7 Mei 2024, 16:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 di Dewan Syed Sirajuddin Areeb Putra, hari ini.

Arau – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan pelajar agar memberikan tumpuan sepenuhnya dalam pembelajaran bagi mencapai kualiti dan potensi diri masing-masing.

Pelajar hendaklah berfikir secara kreatif dan inovatif dan memberikan fokus kepada penciptaan yang dapat merangsang minda, menguji daya kreativiti dan inovasi, serta dapat mencungkil keupayaan menyelesaikan masalah.

“Saya berharap agar para pelajar akan mengekalkan kecemerlangan dalam pelbagai aspek, jangan cepat berasa berpuas hati dengan pencapaian pada hari ini.

“Sebagai seorang pelajar harus sentiasa berusaha meningkatkan kualiti dan potensi diri masing-masing.

Demikian titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis peringkat Kolej Vokasional Arau (KVA) yang melibatkan seramai 366 orang pelajar.

Keberangkatan tiba baginda turut diiringi oleh DYTM Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke Dewan Syed Sirajuddin Areeb Putra dan disambut oleh Pengarah KVA, Puan Rohaizad Redzuan.

Yang turut hadir dalam program tersebut ialah Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus; Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin; dan Penyelaras dari YTSP Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Titah baginda,

Para pelajar perlu memberikan tumpuan sepenuhnya sewaktu sesi pembelajaran dan praktikal, menguasai serta memanfaatkan segala ilmu yang dipelajari berdasarkan aliran masing-masing.

Tambahnya lagi,

Setiap pelajar mempunyai potensi yang besar menjadi tenaga mahir negara dalam pelbagai bidang yang mampu menjanjikan pendapatan dan taraf kehidupan yang lebih baik untuk masa hadapan.

Mengulas lanjut, sebanyak 199 bilangan graduan kolej ini telah mencapai 100 peratus kebolehpasaran dan 79.83 peratus kebolehpasaran dalam bidang masing-masing pada tahun 2022.

Selain itu, sebanyak 95 bekas graduan telah mendapat pekerjaan, 13 orang menyambung pengajian dan 11 orang lagi menceburi bidang keusahawanan.

Bagi tahun 2021 pula, sebanyak 86 orang graduan kolej turut mencapai 100 peratus kebolehpasaran dan 73.33 peratus kebolehpasaran dalam bidang yang diceburi, yakni 60 orang graduan bekerja dalam bidang masing-masing, 12 orang melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya, manakala 14 orang pula telah memilih bidang perniagaan.

Sementara itu, baginda turut berkenan menyempurnakan perasmian Gallery Walk kolej tersebut yang merupakan ruang mempamerkan semua pencapaian dan anugerah yang telah dicapai oleh Kolej Vokasional Arau, khususnya untuk tatapan pengunjung.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.