3 Jun 2024, 11:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanggal 3 Jun tercatat sebagai tarikh Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam kalendar nasional pada setiap tahun. Tahun ini merupakan tahun pertama Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar dari negeri Johor Darul Ta’zim meraikan hari keputeraan baginda setelah dipilih sebagai YDPA ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula pada 31 Januari 2024 dan akan ditabalkan pada 20 Julai 2024 kelak. Seri Paduka Baginda dipilih oleh Raja-Raja Melayu dalam Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja (MRR) Ke-263 di Istana Negara pada 27 Oktober 2023.

Semoga Malaysia terus aman dan makmur di bawah naungan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari negeri Pahang Darul Makmur yang telah menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari 2024 lalu. MRR turut mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.

Menelusuri biodata rasmi Sultan Ibrahim berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office), Seri Paduka Baginda diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor dan merupakan putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Khalsom Abdullah.

Seri Paduka Baginda dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981 dan dilantik sebagai Pemangku Raja Johor dari 25 April 1984 hingga 25 April 1989 tatkala Almarhum Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelapan. Kemudian, Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar dan dimahkotakan secara rasmi pada 23 Mac 2015.

YDPA merupakan satu-satunya jawatan yang unik di dunia. Hal ini disebabkan, YDPA dipilih oleh MRR dalam kalangan sembilan Raja Melayu bagi satu tempoh selama lima tahun. Pemilihan dibuat dengan cara undian sulit yang hanya boleh dibuat oleh sembilan Raja Melayu dalam mesyuarat khas MRR tanpa pelibatan Yang di-Pertuan Negeri walaupun mereka terlibat sebagai ahli mesyuarat MRR.

Perlembagaan Persekutuan memperincikan pemilihan YDPA dalam Jadual Ketiga dibaca bersama Perkara 32. Menurut Perkara 32(1), YDPA ialah Ketua Utama Negara bagi Persekutuan Malaysia mengatasi semua orang lain. Perkara 3(2) pula memperuntukkan kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri beraja manakala YDPA sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri tidak beraja menurut Perkara 3(5).

Dalam Jadual Keempat dibaca bersama Perkara 37, diperuntukkan secara jelas lafaz angkat sumpah YDPA yang mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan negara yang telah disah dan dimasyhurkan. YDPA seterusnya mengaku dengan sesungguhnya dan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negara. Perkara ini sehaluan dengan Perkara 3(1) yang mengiktiraf Islam sebagai agama bagi Persekutuan dengan penekanan agama lain juga boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Seyogia diingatkan, beberapa peristiwa getir dalam negara berlaku semasa era pemerintahan Al-Sultan Abdullah yang lepas. Terjadinya empat siri pertukaran dan pemilihan Perdana Menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang hanya dalam tempoh lima tahun amat menuntut kebijaksanaan dan budi bicara Al-Sultan Abdullah dalam memilih calon yang benar-benar layak, mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat serta mampu menerajui sesebuah kerajaan dengan baik.

Arakian, pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022 memberikan laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November 2022 telah memulangkan semula mandat kepada rakyat memangkah kertas undi bagi memilih kerajaan yang teguh, stabil dan ampuh setelah berlakunya beberapa siri pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri hanya melalui ahli Dewan Rakyat. Malaysia mewarisi sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen daripada sistem Westminster dari England yang diamalkan negara sejak zaman kemerdekaan dizahirkan sebaik-baiknya oleh rakyat pada PRU-15.

Disebabkan tiada satu parti mendapat majoriti mudah, maka tertubuhnya kerajaan campuran gabungan beberapa parti politik, iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain bagi mencapai majoriti dua pertiga untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan stabil. Menerusi Perkara 43(1), YDPA boleh menggunakan budi bicara dalam melantik Perdana Menteri mengetuai Jemaah Menteri.

Walau bagaimanapun, hendaklah pada hemat baginda dengan memastikan individu itu mendapat kepercayaan majoriti perwakilan dalam Dewan Rakyat di Parlimen. Al-Sultan Abdullah akhirnya berkenan melantik YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10 berdasarkan sesi Perbincangan Khas bersama-sama Raja-Raja Melayu selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Malaysia MADANI yang diterajui oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada hari ini bersama-sama pemerintahan Sultan Ibrahim dilihat mampu memberikan sebuah sinergi dan dinamika yang baik dan berterusan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur (Negeri yang baik dan Tuhan Yang Maha Pengampun).

Perkara ini juga bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Hajj Ayat 41 bermaksud: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Patik dan seluruh rakyat jelata merafak sembah menjunjung kasih kepada Tuanku dan mendoakan agar Tuanku dipermudahkan segala urusan bagi menggalas amanah diberikan oleh Allah SWT dalam menegakkan syiar Islam di samping memelihara keharmonian rakyat Malaysia yang berencam kaum, agama, etnik dan budaya. Rahmat bahagia Tuhan kurniakan, Raja kita selamat bertakhta. Dirgahayu Tuanku!

Dr. Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah, lulusan Ijazah Doktor Falsafah, Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan pernah menulis beberapa puisi, cerpen dan artikel yang tersiar dalam majalah Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Siswa, Dewan Bahasa, Dewan Tamadun Islam dan Tunas Cipta.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.