Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dan cakna tentang pendidikan rakyat termasuk murid berkeperluan khas dengan membina sejumlah 44 buah sekolah arus perdana yang merangkumi 288 kelas pendidikan khas di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh mengulas kenyataan tersebut dalam ucapan perasmian Majlis Konvokesyen Persijilan Malaysia Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Tahun 2024 di Dewan Damar Sari, dekat Putrajaya, hari ini.
Tambah beliau,
Untuk pembinaan sekolah baharu peringkat sekolah rendah, sekurang-kurangnya enam bilik darjah pendidikan khas akan disediakan dan untuk sekolah menengah pula, sekurang-kurangnya lima bilik darjah pendidikan khas akan disediakan.
“Hal ini merupakan salah satu usaha KPM untuk memastikan keperluan anak-anak terjaga dan kepentingan murid berkeperluan khas dapat dipenuhi,” ulas beliau.
Dalam ucapan yang sama, beliau turut menjelaskan bahawa pihak KPM akan terus berusaha untuk memastikan keperluan pendidikan khas sentiasa dapat disediakan secara holistik di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan kolej vokasional (KV).
Sebanyak 403 orang graduan yang diraikan dalam majlis konvokesyen pada kali ini yang terdiri dari empat buah Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK) melalui Program Vokasional Menengah Atas (PVMA).
Graduan SMPKV yang diraikan termasuklah SMPKV Shah Alam, Selangor; SMPKV Indahpura, Johor; SMPKV Kuantan, Pahang, dan SMPKV Merbok, Kedah. Manakala, SMKPK yang terlibat dalam majlis ini pula ialah SMKPK Persekutuan Pulau Pinang dan SMKPK Bumbung Lima, Pulau Pinang.