Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah turut serta memeriahkan pesta ini dengan melaksanakan program Bersahabat dengan Kamus (BdK) selama dua hari, iaitu pada 27 dan 28 Mei 2024 bermula pukul 10.00 pagi hingga 5.00 petang di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Program yang berjaya menarik 200 penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat ini diadakan untuk mempromosikan pelbagai kamus terbitan DBP yang sangat berguna kepada masyarakat, khususnya berkaitan dengan negeri Sabah.
Sebagai sebuah institusi yang dipertanggungjawab untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, di samping melestarikan bahasa dan sastera etnik di Sabah, maka DBP Cawangan Sabah telah menyediakan dua aktiviti yang menarik, iaitu Teka Silang Kata Bahasa Sukuan Sabah dan Kuiz “Bah, Kenali Sabah”.
Menurut Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar,
Kedua-dua aktiviti ini bertujuan untuk menggalakkan masyarakat lebih mengenali bahasa, sastera dan budaya etnik di Sabah seperti mengenali Sasterawan Negeri Sabah, tempat menarik, etnik dan budaya, makanan, produk, pesta dan seni berkaitan dengan Sabah.
Tambah beliau,
Aktiviti ini juga memberikan pengetahuan tentang perkataan dalam bahasa Kadazandusun, di samping memberikan pengalaman dan bimbingan kepada peserta tentang cara merujuk kamus dengan betul.
Program yang dikendali oleh Encik Yus Amir Firza Muslimat dan Puan Misyati Bakari serta dibantu oleh beberapa pegawai dari DBP Cawangan Sabah ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
Para pengunjung juga berasa teruja apabila berpeluang menggunakan Kamus Bergambar Bahasa Kadazandusun–Bahasa Melayu dengan teknik yang menarik dan mudah digunakan.
Mengulas lanjut, program BdK ini memberikan pendekatan supaya masyarakat cakna terhadap perkembangan budaya, sastera dan bahasa etnik di negeri Sabah.
Program ini mempromosikan negeri Sabah dan aktivitinya disesuaikan dengan PBAKL agar peserta yang menyertai program ini lebih mengenali negeri Sabah.
Kini, pelantar digital sangat mempengaruhi perkembangan persekitaran dan masa depan masyarakat dengan pelbagai faedah dan maklumat yang menjadikan masyarakat kaya dengan pelbagai pengetahuan.
Namun begitu, perkembangan dunia digital ini menjadi cabaran kepada generasi muda dalam memartabatkan bahasa kebangsaan dan melestarikan bahasa etnik.