Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Rakyat Malaysia hari ini meraikan majlis penuh gilang-gemilang istiadat pertabalan Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang berlangsung dalam suasana penuh tradisi kesultanan dan adat raja-raja Melayu di Balairung Seri Istana Negara, Jalan Tuanku Halim, di sini.
Istiadat pertabalan tersebut merupakan pemasyhuran kepada seluruh dunia bahawa Sultan Ibrahim telah bersemayam di takhta sebagai Ketua Tertinggi Negara yang menggalas tanggungjawab menjadi payung mahkota menaungi rakyat Malaysia untuk tempoh lima tahun.
Pelantikan Seri Paduka Baginda adalah bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari 2024 yang lalu.
Istiadat pada hari ini dilaksanakan mengikut tertib serta aturan protokol yang setiap satu daripadanya mempunyai perlambangan tersendiri, antaranya termasuklah istiadat ketenteraan yang menjadi pembuka bagi istiadat berkenaan yang membawa simbolik bahawa kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.
Kira-kira 700 orang tetamu hadir meraikan istiadat tersebut, termasuklah raja-raja Melayu, Yang DiPertua Negeri, Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri, perwakilan diplomatik asing, serta para pemimpin utama negara.
Turut hadir ialah tetamu diraja dari luar negara, antaranya termasuklah Raja Bahrain, Syeikh Hamad Isa Al-Khalifa; Menteri Kanan Singapura, Hsien Loong; dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah ibni Omar Ali Saifuddien III.
Acara bersempena dengan istiadat pertabalan ini bermula sejak 19 Julai yang lalu, dengan majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Negara dan diikuti dengan khutbah Jumaat khas bertajuk “Raja Ditaati, Negara Dirahmati” yang disampaikan Imam Besar Masjid Negara, Tuan Haji Ehsan Haji Mohd Hosni pada semalam.
Sebagai rekod, pemilihan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (khas) di Istana Negara pada 27 Oktober 2023, dan Seri Paduka Baginda seterusnya mengangkat sumpah jawatan pada 31 Januari 2024.
Istiadat pertabalan yang berlangsung pada hari ini menjadi memori yang cukup indah buat rakyat Malaysia dalam melihat negara tercinta ini diteraju oleh pemimpin berjiwa rakyat pada masa akan datang.
Sumber foto: Ihsan RTM