Diterbitkan pada 22 Februari 2026, 11:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hari Pengasas yang disambut pada 22 Februari setiap tahun bagi memperingati ulang tahun kelahiran pengasas gerakan pengakap, Robert Baden-Powell, merupakan sambutan penting dalam pergerakan pengakap di seluruh dunia.

Hari Pengasas yang disambut pada 22 Februari setiap tahun diraikan bagi memperingati pengasas gerakan pengakap, Robert Baden-Powell.

Pada tahun ini, sambutan ini terus diraikan dengan penuh kesedaran terhadap peranan generasi muda dalam membentuk masa depan dunia yang lebih aman dan sejahtera.

Idea penubuhan pengakap bermula daripada satu perkhemahan percubaan yang diadakan di Brownsea Island di Poole Harbour, Dorset pada 1 hingga 8 Ogos 1907. Perkhemahan yang menghimpunkan remaja untuk menjalani latihan berasaskan disiplin, kemahiran hidup dan kerja berpasukan itu berjaya melahirkan sebuah buku bertajuk Scouting for Boys, sekali gus mencetuskan gerakan pengakap di seluruh dunia.

Daripada sebuah perkhemahan kecil, pergerakan ini berkembang menjadi sebuah gerakan pendidikan tidak formal yang melibatkan lebih 60 juta orang ahli di lebih 200 buah negara.

Pada Hari Pengasas 2026, ahli pengakap akan terus mengenang jasa Baden-Powell serta menghayati prinsip-prinsip yang terkandung dalam Persetiaan dan Undang-undang Pengakap yang menjadi asas kepada pembentukan sahsiah diri. Di kebanyakan negara, sambutan ini kebiasaannya diisi dengan istiadat khas, upacara menaikkan bendera, pembaharuan persetiaan, serta aktiviti khidmat masyarakat seperti gotong-royong, lawatan kebajikan dan projek kelestarian alam sekitar. Aktiviti ini bertujuan menyedarkan ahli bahawa semangat pengakap bukan sekadar teori, tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan yang nyata.

Sambutan ini juga memberikan peluang kepada ahli untuk merenungi kembali serta memperbaharui semangat berpengakap dalam kalangan pengakap di seluruh dunia yang turut berkongsi cita-cita dan nilai yang sama. Hari Pengasas menekankan konsep persaudaraan sejagat dan setia kawan tanpa mengira bangsa, agama atau budaya.

Hari Pengasas juga menjadi waktu terbaik bagi seluruh anggota pengakap meningkatkan kesedaran tentang isu global seperti perubahan iklim, kesaksamaan gender, akses pendidikan dan kesihatan mental.

Pada tahun ini, ahli di seluruh dunia dijangka memberikan tumpuan kepada cabaran global yang semakin kompleks pada era digital. Dunia era sekarang berhadapan dengan cabaran perubahan landskap pekerjaan akibat cabaran teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI). Hal ini ditambah pula dengan isu tekanan sosial yang mengakibatkan timbulnya masalah kesihatan mental yang semakin membimbangkan. Oleh itu, pergerakan pengakap perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam menyediakan ruang sokongan, latihan kepimpinan dan aktiviti luar yang dapat membina keyakinan diri serta daya tahan mental. Program kepimpinan, bengkel kemahiran dan projek komuniti ini akan membentuk ahli pengakap menjadi individu yang berani bersuara dan bertindak demi kebaikan bersama.

Bagi Persekutuan Pengakap Malaysia, sambutan Hari Pengasas memberikan ruang kepada pemimpin dan ahli untuk melihat kembali peranan mereka dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin dan berjiwa patriotik. Pengakap Malaysia juga lebih aktif dalam usaha pemuliharaan alam sekitar, program bantuan kepada golongan kurang berkemampuan, serta aktiviti kesedaran kesihatan dalam komuniti setempat.

Aktiviti ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada masyarakat, malah turut mendidik ahli supaya sentiasa peka terhadap keperluan masyarakat setempat. Semangat “Sentiasa Bersedia” dan “Bersedia Berkhidmat” perlu diterapkan agar sentiasa menjadi amalan setiap ahli pengakap sepanjang hayat.

Kepentingan Hari Pengasas juga dapat dilihat dari sudut pembangunan kepimpinan. Melalui aktiviti perkhemahan, ekspedisi dan latihan berkumpulan, ahli dapat meningkatkan kemahiran membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan bekerjasama dalam pasukan. Mereka dididik untuk menghormati perbezaan pendapat serta memupuk sikap toleransi.

Dalam dunia yang sering berhadapan dengan konflik, krisis dan ketegangan kaum, nilai-nilai murni yang diterap dalam prinsip pengakap ini amat perlu bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni.

Sambutan Hari Pengasas merupakan wadah penting bagi memperkukuh perpaduan nasional. Malaysia, yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, memerlukan platform yang mampu menyatukan generasi muda dalam suasana muhibah. Aktiviti berpengakap yang menekankan semangat kebersamaan tanpa mengira latar kaum dan agama berjaya membina hubungan persahabatan yang erat. Dalam program jambori, misalnya, aktiviti perkhemahan mengajar ahli untuk menghadapi cabaran bersama serta mengurangkan jurang perbezaan.

Pada era teknologi digital yang serba canggih, sambutan Hari Pengasas juga boleh dimanfaatkan melalui medium digital. Penganjuran aktiviti yang bersesuaian seperti kursus dan forum dalam talian, kempen Internet selamat, serta kempen media sosial mampu memperluas jangkauan audiens kepada generasi muda yang sememangnya celik digital. Walau bagaimanapun, penggunaan teknologi digital dan aktiviti fizikal perlu diseimbangkan agar interaksi bersemuka terus terpelihara bagi menjamin ketahanan fizikal dan mental ahli.

Secara keseluruhannya, Hari Pengasas bukan sekadar memperingati tarikh ulang tahun kelahiran Baden-Powell, tetapi menjadi platform untuk merenungi kembali kewujudan dan peranan masing-masing dalam struktur besar sistem sosial masyarakat setempat. Hal ini mengingatkan ahli bahawa tanggungjawab mereka bukan hanya terhadap diri sendiri, tetapi juga terhadap masyarakat sekeliling dan dunia secara keseluruhannya.

Semangat yang diasaskan oleh Baden-Powell harus terus dipupuk agar generasi muda mampu menjadi pemimpin berintegriti, berdaya tahan dan mempunyai visi hidup yang jelas.

Kesimpulannya, sambutan Hari Pengasas membawa maksud yang jelas tentang prinsip kebersamaan, kesukarelawanan dan kepimpinan. Melalui penghayatan nilai-nilai murni serta pelibatan aktif dalam aktiviti berpengakap, para ahli dapat memainkan peranan sebagai ejen perubahan yang positif. Marilah kita raikan Hari Pengasas 2026 dengan penuh rasa keinsafan bahawa masa hadapan dunia terletak di tangan generasi muda yang berilmu, berakhlak dan bersedia untuk berbakti.

Penulis ialah Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara serta Pesuruhjaya Komunikasi Korporat dan Perhubungan Strategik, Persekutuan Pengakap Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi