24 Disember 2024, 17:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
  1. Pentaksiran TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study) merupakan pentaksiran antarabangsa yang menilai pencapaian murid dalam mata pelajaran Matematik dan Sains pada peringkat sekolah rendah (Gred 4) dan menengah rendah (Gred 8). Pentaksiran ini turut mengumpul data tentang kurikulum, amalan pengajaran dan faktor-faktor lain yang mempengaruhi pembelajaran. TIMSS dikendalikan oleh IEA (International Association for the Evaluation of Educational Achievement) dan dilaksanakan secara berkala setiap empat tahun, bermula tahun 1995, diikuti pada tahun 1999, 2003, 2007, 2011, 2015, 2019, dan yang terkini adalah pada tahun 2023. Malaysia, walau bagaimanapun hanya menyertai TIMSS bermula pada tahun 1999, iaitu pada kitaran yang kedua. Laporan dan pengumuman pencapaian murid negara-negara yang terlibat kebiasaannya dikeluarkan satu tahun selepas pentaksiran dilaksanakan. Misalnya, laporan TIMSS 2023 dikeluarkan dan diumumkan pada tahun 2024. Sebanyak 8780 murid tingkatan dua (pada tahun 2023) dari 180 buah sekolah terpilih di seluruh negara terlibat dalam kajian TIMSS 2023. Edisi TIMSS 2023 melibatkan sebanyak 44 buah negara. Hanya Malaysia dan Singapura yang terlibat dalam kalangan negara Asia Tenggara dalam TIMSS 2023.
  2. Walaupun pentaksiran ini melibatkan dua peringkat murid, iaitu sekolah rendah (Gred 4) dan menengah (Gred 8), Malaysia hanya mengambil bahagian dalam peringkat menengah dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut. Andai diimbas semula pencapaian murid Malaysia pada awal pelibatan Malaysia dalam pentaksiran tersebut, dalam mata pelajaran Matematik, pencapaian murid Malaysia berada di atas purata antarabangsa, terutamanya dalam Matematik. Namun begitu, pencapaian Malaysia mula menunjukkan penurunan dalam kitaran-kitaran seterusnya terutamanya pada tahun 2007 dan tahun 2011. Hal ini merupakan faktor utama yang menyebabkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 memasukkannya sebagai satu daripada aspirasinya, iaitu untuk menempatkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa (TIMSS dan PISA) dalam tempoh 15 tahun yang akan datang.
  3. Usaha pemulihan seperti penambahbaikan kurikulum dan pendekatan pengajaran diperkenalkan, dilihat membuahkan hasil apabila terdapat peningkatan pencapaian pada kitaran 2015 berbanding dengan kitaran 2011. Namun begitu, pencapaian murid Malaysia sedikit menurun pada kitaran 2019 dan seterusnya terus merudum pada kitaran 2023. Berdasarkan data, untuk pencapaian Matematik, Malaysia menunjukkan purata skor sebanyak 519 pada tahun 1999 Selain itu, Malaysia turut menerima skor sebanyak 508 (tahun 2003), 474 (tahun 2007), 440 (tahun 2011), 465( tahun 2015), 461( tahun 2019) dan 411 (tahun 2023), Hal ini seterusnya menunjukkan bahawa pencapaian murid Malaysia bagi mata pelajaran Matematik pada TIMSS 2023 merupakan yang terendah dalam sejarah pelibatan Malaysia dalam pentaksiran tersebut. Ranking pencapaian Matematik Gred 8 TIMSS 2023 didominasi oleh Singapura di tangga teratas dengan purata skor 605, diikuti Taiwan (purata skor: 602), Korea Selatan (purata skor 596) dan Jepun (purata skor: 595).
  4. Selain purata skor keseluruhan, TIMSS turut menguji domain kandungan Matematik yang terdiri daripada Nombor, Algebra, Geometri dan Sukatan serta Data dan Kebarangkalian. Pencapaian murid Malaysia pada TIMSS 2023 menunjukkan purata skor sebanyak 409 untuk domain Nombor, sebanyak 406 untuk domain Algebra, sebanyak 417 untuk domain Geometri dan Sukatan dan sebanyak 403 untuk domain Data dan Kebarangkalian. Sebagai perbandingan, pencapaian terbaik Malaysia dalam domain Nombor, Algebra dan Geometri ialah pada tahun 1999 dengan purata skor masing-masing ialah 532, 505 dan 497. Manakala pencapaian terbaik Malaysia dalam domain Data dan Kebarangkalian ialah pada TIMSS 2003 dengan purata skor sebanyak 505.
