27 Mac 2024, 23:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 21 resolusi telah diperoleh hasil kupasan daripada 15 kertas kerja dan perbincangan daripada peserta Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu yang berlangsung selama dua hari bermula pada hari semalam di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kertas kerja yang telah dibentangkan oleh peserta merangkumi hala tuju penerbitan; hak cipta dan karya; kandungan dalam penerbitan; serta pencetakan, pengedaran dan pemasaran.

Seminar ini disempurnakan penangguhannya oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari pada petang tadi.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan penangguhan Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu pada petang tadi.

Menurut YBrs. Dr. Hazami Jahari, segala keputusan resolusi yang diperoleh hasil kupasan daripada pembentang kertas kerja seminar tersebut diharapkan dapat dilaksanakan agar penerbitan buku berbahasa Melayu dapat dikembangkan.

“Sesungguhnya harapan saya secara peribadi sangat besar untuk memastikan apa-apa jua keputusan resolusi yang diperoleh daripada seminar selama dua hari ini dapat diambil tindakan yang konkrit. Hal ini demi memastikan industri ataupun penerbitan buku dalam bahasa Melayu ini dapat dikembangkan bukan setakat untuk tujuan komersial semata-mata, tapi jauh lebih penting adalah pembinaan rakyat yang berilmu, rakyat yang membaca dan negara yang dapat dianggap sebagai negara yang tinggi ketamadunannya.”

Tambah beliau lagi,

Kita juga mengharapkan seminar ini dapat menggerakkan kembali industri penerbitan buku bukan setakat dalam buku bahasa Melayu tapi apa-apa jua dalam bentuk buku sekali gus akan memenuhi tuntutan sebagai sebuah negara maju.

Di samping itu, seminar ini berjaya menghimpunkan pemain industri perbukuan daripada pelbagai fungsi, termasuklah penerbit, penulis, pencetak, pengedar dan pembaca yang membuka ruang untuk bertukar-tukar fikiran dan pandangan terhadap dunia penerbitan di negara ini.

Editor Kanan Bahagian Buku Umum DBP, Puan Marsilawati Mohamad Rani ketika menyampaikan hasil resolusi seminar tersebut.

Rumusan pelaporan tersebut dibentangkan dalam Majlis Penangguhan Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu oleh Editor Kanan Bahagian Buku Umum DBP, iaitu Puan Marsilawati Mohamad Rani.

Antara hasil resolusi Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu adalah seperti yang berikut:

