8 Jun 2024, 10:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanjong Malim – Program Harmony, Unity and Innovation for A Sustainable Environment yang dianjurkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerajui kebitaraan pendidikan dalam penghayatan bidang STEM dan konservasi flora dan fauna.

Dr. Adibah Abu Bakar, Penyelaras STEM Nurturing Centre UPSI menyatakan bahawa minat pelajar terhadap sains boleh disuntik semula melalui kaedah yang kreatif dan proaktif.

Slot STEM XPress memberikan peluang kepada peserta untuk melakukan pengekstrakan DNA buah, pembuatan indikator pH menggunakan kubis ungu dan eksperimen ketumpatan bahan.

Selain itu, peserta menyertai slot Forest Lab yang merupakan ekspedisi pembelajaran ekologi yang diadakan di Edu-Forest UPSI. Hutan di bawah seliaan Pusat Transformasi Komuniti Universiti UPSI ini terkenal dengan biodiversiti spesies tumbuhan dan haiwan.

Menurut penganjur, terdapat empat slot intelektual yang menekankan perpaduan dan integrasi mahasiswa tempatan dan antarabangsa dalam menjaga kelestarian alam dan mempromosikan STEM yang menjadi bidang kritikal dalam penyelidikan dan inovasi negara.

Aktiviti Greengoals 101 berjaya memberikan pendedahan mengenai pembangunan mampan yang merupakan satu daripada prinsip menyeluruh yang disokong oleh inisiatif pertumbuhan hijau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mempertingkat kemapanan alam sekitar.

Peserta didedahkan dengan pengasingan sisa sampah, pencemaran, tenaga hijau dan lain-lain melalui aktiviti-aktiviti menarik.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Centre of Biodiversity and Conservation, Profesor Madya Dr. Syakirah berkongsi tentang biodiversiti melalui aktiviti transect dan quadrant yang membolehkan peserta mengenal pasti spesies tumbuhan yang wujud di kawasan berkenaan.

Pokok Keruing Gelombang Merah, Petaling, Hempedu Beruang, Tapak Sulaiman dan Mata Ulat merupakan flora yang menjadi simbolik kepada Malaysia sebagai salah sebuah negara mega diversiti di dunia, khususnya di Banjaran Titiwangsa.

Penerokaan terhadap biodiversiti ditambah lagi dengan lawatan sambil belajar ke Pusat Konservasi Hidupan liar, Sungkai. Pelajar didedahkan dengan hidupan terancam seperti Tenggiling, Rusa Sambar, Merak Hijau, Pegar dan Ungka Tangan Putih di bawah jagaan dan konservasi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia.

Pembantu Hidupan Liar, Stewart Angin memaklumkan bahawa program konservasi seperti pembiakan dalam kurungan dan permanian beradas dijalankan bagi memenuhi rangka kerja Kunming-Montreal, iaitu mengurangkan kepupusan spesies yang disebabkan oleh manusia menjelang tahun 2050.

Masyarakat perlu cakna tentang ancaman kepupusan yang melanda spesies tempatan dan berganding bahu dalam usaha konservasi biodiversiti dengan melaporkan kegiatan pembalakan dan pemburuan haram.

Pada masa yang sama, Pengetua KHAR, Dr. Hj. Che Anuar Che Abdullah melahirkan rasa bangga dengan penganjuran program sebegini mahasiswa diberi pendedahan berkenaan pengetahuan mengenai pemuliharaan ekosistem dengan melalui pengalaman sebenar di lapangan melalui aktiviti dan lawatan yang telah dijalankan.

Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan inovasi pendidikan menjadi kunci utama kepada ekosistem yang lebih lestari.

Katanya, UPSI sentiasa proaktif dalam mendidik anak bangsa ke arah pembangunan mampan bagi memastikan kemandirian spesies flora dan fauna sentiasa dijaga bagi tatapan generasi akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.