Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd. Farid Janudin

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) buat julung-julung kalinya mengadakan Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu sebagai medan pertemuan pemain industri penerbitan, penulis dan ilmuwan bagi mengangkat potensi industri perbukuan negara, khususnya buku bahasa Melayu.

Seminar yang diadakan pada 26 dan 27 Mac 2024 tersebut telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Majlis perasmian itu turut disaksikan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan; dan Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami.

Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa ketika berucap mengenai pemerkasaan penerbitan buku berbahasa Melayu.

Dengan mengangkat tema “Memperkasakan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu”, Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa berkata,

Penganjuran seminar ini penting bagi membina pembudayaan ilmu dalam kalangan masyarakat, sekali gus membina peradaban manusia.

Tradisi keilmuan sebegini perlu diteruskan oleh pemain industri bagi bertukar-tukar fikiran, idea dan maklumat dalam usaha membantu menggiatkan industri buku berbahasa Melayu.

Ujar beliau,

Pemain industri perlu menyokong usaha DBP dalam memperkasakan penerbitan buku berbahasa Melayu melalui penganjuran pelbagai seminar dan wacana bagi membincangkan pelbagai isu yang berkaitan dengan industri penerbitan.

YB Fadhlina tertarik dengan buku terbitan berbahasa Melayu yang dikatakan banyak memberikan nilai murni terhadap pembangunan dan pembinaan bangsa.
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dan YBhg. Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad melihat karya-karya agung yang diterbitkan dalam bahasa Melayu di reruai DBP.
Sekitar kemeriahan seminar dengan kehadiran pengunjung di reruai DBP bersempena dengan Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Sementara itu, Pengarah Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia, YBrs.Puan Hariza Mohd. Yusof ketika ditemu bual oleh wartawan JendelaDBP berpendapat, penganjuran seminar ini perlu dilakukan secara berterusan supaya masyarakat lebih peka dengan perkembangan penerbitan di Malaysia.

Pengarah Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia, YBrs. Puan Hariza Mohd. Yusof ketika diwawancara.

Seminar ini sangat bagus, malah jarang-jarang sekali ada seminar yang membentuk dan menggalakkan penerbitan buku berbahasa Melayu. Pada kebiasaannya, seminar sebegini banyak dilakukan di luar negara sahaja.

“Yang menariknya, seminar ini dapat menghimpunkan para penggiat industri untuk membincangkan perkembangan semasa tentang industri buku, terutamanya buku berbahasa Melayu dan buku ilmiah.

“Hal ini sangat penting kerana kita tiada data terkumpul yang baik untuk dijadikan sebagai rujukan dan penyelidikan kelak.

Pegawai Kebudayaan Istana Budaya, Puan Natassya Omar percaya bahawa seminar ini mampu memartabatkan industri buku bahasa Melayu seiring dengan pasaran semasa.

Dalam perkembangan yang sama, Pegawai Kebudayaan Istana Budaya, Puan Natassya Omar yang juga peserta seminar mengatakan bahawa pentingnya penganjuran seminar sebegini sebagai wadah menghimpunkan penerbit, pengkarya dan penulis buku seluruh Malaysia yang memberikan fokus yang lebih luas dalam pemantapan penerbitan buku pelbagai genre.

Perkongsian kertas kerja oleh para pemakalah memberikan satu suntikan ilmu baharu seiring dengan perkembangan semasa dan juga penting bagi saya selaku wakil agensi Istana Budaya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam memberikan pendedahan tentang selera pembaca yang kini mempunyai beberapa pilihan akses pembacaan buku seperti e-buku, e-pub dan buku audio.

Pengurus Pujangga Baru Enterprise, Encik Nazirul Mubin bersama-sama YB Fadhlina ketika lawatan ke pameran buku Pujangga Baru.

Menurut Pengurus Pujangga Baru Enterprise, Encik Nazirul Mubin pula, seminar ini merupakan platform terbaik untuk pemain industri mengkaji jenis dan judul buku yang berkualiti, serta mampu memenuhi permintaan orang ramai.

Seminar ini umpama hari raya bagi industri perbukuan negara.

“Sambutan sangat menggalakkan kerana di sinilah ruang untuk setiap pemain industri melihat dan mengemas kini judul-judul yang berada dalam pasaran buku di samping berwacana.

“Di Pujangga Baru, antara pilihan buku yang menjadi tarikan pembaca ialah buku yang berasaskan sejarah dan Pengajian Melayu, seperti Melayu di Mata Raffles: Sebuah Kritik kepada Orientalisme dan Perjuangan karya Khairudin Aljunied terbitan CENDEKIA.

Mengulas lanjut, Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu merupakan kesinambungan daripada Seminar Penerbitan Buku dalam Bahasa Malaysia yang telah diadakan pada 7 November 1981 hingga 9 November 1981 di Balai Seminar, DBP.

Prakarsa ketika itu melibatkan penyertaan peserta dan pembentang dari Singapura, Indonesia, Brunei Darussalam, India dan Jepun.

Pada 13 Mac 2003 pula telah diadakan Seminar Penerbitan Kebangsaan 2003, serta pada 25 hingga 26 April 2015, bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), DBP sekali lagi telah menganjurkan Persidangan Industri Buku Kebangsaan.

Sebelum itu, Ketua Pengarah DBP turut memaklumkan bahawa seminar tersebut merupakan sebahagian daripada usaha DBP dalam memainkan peranan sebagai sebuah badan penerbitan yang terbesar di Malaysia dalam bahasa kebangsaan.

DBP akan terus komited dalam memperluas skop penerbitannya untuk memenuhi keperluan pelbagai golongan masyarakat.

Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu yang berlangsung selama dua hari ini mendapat sambutan yang amat mengalakkan daripada pemain industri penerbitan termasuklah tenaga akademik universiti dan institusi pengajian tinggi sebagaimana pandangan yang dikemukakan menerusi video ini, https://www.youtube.com/watch?v=6B3xwD-xGjQ&feature=youtu.be

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.