  1. Industri penerbitan buku berbahasa Melayu perlu diperkukuh dan dirancakkan dengan pelibatan semua pemain industri. Peranan dan kerjasama dalam kalangan pemain industri, sama ada pada pihak kerajaan, swasta mahupun badan bukan kerajaan akan dapat memperkasakan penerbitan buku berbahasa Melayu. Kerjasama yang erat dapat memastikan pertumbuhan industri perbukuan berbahasa Melayu mampan dan berdaya saing.
  2. Industri penerbitan buku mempunyai hubungan langsung dengan amalan membaca rakyat Malaysia. Oleh itu, aktiviti memperhebat galakan membaca hendaklah seiring dengan usaha memperbanyak penerbitan buku berbahasa Melayu bagi menyemai dan membudayakan minat dan amalan membaca dalam kalangan masyarakat.
  3. Hak cipta ialah aset yang boleh dikomersialkan melalui eksport hak cipta dengan pelesenan merentas negara. Usaha ini perlu dipergiat dan secara langsung usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu dapat dicapai dengan aktiviti ini.
  4. Penulisan buku berbahasa Melayu yang bermutu dalam pelbagai bidang akan membina masyarakat berilmu yang membangun dengan kekuatan bahasa ibunda.
  5. Penterjemahan buku dalam bahasa asing ke dalam bahasa Melayu perlu dipergiat dan dilakukan dengan pantas supaya akses ilmu secara realitinya dapat dilakukan dengan lebih mudah dan pantas.
  6. Penerbit dan penulis perlu memberikan perhatian dan mengambil cakna akan isu berkaitan dengan hak cipta dalam karya yang diterbitkan. Hal ini akan dapat mengelakkan kesulitan apabila karya diterbitkan.
  7. Kegiatan kritikan dan ulasan terhadap buku berbahasa Melayu yang bermutu, sama ada melalui wacana atau penulisan perlu dipergiat agar dapat membantu menarik minat membaca dalam kalangan masyarakat.
  8. Penerbit dan penggiat industri perbukuan negara perlulah memanfaatkan dana yang disediakan oleh kerajaan untuk menghasilkan penerbitan buku dalam bahasa Melayu yang bermutu dan memenuhi keperluan masyarakat bagi memperkasakan penerbitan buku berbahasa Melayu.
  9. Penerbit perlu memperkasakan aspek editorial untuk menghasilkan mutu penerbitan yang baik, seterusnya menghasilkan buku berbahasa Melayu yang bermutu.
  10. Penerbitan buku ilmiah dalam bentuk digital perlu menjadi alternatif kepada penerbitan buku ilmiah dalam bentuk bercetak agar seiring dengan keperluan teknologi semasa.
  11. Kandungan buku kanak-kanak yang diterbitkan seharusnya dapat membina dan meningkatkan literasi, dan membantu pembaca sasar dalam usaha mencapai kehidupan yang lebih baik, dan bukan bersifat mengajar semata-mata.
  12. Pelbagai usaha perlu dilakukan bagi meletakkan kerja terjemahan pada kedudukan yang lebih tinggi dalam mendorong kemajuan industri perbukuan melalui penterjemahan buku berbahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.
  13. Dasar Buku Negara perlu dikaji semula dan ditambah baik mengikut keperluan semasa. Usaha ini perlu diterajui oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
  14. Penubuhan perpustakaan buku berbahasa Melayu dan perpustakaan Pusat Khidmat Masyarakat Wakil Rakyat akan memberikan peluang dan ruang kepada penerbit untuk memasarkan buku, terutamanya penerbitan buku berbahasa Melayu.
  15. Dewan Bahasa dan Pustaka perlu menerajui penubuhan Institut Penerbitan Kebangsaan untuk memperkasakan kemahiran dan latihan dalam bidang editorial.
  16. Menyemarakkan penganjuran pesta buku berbahasa Melayu bagi mendekati seluruh lapisan masyarakat, contohnya Pesta Buku Kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, Lorong Buku, Medan Dagangan Buku (pasar malam, pasar tani dan pasar lambak) sebagai platform dagangan buku berbahasa Melayu. Usaha ini akan diterajui oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.
  17. DBP perlu menubuhkan unit khusus bagi mengembangkan teknologi Malay Large Language Model (LLM) yang masih relatif ketinggalan berbanding dengan bahasa besar dunia lain seperti bahasa Inggeris dan Mandarin. Pakar-pakar kecerdasan buatan (AI) dari universiti tempatan membantu DBP untuk membangunkan LLM bahasa Melayu.
  18. Memberikan baucar buku kepada pelajar sekolah rendah bagi mendorong kemajuan penerbitan buku kanak-kanak. Pemberian baucar ini dapat menggiatkan penerbitan buku kanak-kanak.
  19. Menyediakan geran kepada penerbit buku kanak-kanak agar penerbitan buku kanak-kanak maju seiring dengan kemajuan industri animasi.
  20. Pembangunan spiritual dan minda kanak-kanak perlu disokong dengan penghasilan buku yang menyuntik budaya tradisi Malaysia.
  21. Pembangunan sektor buku kanak-kanak perlu dimasukkan dalam agenda pendidikan nasional dan didanai oleh kerajaan bagi menggalakkan usaha penerbitan buku kanak-kanak oleh penerbit tempatan, seterusnya mendukung usaha pembinaan masyarakat berilmu dari peringkat kanak-kanak.

Turut hadir dalam majlis penangguhan Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu pada petang tadi termasuklah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md Johari Hasan; dan Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa.

Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu yang berlangsung selama dua hari ini, iaitu 26 -27 Mac 2024 mendapat sambutan yang amat mengalakkan daripada pemain industri penerbitan termasuklah tenaga akademik universiti dan institusi pengajian tinggi sebagaimana pandangan yang dikemukakan menerusi video ini, https://www.youtube.com/watch?v=6B3xwD-xGjQ&feature=youtu.be

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.