Oleh Atiqah Abd Rahim
22 Julai 2024, 11:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penulis merupakan penggemar budaya popular dan sedang mengikuti pengajian pada peringkat Doktor Falsafah dalam bidang antropologi sosial di Universiti Malaysia Sabah.

 

Sukan bola sepak sememangnya menjadi kebanggaan dan identiti negara yang berupaya menyatukan rakyat yang berbilang bangsa, agama dan latar belakang sosial. Maka itu, tidak hairanlah apabila pemain bola sepak disanjung dan dihormati, bukan sahaja disebabkan oleh kemahiran mereka beraksi dengan lincah di padang, malah dedikasi pemain untuk mewakili dan meletakkan nama negara pada peringkat antarabangsa menjadi inspirasi kepada masyarakat umum.

Sebahagian daripada kita mungkin masih belum mengetahui tentang sukan bola sepak pada peringkat Piala Dunia yang pemainnya terdiri daripada orang gelandangan. Lebih-lebih lagi apabila Malaysia tidak pernah menghantar wakil pemain, sekali gus liputan tentang perlawanan tersebut kurang mendapat perhatian. Penayangan filem Dream (2023) dan The Beautiful Game (2024) yang mengisahkan penampilan pemain gelandangan dalam Piala Dunia tersebut membuatkan penulis tertanya-tanya akan aspirasi yang diketengahkan bagi mengubah persepsi masyarakat dan mengangkat kedudukan golongan gelandangan pada mata dunia.

Piala Dunia Gelandangan atau Homeless World Cup telah diasaskan oleh Mel Young dan mendiang Harald Schmied yang bertekad untuk mengubah kehidupan gelandangan melalui perlawanan bola sepak, iaitu sukan yang digemari secara universal di seluruh dunia. Kejohanan yang pada pertama kalinya berlangsung di Graz, Austria pada tahun 2003 memberikan peluang kepada pemain gelandangan untuk mewakili negara masing-masing dengan bakat dan keyakinan yang mungkin tidak dapat ditonjolkan di mana-mana platform.

Piala Dunia Gelandangan mempunyai keunikan yang tersendiri, terutamanya dari segi peraturan permainan yang berbeza daripada permainan bola sepak profesional yang biasa. Setiap negara dibenarkan untuk menghantar sebanyak lapan orang pemain bagi setiap pasukan, iaitu satu pasukan lelaki dan satu pasukan perempuan. Empat orang pemain bermain di gelanggang, iaitu tiga orang pemain dan seorang penjaga gol. Manakala, empat orang pemain gantian dibenarkan untuk menggantikan pemain di gelanggang secara bergilir-gilir.

Permainan hanya akan berlangsung selama 14 minit dengan masa pertama berakhir pada minit ketujuh dan selang satu minit sebelum permainan pada masa akhir dimulakan. Saiz padang juga berukuran 22 meter panjang dan 16 meter lebar. Permainan sebegini sudah tentunya lebih sengit dengan jumlah masa yang singkat dan saiz gelanggang yang lebih kecil. Rentetan itu, keseluruhan perlawanan antara negara pada kebiasaannya berlangsung selama seminggu.

Kejohanan tahunan yang unik ini mempertemukan pasukan dari pelbagai negara yang terdiri daripada individu yang mengalami masalah gelandangan, ketagihan atau isu sosial yang lain. Piala Dunia Gelandangan memperlihatkan kekuatan sukan dalam menyatukan manusia daripada pelbagai latar belakang dan perbezaan geografi. Sebagai contohnya, setiap penganjur Piala Dunia mempunyai sebuah pasukan simpanan yang terdiri daripada sepuluh orang pemain termasuklah dua orang penjaga gol yang berasal dari pelbagai negara.

