31 Julai 2024, 14:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kecenderungan ramai pihak yang beranggapan bahawa membina sebuah negara bangsa hanya dapat direalisasikan dengan pembabitan sektor tertentu, menyebabkan peranan wanita dalam sesuatu bidang tidak begitu diiktiraf. Sumbangan wanita dari pelbagai aspek kehidupan seperti ekonomi, sosial dan politik di kebanyakan negara di dunia sebenarnya begitu dominan sehingga muncul nama-nama besar seperti Magaret Thatcher (mantan Perdana Menteri United Kingdom), Indra Ghandi (mantan Perdana Menteri India), Corazon Aquino (mantan Presiden Filipina) dan beberapa nama lain yang menjadi sinonim kepada kepimpinan dunia.

Senario ini telah mempengaruhi sistem pentadbiran di Malaysia, yakni kaum wanita turut diberi peluang dalam menjawat jawatan penting dalam kabinet seperti Tan Sri Rafidah Aziz yang mengetuai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam tempoh yang lama, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang muncul sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama di negara ini dan banyak lagi tokoh wanita lain yang telah mengisi ruang dalam pentadbiran negara. Hal ini menunjukkan isu yang mengatakan bahawa wanita tidak mampu mentadbir sebagai tidak tepat kerana wujud perbahasan oleh para ulama berhubung dengan tafsiran hadis berkenaan kepimpinan wanita. Hal ini terakam dalam al-Quran, Surah An-Naml (27:42-44), yakni Allah SWT memberikan pengiktirafan terhadap kebijaksanaan seorang Raja daripada kaum wanita dalam bidang kepimpinan.

Sejak merdeka, pelbagai usaha dijalankan oleh kerajaan bagi memperkasakan peranan dan kepimpinan wanita, terutamanya ketika pelancaran Pelan Kebangsaan Malaysia 1980. Seterusnya, pelan pembangunan wanita terus ditambah baik secara lebih tersusun dan bersasar bagi menunjukkan komitmen kerajaan dalam usaha ini. Oleh itu, pada tahun 2004, kerajaan mengumumkan perlaksanaan dasar 30 peratus keterlibatan wanita dalam memegang jawatan kepimpinan utama sebagai pembuat keputusan dalam sektor awam. Perlaksanaan dasar ini memperlihatkan peningkatan sebanyak 37.6 peratus pada tahun 2019 berbanding dengan 18.8 peratus pada 2004. Seterusnya pada tahun 2020, menerusi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) telah membuka ruang kepada wanita agar bergiat lebih aktif dalam sektor buruh apabila kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita dinaikkan kepada 56.5 peratus.

Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) berusaha untuk mengakhiri diskriminasi terhadap wanita dalam semua aspek.

Namun begitu, realitinya penguasaan kepimpinan wanita masih jauh untuk mencapai tahap 30 peratus seperti yang telah dipersetujui oleh negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan konvensyen antarabangsa seperti Beijing Declaration and Platform for Action dan Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Againt Women (CEDAW). Secara tidak langsung hal ini memberikan gambaran bahawa kerajaan perlu mempertingkatkan usaha dalam memperkasakan potensi diri wanita khususnya dalam aspek kepimpinan politik dan ekonomi.

Atas permasalahan inilah, Guillaume membahaskan hadis-hadis yang berkaitan dengan wanita di dalam bukunya yang bertajuk The Traditions of Islam (1966) dengan mengkritik Islam berdasarkan sebilangan hadis yang telah ditafsirkannya sebagai anti-wanita. Beliau juga mengistilahkan “merendahkan wanita” (woman-demeaning) dan “pernyataan tidak mesra wanita” (woman-unfriendly) terhadap sanad hadis yang dibacanya.

Karya Alfred Guillaume yang memaparkan salah faham terhadap Islam dalam isu wanita.

Secara tidak langsung perkara ini telah mempromosikan diskriminasi dan penindasan Islam kepada golongan wanita. Walhal perkara ini adalah tidak benar, kerana Nabi Muhammad SAW melindungi hak-hak wanita seperti yang ditekankan dalam al-Quran dan sunah. Perlu diingatkan bahawa tidak wujud perbezaan antara lelaki dengan wanita kerana baginda memberikan mereka hak yang sama bagi memperoleh pendidikan; memberikan komitmen dan tanggungjawab; memelihara kehormatan diri; menerima ganjaran dan hukuman ke atas perbuatan mereka dan kedua-duanya bertanggungjawab untuk semua tindakan yang diambil.

