5 April 2024, 03:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Kurikulum Persekolahan 2027 menitikberatkan pembentukan karakter bagi membina kompetensi dan sahsiah diri, sekali gus melahirkan generasi insan sejahtera.” Berikut kata Tuan Haji Azman Haji Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) dalam Majlis Bicara Profesional Kurikulum Persekolahan 2027 bersama-sama pegawai KPM yang diadakan pada 5 April 2024, di Auditorium Kompleks E, Putrajaya.

Poster Bicara Kurikulum Persekolahan 2027 KPPM bersama-sama Warga KPM.

Bicara profesional tersebut dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan disampaikan oleh Tuan Haji Azman bin Haji Adnan, KPPM. Dalam ucapannya, beliau berkata:

Semua bahagian dalam KPM perlu bekerjasama dalam menggembleng tenaga dan fikiran untuk menjayakan Kurikulum Persekolahan 2027 mengikut fungsi bahagian masing-masing. Kurikulum yang akan dibangunkan mestilah menjadi kurikulum yang terbaik, relevan dan signifikan dengan keperluan generasi masa kini dan yang akan datang.

Poster Pembentukan Karakter.

Oleh itu, pembentukan karakter ini akan didedahkan kepada murid daripada peringkat prasekolah hingga ke Tingkatan 5. Pembentukan karakter juga akan dimasukkan dalam satu slot khusus dalam jadual waktu persekolahan.

Selain pembentukan karakter, perkara lain yang diberikan nafas baharu dalam Kurikulum Persekolahan 2027 ialah pembelajaran bersepadu, pengenalan kepada teknologi dan digital, pentaksiran, dan penghasilan buku teks. Beliau juga memaklumkan bahawa:

Buku teks perlu dilihat dan diterbitkan dalam bentuk yang berbeza, sama ada dalam bentuk bercetak, digital ataupun interaktif.

Beliau juga menegaskan bahawa semua pihak yang terlibat dalam Kurikulum Persekolahan 2027 perlu lebih proaktif dalam membuat perancangan dan pelaksanaan kerja. Perancangan kerja tersebut perlu bagi memenuhi keperluan kurikulum, bukannya membina kurikulum mengikut situasi kerja sedia ada. Selain itu, seluruh warga kerja KPM perlu bersedia untuk menggalas tanggungjawab dalam memastikan hasrat Kurikulum Persekolahan 2027 tercapai.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.