4 April 2024, 09:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Istana Arau

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyerahkan sumbangan kuih raya di Stesen Kawalan Sempadan (SKS) Wang Kelian, Perlis, semalam.

Kuala Lumpur – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa sempadan negara perlu dilengkapi dengan kawalan teknologi canggih, seperti kecerdasan buatan (AI) supaya negara ini tidak mudah dibolosi oleh negara luar.

Sudah tiba masanya negara ini menggunakan kecerdasan buatan (AI), dron dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih canggih di lokasi strategik untuk kawalan sempadan negara.

“Untuk menangani ancaman dan jenayah rentas sempadan ini, satu dasar holistik perlu dibentuk khususnya antara Kerajaan Negeri dengan Persekutuan, termasuklah keperluan menjalin kerjasama strategik dengan negara jiran, iaitu Thailand.

Demikianlah titah baginda dalam majlis penyampaian sumbangan kuih raya di Stesen Kawalan Sempadan (SKS) Wang Kelian kepada pegawai dan anggota keselamatan yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri di sempadan Malaysia-Thailand tahun ini, semalam.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam majlis anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis itu, baginda berharap agar anggota keselamatan di sempadan sentiasa peka dan waspada, terutamanya pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Hal ini demikian untuk memastikan sempadan negara tidak dicemari kejadian penyeludupan barang dan manusia.

Sementara itu, baginda turut mengucapkan ribuan terima kasih atas pengorbanan dan komitmen terhadap tugas yang ditunjukkan oleh seluruh warga keselamatan, khususnya di sempadan Malaysia-Thailand.

“Sesungguhnya, bakti mereka ini demi memastikan keamanan dan keharmonian yang dikecapi pada hari ini terus berkekalan. Insya-Allah,” titah baginda.

Pada masa yang sama, baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan, khususnya kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana meluluskan peruntukan tambahan RM14 juta bagi projek pembangunan semula Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian semasa lawatan Perdana Menteri ke negeri itu pada Isnin lalu.

“Projek ini pasti akan memberi impak positif kepada landskap pembangunan sempadan secara keseluruhannya, terutamanya di Wang Kelian ini,” titah baginda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.