Mereka akan bermain untuk mana-mana pasukan yang kekurangan pemain sekiranya terdapat lebih daripada tiga orang pemain dalam pasukan mengalami kecederaan. Proses permohonan untuk menggunakan pemain simpanan hendaklah dikemukakan secara bertulis kepada pengarah kejohanan. Pasukan yang memerlukan pemain simpanan juga tidak boleh menuntut seorang pemain tertentu. Pemain simpanan tersebut kemudiannya memakai jersi pasukan yang mereka sertai dan bermain untuk pasukan tersebut dalam beberapa perlawanan mengikut keperluan. Mengambil contoh yang mudah ialah apabila pemain simpanan dari Brazil dan Jerman perlu menggantikan pemain pasukan Korea Selatan yang pada ketika itu mengalami kecederaan, seperti yang disaksikan dalam filem Dream.

Piala Dunia Gelandangan turut berfungsi sebagai medium untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu gelandangan. Kejohanan dunia tersebut menarik perhatian media, organisasi dan komuniti yang terlibat untuk membuka ruang perbincangan tentang cara penyelesaian yang berkesan dan keperluan sokongan kepada mereka yang memerlukan. Rakaman dokumentari dan penayangan filem dari beberapa negara menjadi satu daripada cara untuk mencetuskan kesedaran terhadap cabaran yang dilalui oleh golongan gelandangan. Pendedahan kisah hidup mereka melalui media dan acara langsung sepanjang berlangsungnya Piala Dunia Gelandangan berupaya memberikan impak yang besar dalam kehidupan peserta.

Pemain juga berpeluang untuk membina semula keyakinan diri, memperbaiki kesihatan fizikal dan mental, serta membina kemahiran sosial yang begitu penting sebagai titik permulaan untuk keluar daripada kitaran kemiskinan dan memulakan kehidupan baharu yang lebih baik. Banyak cerita kejayaan yang memperlihatkan bekas peserta berjaya mengubah kehidupan mereka dengan tawaran pekerjaan yang diterima dan membina kehidupan yang lebih stabil serta bermakna. Antaranya termasuklah bekas kapten pasukan Korea Selatan yang pernah bertanding pada tahun 2010 dan merancang untuk bekerja sebagai pemandu bas selepas berakhirnya Piala Dunia Gelandangan.

Melalui proses persediaan dan semasa berlangsungnya perlawanan, pemain mempunyai peluang untuk menunjukkan nilai dan potensi di hadapan penonton antarabangsa, iaitu sesuatu yang mungkin tidak pernah mereka bayangkan sebelum ini. Penyertaan peserta dalam Piala Dunia bukan sahaja menyerlahkan semangat kesukanan pasukan dalam menghadapi lawan yang lebih kuat, malah memberikan mereka semangat untuk terus berjuang demi mencapai matlamat hidup walaupun dalam keadaan yang sukar.

Piala Dunia Gelandangan membawa bersama-sama semangat kesukanan, kemanusiaan dan kesedaran sosial dalam satu platform yang unik. Piala Dunia ini juga menjadi simbol harapan, perubahan dan peluang untuk mengubah kehidupan golongan yang kurang bernasib baik. Sokongan masyarakat mampu mengubah pandangan dunia terhadap golongan gelandangan dan membuktikan bahawa semua orang berhak untuk mendapatkan peluang dalam mengejar impian mereka tanpa mengira latar belakang atau kedudukan sosial. Piala Dunia Gelandangan mengingatkan kita betapa pentingnya empati, sokongan dan peluang kedua untuk membina masyarakat yang lebih adil dan inklusif.

Piala Dunia Gelandangan edisi ke-19 bakal berlangsung di Universiti Hanyang, Korea Selatan pada 21 September hingga 28 September 2024. Sebanyak 64 buah pasukan daripada 49 negara anggota berdaftar bakal bertanding di Korea Selatan, iaitu negara Asia yang pertama menjadi tuan rumah sejak penubuhan kejohanan pada tahun 2003. Sama-samalah kita berikan sokongan terhadap Piala Dunia Gelandangan sebagaimana kita menyokong perlawanan Liga Piala Dunia. Layari laman sesawang utama (https://www.homelessworldcup.org/) untuk maklumat lebih lanjut tentang perlawanan dan kisah hidup pemain gelandangan.

Kredit foto: Peter Glaser | Unsplash

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.