4 Jun 2024, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 27 Mei yang lalu, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 telah diumumkan dan menjadi topik utama di media sosial dan dada akhbar. Sebanyak 11,713 daripada 373,525 orang calon berjaya mendapat keputusan yang cemerlang, iaitu gred A, A serta A- dalam semua mata pelajaran.

Pada hakikatnya, SPM bukan penamat dalam penentuan masa depan tetapi peperiksaan tersebut merupakan titik perubahan bagi setiap individu sama ada mengambil keputusan untuk melangkah ke peringkat pengajian lebih tinggi atau sebaliknya.

Namun begitu, masyarakat sering mengangkat cerita tentang individu yang cemerlang dalam pelajaran, tapi individu yang tidak cemerlang disisihkan dan tidak mendapat tempat di mata masyarakat. Masyarakat sering memandang sepi dan tidak memberikan harapan kepada pelajar yang mendapat keputusan yang kurang baik dan kebanyakannya dipandang enteng oleh masyarakat.

Stigma ini perlu diubah. Individu yang tidak bernasib baik dalam pelajaran seharusnya diberikan galakan dan harapan agar mampu bangkit semula daripada kegagalan. Kegagalan merupakan sebahagian daripada proses belajar dan “tumbuh” semula. Kegagalan dalam SPM hanya bererti mungkin belum tiba saatnya atau terdapat jalan lain yang lebih baik menanti. Individu yang menemui kegagalan tidak seharusnya menyerah dan perlu terus percaya pada diri sendiri. Setiap kegagalan merupakan kesempatan untuk belajar dan berkembang. Sama ada mahu melanjutkan pelajaran,atau berhasrat untuk menyertai kursus kemahiran – harus diketahui bahawa setiap keputusan harus diambil dengan sewajarnya.

Kegagalan dalam peperiksaan SPM bukanlah penghujung segalanya, sebaliknya hanyalah satu rintangan kecil yang perlu ditempuh dalam perjalanan untuk mencapai kejayaan akademik. Keputusan yang mungkin mengecewakan itu tidak semestinya menandakan berakhirnya impian pelajar untuk melanjutkan pengajian, sebaliknya merupakan satu titik permulaan untuk mencari jalan alternatif.

Kekecewaan dan kesedihan mungkin melanda apabila tidak menerima sebarang tawaran daripada mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), tetapi kegagalan tersebut bukanlah penamat perjalanan. Masih banyak peluang yang boleh diterokai dan jalan lain yang boleh ditempuhi. Fasa ini merupakan saat yang sesuai untuk membuat refleksi, memperbaik kelemahan dan bersedia untuk mencuba lagi.

Terdapat beberapa pilihan lain selain melanjutkan pengajian di peringkat IPTA seperti kursus kemahiran dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Latihan praktikal yang diberikan dalam kursus TVET membolehkan pelajar mengaplikasikan kemahiran secara langsung dalam persekitaran sebenar industri dan memberikan pengalaman yang sangat berharga.

Selain itu, kursus TVET sering kali lebih terfokus pada bidang kemahiran tertentu, membolehkan pelajar memperoleh pengetahuan mendalam dalam bidang yang diminati. Tambahan pula, graduan daripada program TVET sebelum ini biasanya lebih dicari oleh majikan kerana mereka telah dilatih dengan kemahiran praktikal yang relevan untuk industri tertentu. Oleh itu, walaupun pengajian di universiti mempunyai kelebihannya tersendiri, kursus kemahiran dalam TVET juga mempunyai banyak faedah yang tidak boleh diabaikan.

Pembelajaran kemahiran dalam TVET merupakan pembelajaran seumur hidup yang memberikan tumpuan kepada latihan praktikal yang relevan dengan dunia pekerjaan. Kemahiran yang dipelajari dalam TVET memberikan peluang kepada individu untuk mendapatkan pekerjaan dengan lebih mudah kerana mereka telah dilatih dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri.

Dari sisi lain, walaupun pengajian di peringkat universiti memberikan peluang untuk mendalami ilmu dan teori yang penting, namun perkara tersebut tidak menjamin pekerjaan kerana kekurangan latihan praktikal yang diperlukan oleh majikan. Oleh itu, adalah penting untuk mencari keseimbangan antara teori dan praktikal agar dapat bersaing dalam pasaran kerja yang serba kompetitif.

Kesimpulannya, kedua-dua pendekatan pembelajaran ini mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Yang penting adalah untuk memilih pendekatan pembelajaran yang sesuai dengan keperluan dan matlamat kerjaya individu, serta sentiasa terbuka untuk pembelajaran sepanjang hayat tanpa mengira di mana sumber ilmu itu diperoleh.

Terdapat banyak titik perubahan yang boleh memberikan peluang baharu dan perkara tersebut memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan hala tuju hidup.

Terdapat beberapa tips untuk mengenali jurusan yang sesuai untuk dipilih. Antaranya termasuklah:

1. Mengenali minat dan kekuatan diri

Tinjau minat dan kemahiran anda. Kenal pasti subjek yang paling anda suka dan bidang yang dirasakan paling selesa. Ambil ujian minat kerjaya untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang jurusan yang mungkin sesuai dengan anda.