  5. Domain kognitif, iaitu mengetahui, mengaplikasi dan menaakul turut diuji dalam pentaksiran TIMSS. TIMSS 2023 menunjukkan purata skor murid Malaysia dalam mata pelajaran Matematik masing-masing 392, 409 dan 405, masing-masing untuk domain mengetahui, mengaplikasi dan menaakul. TIMSS 2003 merekodkan pencapaian terbaik murid Malaysia dalam ketiga-tiga domain kognitif tersebut, masing-masing dengan purata skor 506, 512 dan 503.
  6. Sampel kajian untuk TIMSS 2023 merupakan murid tingkatan dua pada tahun 2023 bagi murid yang terlibat pernah melalui era pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia sekitar tahun 2020 hingga 2022. Mereka berada pada tahun 5 ketika tahun 2020 dan tahun 6 ketika tahun 2021. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengakui kesukaran pembelajaran ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit sebanyak mempengaruhi pencapaian tersebut. Namun persoalannya, mengapakah murid di negara-negara lain yang turut terkesan dengan pandemik COVID-19 boleh mengekalkan pencapaian mereka?
  7. KPM turut memaklumkan bahawa satu daripada faktor yang membawa kepada penurunan pencapaian murid Malaysia pada tahun 2023 disebabkan oleh penggunaan komputer sepenuhnya semasa menjawab soalan dalam TIMSS 2023. Hal ini sesuatu yang bukan norma murid di Malaysia untuk menjawab soalan peperiksaan menggunakan komputer. Oleh itu,, bagaimanakah dengan literasi komputer negara-negara yang berjaya berada di atas kita?
  8. Dari aspek jantina murid, TIMSS 2023 menunjukkan bahawa tiada perbezaan yang signifikan antara murid lelaki dengan murid perempuan dalam pencapaian mata pelajaran Matematik. Murid lelaki yang terlibat menunjukkan purata skor sebanyak 410, manakala murid perempuan menunjukkan purata skor sebanyak 411. Jika dilihat negara-negara lain yang terlibat, Palestin, Oman, Bahrain dan Afrika Selatan menunjukkan dominasi murid perempuan dalam pencapaian Matematik dan turut menunjukkan perbezaan yang signifikan. Sebaliknya, Uzbekistan, Perancis, United Arab Emirates (UAE), Australia, Jepun, Ireland dan Amerika Syarikat menunjukkan perbezaan yang signifikan pencapaian murid berdasarkan jantina apabila pencapaian murid lelaki dilihat lebih tinggi ketimbang murid perempuan.
  9. Keyakinan murid juga dikenal pasti sebagai salah satu kemerosotan Malaysia dalam TIMSS 2023. Andai dilihat kepada data, dari aspek minat terhadap pembelajaran Matematik, hanya 19 peratus murid memilih skala pertama, iaitu “Sangat suka belajar Matematik”, dan purata skor mereka ialah sebanyak 441. Sebanyak 49 peratus murid memilih skala “Kadang-kadang suka belajar Matematik” dan purata skor mereka ialah 410, manakala sebanyak 32 peratus murid memilih skala “Tidak suka belajar Matematik” dan purata skor mereka ialah 395. Hal ini secara umum menunjukkan bahawa minat mereka mempelajari Matematik memberikan kesan terhadap pencapaian Matematik mereka. Dari aspek keyakinan, hanya empat peratus murid memilih skala “Sangat yakin dalam Matematik” dan purata skor mereka ialah 695, 26 peratus murid memilih skala “Kadang-kadang yakin dalam Matematik” dan purata skor mereka ialah 429, dan lebih menyedihkan, sebanyak 70 peratus murid memilih “Tidak yakin dalam Matematik” dan purata skor mereka ialah sebanyak 400.
  10. Walaupun TIMSS 2023 mencatatkan pencapaian terendah sejak TIMSS 1999, TIMSS 2023 merekodkan purata skor sebanyak 789 mata bagi pencapaian individu murid untuk Matematik Gred 8 dan hal ini merupakan pencapaian paling tinggi yang pernah dicatatkan setakat ini. Selain itu, perlu dimaklumkan juga bahawa jurang pencapaian murid luar bandar dengan murid sekolah bandar semakin mengecil dalam TIMSS 2023 yang turut menunjukkan lokasi sekolah tidak mempengaruhi pencapaian matematik mereka. Hal ini memberi gambaran positif bahawa efikasi digital murid bandar dan luar bandar adalah hampir sama.

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Pensyarah kanan di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.