Oleh fatkhurrozak
30 Mei 2024, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Lukisan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai dinobatkan sebagai juara dalam myBas Art Competition 2024 peringat Negeri Johor.

Lukisan bertemakan sebuah bas dengan pemandangan Johor Bahru Bandaraya Lestari membawa tuah kepada Muhammad Saiful Danish Arif, apabila dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan tersebut, manakala adiknya pula, Muhammad Saiful Darwish Arfa berjaya meraih tempat ketiga dengan lukisan Johor Bandaraya Moden.

Pertandingan ini merupakan anjuran myBas Johor Bahru dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan telah berlangsung pada 30 Mei 2024 di Toppen Johor Bahru, dan melibatkan sebanyak 83 peserta terbaik serta 58 buah sekolah dari seluruh Johor.

Kemenangan Saiful Danish dan Saiful Darwish dalam pertandingan seni terbesar di Johor itu menunjukkan bahawa murid bekeperluan pendidikan khas (MBPK) juga mempunyai bakat dan kreativiti yang boleh diiktiraf pada peringkat tertinggi dan membawa kecemerlangan dalam kokurikulum, akademik dan pembentukan nilai sahsiah.

Lukisan Saiful Darwish yang dinobat sebagai Juara myBas Art Competition 2024.

Menurut Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Kota Masai, Cikgu Jamilah Ali, beliau menyifatkan kejayaan tersebut sebagai pendorong kepada  MBPK yang lain agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan pada masa hadapan. Keadaan ini juga hasil dorongan daripada pelbagai pihak, terutamanya barisan pendidik yang banyak mengorbankan jiwa raga mereka demi kecemerlangan murid. Menurutnya lagi:

Alhamdulillah, kejayaan demi kejayaan berjaya diraih oleh PPKI SMK Kota Masai dalam kokurikulum dan kurikulum. Kejayaan ini membuktikan bahawa kerjasama semua pihak dalam melestarikan budaya cemerlang di sekolah mampu membawa hasil yang baik kepada MBPK. Pertandingan  juga membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk menunjukkan kemampuan dan kebolehan yang ada dalam diri mereka.

Tambahnya lagi,  “Disini juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua barisan pentadbir, pendidik dan pengurusan murid SMK Kota Masai yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada murid secara langsung dan tidak langsung sehingga MBPK berjaya meraih kecemerlangan dan kejayaan yang membanggakan pada tahun 2024.”

Dalam pertandingan ini, Saiful Danish dan Saiful Darwish menerima hadiah wang tunai sebanyak RM700 berserta trofi, medal dan sijil penghargaan peringkat negeri.

Pengetua SMK Kota Masai, Cikgu Saridah Abdul Majid, mengatakan bahawa setiap pihak dalam pelbagai bidang perlu memainkan peranan dalam memastikan setiap murid perlu diberikan peluang untuk mempamerkan bakat mereka. Menurutnya lagi:

Pastinya, kejayaan ini hasil daripada kerjasama kita dalam mewujudkan ekosistem yang cemerlang di sekolah. Dengan kerjasama daripada semua pihak, saya yakin pembentukan nilai yang holistik dan kegemilangan murid serta sekolah akan dapat diwujudkan dan dilestarikan dengan baik.

Saiful Danish (kiri) bersama Adib Soleh (kanan) diiringi Cikgu Rozak Hadi (tengah) semasa penyampaian sijil penghargaan pempamer di Yayasan JCORP Autism Awareness Day 2024.

 

 

 

 

SMK Kota Masai akan terus komited membudayakan ekosistem cemerlang melalui program berimpak tinggi. Kerjasama daripada pelbagai pihak telah memberikan warna baharu dalam keharmonian warga sekolah. Hal ini juga memelihara kelestarian pendidikan terbaik sekali gus menjadikan SMK Kota Masai sebagai peneraju kecemerlangan murid dan guru dalam pelbagai aspek dan bidang terutamanya dalam bidang pendidikan.

Sebelum ini, Saiful Danish juga satu daripada peserta yang dipilih untuk mempamerkan kemahirannya dalam hasil seni “Air Dry Clay Art” di Yayasan Johor Corporation Autism Awareness Day 2024, manakala Saiful Darwish pula berjaya meraih Tokoh Nilam di Anugerah Nilam Pendidikan Khas Peringkat Negeri Johor.

Saiful Darwish (tengah) bersama-sama Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Pendidikan Khas) Pasir Gudang, Puan Noraspalelawati Razali (kiri) dan Cikgu Norhuda Mohd Johan (kanan) semasa sesi penjurian lisan Anugerah Nilam Pendidikan Khas Peringkat Negeri Johor 2024.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.