2. Mengkaji peluang kerjaya

Teliti prospek pekerjaan dalam bidang yang diminati. Kenal pasti sama ada adakah terdapat permintaan tinggi untuk profesion tersebut di pasaran kerja. Pertimbangkan kestabilan kerjaya dan potensi pendapatan dalam bidang tersebut.

3. Menyemak kelayakan akademik

Semak kelayakan akademik yang diperlukan untuk memasuki jurusan yang anda minati. Pastikan syarat-syarat tersebut dipenuhi. Ambil kira juga kemampuan untuk menguasai subjek-subjek yang berkaitan dengan jurusan tersebut.

4. Mempertimbangkan gaya hidup dan lokasi

Fikirkan tentang gaya hidup yang anda inginkan. Kenal pasti sama ada kerjaya tersebut memerlukan anda bekerja di bandar besar, kawasan luar banda atau boleh bekerja dari rumah. Pertimbangkan juga lokasi universiti yang menawarkan jurusan tersebut dan kesesuaian persekitaran dengan keperluan anda.

5. Mendapatkan maklumat dan nasihat

Bercakap dengan penasihat akademik, guru atau kaunselor kerjaya untuk mendapatkan nasihat dan makluman lanjut. Temui profesional dalam bidang yang anda minat dan bertanyakan tentang pengalaman mereka serta cabaran yang dihadapi.

6. Mempertimbangkan fleksibiliti dan perkembangan kerjaya

Pilih jurusan yang menawarkan fleksibiliti untuk berpindah ke bidang lain jika perlu. Pertimbangkan juga peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan peluang untuk pengembangan kerjaya dalam bidang tersebut.

7. Menyemak program universiti

Teliti program dan kursus yang ditawarkan oleh universiti. Pastikan program tersebut mempunyai reputasi yang baik dan menyediakan latihan praktikal atau peluang kerjaya.  Semak juga peluang untuk pertukaran pelajar, latihan industri dan sokongan kerjaya yang disediakan oleh pihak universiti.

8. Mempertimbangkan kewangan

Fikirkan tentang kos pengajian dan sama ada anda mempunyai sumber kewangan yang mencukupi atau boleh mendapatkan biasiswa, pinjaman pendidikan atau bantuan kewangan lain.  Pertimbangkan juga pulangan pelaburan (ROI) untuk jurusan tersebut, iaitu berapa cepat anda boleh mendapatkan pekerjaan dan gaji yang mencukupi untuk menampung kos pengajian anda.

9. Mengambil ujian psikometrik untuk mengenali personaliti diri

Ujian psikometrik membantu pelajar untuk mengenal pasti minat, kekuatan dan kelemahan pelajar. Dengan memahami aspek-aspek ini, pelajar dapat memilih jurusan yang selari dengan minat dan kekuatan mereka yang boleh meningkatkan motivasi dan prestasi akademik. Ujian psikometrik dapat menilai keserasian pelajar dengan jenis pekerjaan yang berkaitan dengan jurusan tertentu.

Selaras dengan hal ini, UiTM menganjurkan Program Ekspo Selangkah ke UiTM, iaitu peluang untuk pelajar lepasan SPM menyambung pengajian dan mengenali program-program yang bersesuaian yang ditawarkan pada 1 dan 2 Jun 2024 lalu yang bertempat di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam. Objektif program ini adalah untuk memberikan pendedahan dan menyalurkan maklumat terkini mengenai program-program yang ditawarkan di UiTM kepada pelajar lepasan SPM agar dapat membuat pilihan yang tepat. Pelajar juga berpeluang untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan daripada staf dan pensyarah bagi pilihan kursus yang diminati.

Semua pelajar lepasan SPM diseru untuk mengambil peluang baik ini agar pelajar dapat membuat pilihan yang tepat dalam pemilihan kursus kelak. UiTM juga telah membangunkan dan menyediakan sistem secara dalam talian yang memberikan pilihan kursus yang sesuai berdasarkan pencapaian pelajar. Semakan secara dalam talian ini memudahkan pelajar untuk membuat pilihan berdasarkan kelayakan semakan UiTM yang ditetapkan. Sistem Semak Syarat Kemasukan UiTM memberikan pilihan sama ada pelajar mahu masuk ke asasi UiTM, program sijil, diploma mahupun ijazah sarjana muda.

Jika peluang untuk memasuki pusat pengajian tinggi masih tertutup, jangan putus asa. Teruskan usaha anda, teroka pelbagai alternatif yang ada dan berikan yang terbaik dalam setiap langkah yang diambil. Mungkin masa depan terbaik anda terletak di luar sana yang menantikan kesungguhan dan ketekunan anda. Jadi, terimalah kegagalan menerima tawaran dari pusat pengajian tinggi sebagai satu cabaran yang menjadikan anda lebih kuat dan bersemangat untuk terus berusaha. Ingatlah, kejayaan sejati ialah hasil daripada ketekunan, kesabaran dan keyakinan yang tidak pernah padam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.