Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKajang – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan sumbangan berjumlah RM579,000.00 bagi tujuan aktiviti Pendidikan Islam di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) bagi tahun 2024 ini.
Sumbangan berkenaan disempurnakan Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu majlis yang dilaksanakan di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra.
Keberangkatan baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Menyambut keberangkatan baginda ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Hj. Mohd Nazim Mohd Noor.
Selain bagi tujuan aktiviti yang berkaitan dengan peningkatan pendidikan oleh Bahagian Pendidikan JAIPs, peruntukan berkenaan juga adalah bagi tujuan pelantikan nazir Sekolah Islam Perlis yang dilantik oleh JAIPs melalui Tauliah MAIPs selaras dengan peruntukan dalam Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama Islam 1988.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Yang DiPertua MAIPs turut mengingatkan para perkhidmat Majlis dan agensi bersamanya agar sentiasa komited dalam memastikan agenda Pendidikan Islam dapat disampaikan dengan sebaik-baiknya terutamanya dalam menerapkan pegangan agama yang sempurna pada peringkat awal pendidikan.
Titah baginda,
Adalah menjadi harapan agar semua pihak dapat menjulang agenda pendidikan Islam ke tahap yang lebih baik dalam membentuk modal insan kamil dan syamil yang menyumbang kepada pembangunan negara yang holistik.
Dalam majlis yang sama, Tuan Hj. Mohd Nazim memaklumkan bahawa Bahagian Pendidikan JAIPs telah melaksanakan beberapa inisiatif pendidikan Islam selaras dengan agenda MAIPs dalam meningkatkan mutu pendidikan Islam di Perlis, termasuklah pewujudan Kurikulum Sekolah Agama Petang Perlis (SAPPs), Pelaksanaan Sekolah Integrasi Perlis (SIPs), Pengoperasian Tadika Islam Perlis (TIPs). Hal ini juga meliputi penerbitan beberapa buku rujukan pengajaran pendidikan Islam pada peringkat awal dan rendah.