Bahkan, para sahabat juga tidak dibezakan berdasarkan jantina mereka. Begitu juga dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wanita itu adalah pemimpin dalam rumah tangganya dan bertanggungjawab tentang kepimpinannya”. (Hadis riwayat Bukhari). Hal ini jelas menunjukkan bahawa Islam memartabatkan wanita dan tidak membezakan mereka dengan lelaki.

Perkara ini turut menggambarkan bahawa Islam memperkasakan (empowering) dan mengiktiraf kedudukan wanita menerusi keupayaan mereka dalam cabang ilmu, bahkan dalam cabang yang lain juga sama. Keadaan ini berbeza daripada konsep memperkasakan tajaan Barat terutamanya menerusi gerakan Feminisme, yakni keinginan dalam membebaskan wanita daripada cengkaman patriarki (monopoli lelaki) tetapi slogan yang diketengahkan hanya meletakkan isu wanita sekitar seksualiti dan desakan bagi kepentingan hawa nafsu semata-mata.

Penulis buku ini beranggapan bahawa tidak ada gender yang lebih dominan kerana masing-masing mempunyai kesaksamaan.

Pada mereka, wanita hanya berkuasa apabila bebas melakukan apa-apa sahaja dan hanya apabila berada pada posisi tertinggi. Hal ini menimbulkan persoalan, iaitu adakah wanita dilihat tidak terbabit dalam kepimpinan hanya disebabkan mereka tidak berada di posisi teratas? Persepsi sebegini haruslah diubah. Menurut John C. Maxweel dalam bukunya, The 360 Degree Leader: Developing Your Influence from Anywhere in the Organization Hardcover menyifatkan perkara sebegini sebagai mitos. Baginya, tidak kira jawatan apa-apa sekalipun, andai berjaya mempengaruhi orang lain, maka mereka dilihat sebagai mampu memainkan peranan sebagai pemimpin.

Selain itu, dalam membangunkan negara bangsa Malaysia, kaum wanita juga merupakan teman dan rakan dalam perjuangan politik agar merubah landskap negara ke arah negara Rahmatan Lil Alamin. Menurut Abul A’la Mawdudi, wanita harus dilibatkan dalam urusan politik dan negara secara langsung. Tambah al-Mawdudi lagi, wanita tidak harus terlalu menumpukan tanggungjawab terhadap keluarga semata-mata sehingga lupa tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara. Beliau turut menyarankan agar golongan wanita meluangkan sedikit masa dan tenaga dengan kerja-kerja dakwah bagi memerangi unsur jahiliah menerusi hak untuk berpolitik bagi mengukuhkan dan menegakkan syiar Islam.

Hal ini jelas membuktikan bahawa kesanggupan wanita untuk terjun ke dunia politik bagi mencerminkan kesediaan mereka untuk bertarung dalam gelanggang terbuka dan membayangkan kesanggupan dan kemahiran berpolitik yang tinggi. Sumbangan wanita cukup besar dalam mempengaruhi kemajuan dan kelangsungan politik dan ekonomi negara. Oleh hal yang demikian, dengan idea dan pemikiran yang disumbangkan akan membawa kepada pembangunan infrastruktur dan mekanisme pemerintahan yang unggul dan ketangkasan ekonomi dan pertumbuhan yang memberangsangkan.

Menyedari hakikat ini, maka wanita haruslah mengubah paradigma untuk melihat bahawa mereka juga mampu bersama-sama setaraf dengan lelaki dalam semua keadaan. Dalam Islam, ketokohan Saidatina Khadijah sebagai tokoh korporat dan ahli perniagaan yang berjaya menjadi inspirasi wanita dan lelaki manakala, ketokohan Aisyah sebagai ilmuwan dan pakar rujuk kepada para sahabat dan keluarga Rasulullah SAW telah membuktikan bahawa Islam meletakkan wanita pada tempat yang tinggi.

Persoalannya, adakah negara bangsa Malaysia bersedia diterajui oleh kepimpinan wanita hebat pada masa hadapan? Sudah pasti banyak perubahan yang harus dilakukan dalam usaha mencipta sejarah baharu bagi meletakkan wanita di kerusi nombor satu dalam barisan kabinet seperti yang dilakukan oleh Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Dr. Mohd Ammyrul Ashraf Sairan, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Kolej Sains dan Sastera, Universiti Utara Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.