18 Julai 2024, 10:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada bulan ini, berlangsungnya satu peristiwa bersejarah yang mewarnai negara, iaitu istiadat pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII yang pastinya menjadi perhatian masyarakat Malaysia. Pada kebiasaannya, istiadat ini berlangsung pada setiap lima tahun, apabila berlakunya penggiliran raja yang dipilih untuk bersemayam atas takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong. Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong telah menjadi tradisi yang diwarisi negara dan penuh dengan upacara yang menjadi kebanggaan rakyat dengan mengangkat nilai budaya negara.

Hasrat istiadat pertabalan ialah untuk menegaskan kedaulatan kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara dalam menzahirkan pengiktirafan dan penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong. Selain itu, istiadat pertabalan ini juga bertujuan untuk menzahirkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk memerintah negara dengan adil mengikut undang-undang dan pada masa yang sama sentiasa menjaga kedudukan agama sebagai mana sumpah baginda mengikut Perkara 37 dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini dapat dilihat pada simbolik penggunaan lambang diraja seperti keris dan pakaian kebesaran serta doa yang dilafazkan.

Seperti yang dimaklumi oleh masyarakat , institusi beraja, termasuklah institusi raja pemerintah di negeri, Majlis Raja-Raja telah sekian lama menjadi tonggak pemerintahan di tanah air ini. Institusi ini telah memainkan peranan penting dalam sejarah sebelum kemerdekaan atau semasa penubuhan, seterusnya selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia. Kebijaksanaan raja-raja yang menjadi rujukan dan pengimbang semasa pentadbiran kuasa asing merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan kita dalam usaha mengekalkan sifat dan ciri warisan negara, seperti agama dan adat resam atau budaya.

Selain daripada memberikan sumbangan kepada negara, institusi beraja juga telah berevolusi sehingga dapat menyesuaikan kedudukannya dalam membentuk dan memerintah negara Malaysia yang moden. Mungkin perkara ini juga boleh diistilahkan sebagai “pengorbanan” institusi beraja.

Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia telah menampilkan kesediaan raja-raja untuk menjadi Raja Berperlembagaan dengan menzahirkan kesediaan baginda untuk memerintah bersama-sama dengan pimpinan demokrasi yang dipilih oleh rakyat dengan sumber kuasa dari Perlembagaan, walaupun punca kuasa asal adalah daripada baginda sendiri. Sebagai bukti, mukadimah kepada semua Undang-undang Tubuh bagi negeri Melayu menyatakan bahawa undang-undang tersebut diisytiharkan atau dianugerahkan oleh raja pemerintah bagi negeri kerana baginda ialah pemerintah tertinggi bagi negeri tersebut.

Sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Negeri dan Persekutuan yang pertama pada tahun 1954 dan 1955, baginda raja-raja memerintah dengan kuasa yang ada kepada baginda. Baginda merupakan sumber utama. Selepas pilihan raya tersebut, raja-raja mula memerintah bersama-sama pemimpin yang dipilih melalui sistem demokrasi. Setelah membentuk Persekutuan Tanah Melayu, selain daripada beberapa perkara, peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri dan Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan raja-raja memerintah dengan menerima nasihat daripada pemimpin demokrasi yang dipilih oleh rakyat. Secara umumnya, inilah yang dikenali sebagai Raja Berperlembagaan. Jika kita menghayati perkara ini, menjadi Raja Berperlembagaan bol;eh dianggap sebagai sebesar-besar pengorbanan yang telah dibuat oleh institusi beraja demi menubuhkan negara dan menyerlahkan pentadbiran moden di Malaysia.

Dengan erti kata lain, raja merupakan punca kuasa kepada semua urusan pentadbiran negara. Walaupun begitu, setelah memberikan perkenan menjadi Raja Berperlembagaan, banyak perkara telah berubah. Sebagai contoh, raja-raja hanya menjadi autoriti yang terakhir dalam meluluskan undang-undang negara dengan memberikan cop mohor serta menetapkan tarikh kuat kuasa undang-undang. Seterusnya, kuasa ini juga telah dimansuhkan dan yang tinggal hanyalah kuasa baginda dalam hal yang berkaitan dengan undang-undang yang melibatkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja (lihat Perkara 38(4) ) serta beberapa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan (lihat Perkara 159(5).

Selain itu, sebelum merdeka, raja pemerintah mempunyai autoriti dalam mentafsir Undang-undang Tubuh Negeri. Namun begitu, setelah menjadi Raja Berperlembagaan, mahkamah diberikan kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mentafsir undang-undang termasuklah Perlembagaan Negeri dan Persekutuan. Bahkan, raja juga merujuk ke mahkamah tentang tafsiran undang-undang. “Yang di-Pertuan Agong boleh merujukkan pada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya berkaitan dengan apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini yang telah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit…” (lihat Perkara 130).

Kita lihat juga hal yang berkaitan dengan konsep rakyat raja dan kewarganegaraan. Semasa rundingan kemerdekaan, timbul isu yang berkaitan dengan kewarganegaraan. Konsep kewarganegaraan ini penting untuk dihayati kerana sebelum merdeka, raja mempunyai “rakyat raja”. Semasa rundingan kemerdekaan, terdapat dua konsep tentang kedudukan rakyat, iaitu melalui istilah kerakyatan dan kewarganegaraan. Kerakyatan ringkasnya merujuk pada tempat seseorang itu dilahirkan dan kewarganegaraan digunakan untuk rakyat dalam konteks negara sebagai entiti politik.

Dengan menerima konsep kewarganegaraan yang satu, iaitu warganegara secara “bersama” atau satu kewarganegaraan antara negeri dengan Persekutuan (common citizenship), maka konsep “rakyat raja” secara langsung dihapuskan. Tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menggunakan istilah kerakyatan kerana hanya menteri berkaitan atau Kerajaan Persekutuan yang berkuasa tentang kewarganegaraan. Hal ini bermaksud, raja-raja telah melakukan “pengorbanan” yang begitu nyata dalam hal yang berhubung dengan rakyat baginda sendiri bagi tujuan membentuk dan membangunkan negara Persekutuan.

Dalam hal ini, institusi beraja bukan sahaja memberikan sumbangan kepada negara, malah turut berevolusi dan berkorban dalam soal kedudukan, kuasa dan peranan baginda demi menjadikan Malaysia sebuah negara moden yang menerima dan mendengar suara rakyat terbanyak, sekali gus menjadi sebuah negara yang bersatu padu.

Oleh hal yang demikian, dalam menerima dan menjadikan institusi beraja yang memerintah berdasarkan Perlembagaan dan amalan semasa, perlulah juga kita menghormati dan menghormati sejarah lampau tentang kedudukan, sumbangan dan peranan institusi beraja. Institusi ini tidak sekadar simbol atau sekadar institusi rasmi semata-mata, malah fungsinya lebih daripada itu. Sekiranya kita sekadar melihat perkara yang tersurat dalam undang-undang, tanpa memahami apa-apa yang tersirat, maka kita akan gagal menghayati dan menghargai institusi beraja dengan sebaik-sebaiknya. Rakyat perlu mengakui akan peranan dan sumbangan institusi beraja termasuklah dari sudut pengorbanannya.

Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz ialah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang telah menulis lebih 50 artikel jurnal dan menulis lebih kurang 500 rencana dalam akhbar dan majalah. Beliau sering diundang oleh pihak media bagi membincangkan isu perundangan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.