Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap kali bulan puasa, bazar Ramadan menunjukkan pelbagai evolusi sosial dan budaya kulinari. Pada asalnya, kata “bazar” diambil daripada bahasa Parsi yang bermaksud pasar. Sejak tahun 1980-an, bazar Ramadan di Malaysia mula berkembang dengan pesatnya dan menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat. Sebelum era ini, juadah berbuka lebih banyak disediakan sendiri di rumah atau dijual secara kecil-kecilan di tepi jalan tanpa sistem penganjuran yang teratur. Dari sudut fungsi sosial, bazar Ramadan bukan sahaja berfungsi sebagai pusat jualan makanan dan minuman, malah menjadi tempat penyatuan rakyat pelbagai kaum yang hadir untuk menikmati pelbagai juadah tradisi.
Kepelbagaian Juadah
Antara evolusi utama yang mencuri perhatian pada ketika ini termasuklah kemunculan bermacam-macam jenis makanan yang merentas tradisi dan sukar ditemui pada bulan lain. Hal ini menunjukkan kreativiti peniaga untuk menarik pembeli, selain menonjolkan seni kulinari yang unik bagi pencinta makanan. Sebagai contoh, terdapat jualan kuih tradisional seperti nekbat, lompat tikam, tahi itik dan jala emas. Kuih ini semakin sukar ditemui kerana tidak banyak orang yang mahir menyediakannya.
Di kawasan pantai barat dan utara Semenanjung Malaysia, terdapat kuih asam pasang yang sering menjadi tumpuan penduduk ketika berkunjung ke bazar Ramadan. Sementara itu, penduduk di kawasan utara menggemari kuih dangai. Kuih ini unik kerana teksturnya yang rangup di luar dan lembut di dalam. Selain itu, terdapat kuih sri gandus yang serupa dengan lempeng dan berinti jem nanas. Kuih ini adalah antara makanan legenda yang boleh ditemui di lokasi tertentu sahaja. Kuih cecemek yang turut dikenali sebagai telaga buruk pula boleh dikatakan hampir pupus kerana boleh ditemui di kawasan pedalaman Perak sahaja. Seterusnya ialah kuih Loyang. Walaupun kuih ini sering terkait dengan perayaan, versi buatan tangan yang menggunakan telur segar dan gula mengikut resipi asli semakin sukar ditemui berbanding dengan versi kilang.
Penganjuran yang Sistematik
Penganjuran bazar Ramadan yang sistematik di bawah pengurusan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memudahkan pengunjung untuk mendapatkan pelbagai juadah berbuka puasa serta menikmati suasana membeli-belah yang lebih selesa. Evolusi ini turut dipengaruhi oleh faktor lokasi yang tersusun, tahap kebersihan makanan dan keselamatan pengunjung, sekali gus menjadikan bazar Ramadan sebagai acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh masyarakat.
Tarikan Pengunjung
Bazar Ramadan di negara kita turut dihadiri oleh pelancong asing. Kemeriahan suasana dengan aroma makanan daripada pelbagai budaya yang dapat dilihat di sebuah tempat menyebabkan pelancong asing tertarik untuk berkunjung serta merasai sendiri keunikan juadah tempatan yang ditawarkan. Maka itu, tidak hairanlah apabila kerajaan Malaysia giat mempromosikan bazar Ramadan sebagai satu daripada produk pelancongan utama ketika bulan puasa.
Kemeriahan pengunjung di bazar Ramadan juga terkait dengan faktor nostalgia dan tradisi. Bagi rakyat tempatan, perkara ini telah menjadi rutin tahunan yang membawa nilai kenangan apabila keluarga dapat berkumpul untuk melakukan aktiviti mencari makanan bersama-sama. Dengan skala penganjuran bazar Ramadan yang berbeza-beza seperti gerai kecil di kawasan perumahan dan deretan gerai di padang yang luas, kebanyakan orang tidak akan melepaskan peluang untuk mengunjunginya. Hal ini ternyata menjadi fenomena nasional yang tidak dapat dipisahkan daripada gaya hidup masyarakat Malaysia.
