Oleh Fenny Liging
1 Ogos 2024, 09:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Dr. Arthur Chung menyampaikan hadiah kepada johan Pertandingan Pidato Perhutanan, diiringi oleh Pengerusi Induk JK Pidato, En. Karim Abdul Samad dan Pegawai Perhutan, Encik Nesesius Nasir.

Kota Marudu – Bersempena dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021–2025, Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) dengan jayanya mengadakan Pertandingan Pidato dan Kuiz Perhutanan Peringkat Wilayah Perhutanan Kudat.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arshad, Kota Belud telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pidato Peringkat Wilayah Perhutanan Kudat 2024, semalam.

Pertandingan yang dilaksanakan di Bilik Konferen, Hotel Marudu Inn, Kota Marudu ini merupakan anjuran bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS).

Menurut penganjur, objektif pertandingan ini adalah untuk memberikan maklumat yang tepat kepada pelajar dan masyarakat pendidik mengenai pengurusan hutan di Sabah, membudayakan pemikiran kritis dan rasional dalam kalangan pelajar dan masyarakat pendidik agar dapat menjadi duta penyampaian maklumat kepada masyarakat umum, serta melatih kemahiran berpidato dan berhujah dalam kalangan para pelajar.

Timbalan Konservator Hutan, JPS, Dr. Arthur Chung merasmikan Pertandingan Pidato dan Kuiz Perhutanan Peringkat Wilayah Perhutanan Kudat.

Pertandingan yang dirasmikan oleh Dr. Arthur Chung, Timbalan Konservator Hutan (Penyelidikan dan Pembangunan), JPS.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata,

Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di seluruh Malaysia, khususnya Sabah yang menyasarkan penanaman 40 juta pokok merupakan serampang dua mata.

“Di samping menyokong pelaksanaan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di peringkat nasional, usaha menanam 40 juta pokok ini diharapkan akan dapat menjamin sumber bekalan mentah yang mencukupi kepada industri yang berasaskan kayu di Sabah dalam jangka yang panjang.

Rakaman gambar kenang-kenangan juri pertandingan dari UMS dan DBPCS bersama-sama pihak JPS.

Mengulas lanjut, peserta pertandingan itu melibatkan empat daerah di bawah Wilayah Perhutanan Kudat, iaitu daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas dan Kota Belud.

Pelajar dari SMK Arshad, Kota Belud telah merangkul gelaran johan Pertandingan Pidato dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM500 bersertakan plak penghargaan.

Johan pertandingan akan mewakili Wilayah Perhutanan Kudat dalam pertandingan peringkat negeri yang bakal diadakan pada bulan Oktober nanti.

Naib johan pula dimenangi oleh pelajar dari SMK Tandek, Kota Marudu, manakala tempat ketiga dan tempat keempat masing-masing dimenangi oleh pelajar dari SM St. Peter, Kudat dan SMK Pinggan-Pinggan, Pitas.

Dalam perkembangan acara yang sama, turut diadakan Pertandingan Kuiz Perhutanan Peringkat Wilayah Perhutanan Kudat yang dimenangi oleh pelajar dari SMK Pinggan-pinggan, Pitas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.