27 Mac 2024, 16:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto : Hanafi Mohd Yusof

 

Kuala Lumpur – “Keperluan semakin bertambah terhadap bahan bacaan dan buku terjemahan terutamanya apabila penulis tempatan masih belum dapat menghasilkan buku yang diperlukan dengan secukupnya.”

Demikian menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), YBrs. Encik Noor Amin Ahmad yang turut berkata,

Hal ini semakin relevan apabila terdapat pengaliran masuk maklumat daripada bahasa asing, ditambah dengan ledakan ilmu pengetahuan serta kemajuan sains dan teknologi terkini yang begitu banyak ditulis dalam bahasa utama dunia.

Jelas beliau, hingga Ogos 2023, ITBM telah menerbitkan sebanyak 2,008 judul buku terjemahan. Daripada judul tersebut, sebanyak 1,461 judul daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu, dan 547 judul pula melibatkan bahasa asing termasuklah kepada bahasa Inggeris.

Menurutnya lagi, “Angka ini menunjukkan bahawa sumbangan buku terjemahan bukanlah sedikit terutamanya buku terjemahan bahasa Melayu yang turut menyumbang kepada pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan menunjukkan bahasa Melayu berupaya menjadi bahasa ilmu dalam pelbagai bidang.”

YBrs. Encik Noor Amin Ahmad sedang membentangkan kertas kerjanya yang berjudul “Karya Terjemahan dalam Pembangunan Industri Buku Negara”.

Tambah beliau, ITBM turut mendapati bahawa buku terjemahan ilmiah dalam bidang saintifik mempunyai permintaan yang tinggi daripada pelajar dan pensyarah pusat pengajian tinggi.

Atas keperluan ini, ITBM mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan penerbit terkenal dunia untuk mengenal pasti buku dalam bidang ilmu yang diperlukan terutamanya dalam bidang yang lebih teknikal.

Menurut YBrs. Encik Noor Amin Ahmad, dalam karya besar dunia, ITBM telah menterjemahkan dan menerbitkan karya daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu seperti Sains dari perspektif Kitab Samawi. Karya fiksyen klasik, daripada bahasa Jerman kepada bahasa Melayu. Karya agung Jalaluddin Rumi, kitab Mathnawi yang bahasa asalnya dalam bahasa Parsi juga diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Dengan penerbitan terjemahan buku ini ke dalam bahasa Melayu, masyarakat dapat menikmati dan menghayati pemikiran tinggi penulis asing yang hebat serta dapat memperkaya intelektual pembaca.

“Penterjemahan turut memberikan impak langsung kepada industri perbukuan negara melalui pengayaan bahan bacaan dan bahan rujukan dalam pelbagai bidang pada semua peringkat pendidikan, menyemarakkan budaya ilmu dalam melahirkan masyarakat maju serta mengangkat karya tempatan ke peringkat antarabangsa,” jelas beliau semasa membentangkan kertas kerjanya dalam Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu.

Dalam Sidang Pleno 3 yang bertemakan “Kandungan dalam Penerbitan” yang dipengerusikan oleh Editor Kanan Bahagian Buku Umum, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu YBrs. Dr. Faezah Muhayat, Presiden Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY), iaitu YBhg. Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairudin turut membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Pembangunan Kandungan Buku Kanak-kanak dan Remaja (Peringkat Antarabangsa)”.

Menurut YBhg. Dato’ Ahmad Redza, “Perkembangan pesat dalam industri buku kanak-kanak disebabkan bertambahnya tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan literasi kepada kanak-kanak dan seterusnya menambah keperluan untuk buku dan bahan bacaan yang lain yang boleh membantu mereka bertambah mahir dan memperoleh ilmu pengetahuan”.

YBhg. Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairudin menerangkan tentang pertandingan buku kanak-kanak dan remaja pada peringkat antarabangsa yang boleh disertai oleh Malaysia.

Tambah beliau, ciri-ciri penting dalam cerita kanak-kanak antaranya termasuklah watak-watak cerita yang menyeronokkan dan senang diterima oleh kanak-kanak. Sebagai contoh, kanak-kanak sangat tertarik dengan haiwan dan haiwan ini dihidupkan pula sebagai watak utama dan meneruskan cerita tersebut.

Selain itu menurut beliau, plot atau jalan cerita perlulah menarik perhatian dan sesuai dengan minat kanak-kanak serta mempunyai nilai tertentu yang ingin disampaikan melalui cerita tersebut dan mempunyai ilustrasi yang cantik dan menarik.

YBhg. Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairudin turut menjelaskan tentang pelibatan MBBY dalam International Board on Books for Young People (IBBY yang memberikan peluang kepada Malaysia untuk mengikuti program dan pertandingan yang dianjurkan oleh IBBY sebagai penanda aras buku dan ilustrasi yang berkualiti pada peringkat dunia.

Katanya lagi, “Kita tidak boleh hanya berpuas hati dengan sijil penghargaan dan anugerah pada peringkat negara Malaysia sahaja. Kita harus boleh berdialog dan berdiskusi dengan penerbit, penulis dan ilustrator dari luar negara tentang hala tuju kita. Pelbagai aktiviti MBBY dan IBBY di Malaysia dan pada peringkat antarabangsa harus disemarakkan dan dimanfaatkan dengan sepenuhnya sementara ada”.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.