Rekod Penganjuran Bazar Ramadan
Bazar Ramadan di Jalan Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur dikatakan sebagai antara bazar tertua yang memulakan penganjuran secara sistematik. Menurut Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), bazar ini telah wujud sejak tahun 1950-an dan 1960-an. Pada peringkat awal, bazar ini lebih dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Pasar Lorong Sempit kerana kedudukannya di lorong-lorong kecil. Bazar ini pernah mencatatkan sejarah sebagai bazar pertama yang memperkenalkan konsep tanpa tunai pada tahun 2019 melalui penggunaan e-dompet.
Rekod bazar terpanjang pada tahun ini dipegang oleh Bazar Ramadan Santai di Bandar Tasik Puteri, Rawang. Bazar ini menempatkan 500 buah gerai sepanjang jarak 1.4 kilometer. Sebelum ini, rekod bazar terpanjang dipegang oleh Bazar Ramadan Wisma Ria, Sungai Petani, Kedah. Di Selangor pula, Bazar Dataran Karnival Stadium Shah Alam mencatatkan rekod sebagai antara bazar yang terbesar di Malaysia. Berkonsepkan pusat sehenti, pengunjung boleh mendapatkan juadah untuk berbuka puasa dan membeli baju raya di lokasi yang sama.
Selain itu, Bazar Ramadan Medan Gopeng mengadakan inisiatif Reruai Prihatin untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan. Antara barangan keperluan asas yang diagihkan termasuklah gula, tepung, minyak, makanan kering, kurma, bihun, susu dan teh. Pada masa yang sama, Majlis Bandaraya Ipoh giat mempromosikan konsep Bazar Ramadan Mesra Alam menggunakan model Ekonomi Kitaran. Semua peniaga dan pengunjung disarankan untuk menyambut inisiatif ini dengan membawa bekas sendiri ke bazar bagi mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna.
Melalui konsep Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2026, Bazar Ramadan Putrajaya di Presint 3 menawarkan kemudahan yang lebih menyeluruh berbanding dengan bazar biasa. Antara kemudahan yang tersedia termasuklah Laman Iftar dan Tazkirah di Padang Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj). Kawasan ini menyediakan ruang terbuka yang luas untuk pengunjung berbuka puasa secara santai (konsep berkelah) bersama-sama dengan keluarga sambil mendengar perkongsian ilmu. Selain itu, Anjung Syawal di Dataran Putrajaya dijadikan pusat sehenti bagi persiapan raya yang menempatkan jualan pakaian, kelengkapan rumah dan kraf tangan. Laman Gastro Seni WP pula menjadi zon khas yang menggabungkan elemen pelancongan, kraf dan makanan tumpuan seperti Pasar Kopi bagi memberikan pengalaman yang lebih luas daripada sekadar membeli juadah.
Bazar Ramadan di Presint 3 juga berfungsi sebagai pusat ibadah dan riadah. Kedudukannya yang bersebelahan dengan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin memudahkan pengunjung untuk menunaikan solat. Selain itu, susun atur kawasan ini mesra pengunjung kerana gerainya disusun dengan jarak yang sesuai untuk keselesaan ketika berjalan. Terdapat juga kemudahan parkir yang luas dan tandas awam yang berdekatan dengan kawasan ini. Malah, kebanyakan gerai menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai (cashless) dan e-dompet bagi memudahkan urus niaga dan menjadikannya lebih efisien.
Kesimpulannya, evolusi bazar Ramadan di Malaysia memperlihatkan perubahan yang signifikan daripada sekadar tempat jualan makanan kepada sebuah ruang sosial, budaya dan pelancongan yang penting. Kepelbagaian juadah tradisional yang ditawarkan, penganjuran yang semakin sistematik serta kemudahan moden seperti pembayaran tanpa tunai membuktikan bahawa bazar Ramadan terus berkembang mengikut perubahan semasa. Pada masa yang sama, tradisi ini masih mengekalkan nilai nostalgia dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, usaha untuk memelihara keunikan bazar Ramadan, termasuklah makanan tradisional dan amalan mesra alam, perlu diteruskan agar warisan budaya ini kekal relevan untuk dinikmati oleh generasi yang akan datang.