27 Mac 2024, 15:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Hanafi Mohd Yusof

Kuala Lumpur – Bahan bacaan umum yang berkualiti amat diperlukan agar dapat membentuk minda bagi melahirkan masyarakat yang berilmu.

Selain itu, bahan bacaan tersebut juga dapat membina dan memperkaya daya mental dan intelektual bagi mengisi nilai pendidikan sepanjang hayat.

Demikian antara inti pati pembentangan oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya, iaitu YBrs. Prof. Dr. Hamedi Mohd Adnan yang berjudul “Penerbitan sebagai Sebuah industri: Sejarah dan Masa depannya di Malaysia” di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Kuala Lumpur.

Beliau turut menyentuh tentang Dasar Buku Negara yang secara umumnya untuk memastikan semua buku yang diterbitkan di negara ini mencapai mutu yang baik dari segi kandungan dan fizikal.

Katanya lagi, “Untuk mencapai matlamat tersebut, negara hendaklah memastikan supaya semua kegiatan pembangunan buku dianggap sebahagian daripada perusahaan pendidikan dan dengan demikian perlu dimasukkan dalam perancangan pembangunan negara.”

Tambah beliau, bahasa Melayu yang telah ditetapkan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan secara tidak langsung mempengaruhi industri penerbitan buku berbahasa Melayu selepas negara merdeka.

Jelas beliau menerusi Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu menerusi Sidang Pleno 3 yang berlangsung pada pagi tadi,

Pada dekad 1980-an, bahasa Melayu sudah digunakan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan dari sekolah rendah hingga universiti. Oleh itu, pasaran untuk buku berbahasa Melayu semakin bertambah dan hal ini mengembangkan dunia penerbitan, percetakan dan penjualan buku berbahasa Melayu.

YBrs. Prof. Dr. Hamedi menerangkan tentang sejarah industri penerbitan buku sebelum merdeka hingga kini.

Terdahulu dalam seminar tersebut, Pengarah Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia, iaitu YBrs. Puan Hariza Mohd Yusof  telah membentangkan kertas kerjanya yang berjudul “Kandungan Karya Digital dalam Buku Ilmiah.

Beliau menyatakan bahawa penerbit universiti memainkan peranan yang penting dalam penerbitan karya ilmiah yang juga dikenali sebagai buku penyelidikan. Pada asasnya, buku ilmiah diterbitkan atas keperluan untuk menyebarluaskan hasil kajian penyelidik kepada orang ramai.

Menurut beliau, “Karya ilmiah turut mengalami proses perkembangan dalam dunia penerbitan daripada fizikal kepada penerbitan digital”.

Antara kebaikan karya ilmiah digital ialah memudahkan kepelbagaian tajuk dimuat turun dan boleh diakses pada bila-bila masa berbanding dengan buku ilmiah yang perlu dibeli atau dipinjam secara fizikal dan menyukarkan pengguna kerana kos penghantaran yang tinggi dan saiz fizikalnya yang berat dan sukar dibawa.

YBrs. Puan Hariza menjelaskan ciri-ciri buku ilmiah dalam Sidang Pleno 3.

Tambah beliau, karya digital terhasil dalam pelbagai platform seperti e-buku, versi pdf dan e-pub serta boleh diakses melalui peralatan elektronik atau jaringan komputer.

Buku digital mudah dicapai melalui jaringan internet di samping memenuhi keperluan semasa para pembaca. Hal ini secara tidak langsung akan menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Sidang Pleno 3 yang bertemakan Kandungan dalam Penerbitan telah dipengerusikan Editor Kanan Bahagian Buku Umum, DBP, iaitu YBrs. Dr. Faezah Muhayat.

Yang turut membentang kertas kerja dalam sidang tersebut ialah Presiden Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia, YBhg. Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairudin dan Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Encik Noor Amin Ahmad.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.