalahan dunia perbukuan dalam Sidang Pleno 4, Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu.

Walau bagaimanapun, menurut beliau dalam memperhalusi hal permintaan, dunia perbukuan negara telah mengalami perubahan sejak kemunculan platform jualan dalam talian seperti e-dagang, Lazada, Shopee dan yang terbaharu menerusi TikTok Shop. Pesta buku terbesar negara, iaitu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur misalnya telah bekerjasama dengan Shopee dan TikTok bagi meningkatkan dan memenuhi permintaan pembaca serta pengunjung.

Melalui kerjasama yang diadakan, permintaan terhadap buku telah meningkat dengan baik sejak tahun 2021. Para penerbit  mulai mencipta akaun Shopee dan TikTok Shop masing-masing bagi mencari dan memenuhi permintaan pengguna.

Perkembangan teknologi pencetakan seperti pencetakan digital akan menjadikan kos lebih murah dan proses pencetakan lebih pantas. Hal inilah yang akan membantu merancakkan lagi industri perbukuan negara.

Turut hadir dalam pembentangan Sidang Pleno 4 yang dipengerusikan oleh editor dari Bahagian Majalah DBP, Encik Ahmad Sayuti Mohd Yusob ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Tuan Haji Md Johari Hassan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.