3 Ogos 2024, 13:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bergambar kenang-kenangan bersama-sama pelajar cemerlang SMK Tuanku Lailatul Shahreen, Jalan Padang Behor, Kangar.

Kuala Lumpur – Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan meraikan pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen, Jalan Padang Behor, Kangar dalam Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan dan Hari Kokurikulum Sesi Akademik Tahun 2024.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengetua Sekolah, Puan Lili Mariam Mohammad@Mokhtar dan Timbalan Pengarah Pendidikan Perlis (Sektor Pengurusan Sekolah), Encik Hamidi Md Saad.

DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah berkenan menyempurnakan simbolik perasmian hari anugerah cemerlang tersebut dan mengurniakan Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) kepada Affan Abqari Abdul Razak.

Beliau merupakan Tokoh Nilam Bahasa Melayu Negeri Perlis, Johan Deklamasi Sajak Bulan Kebangsaan dan merupakan penerima Anugerah Pelajar Harapan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dan telah mendapat keputusan 9A bagi peperiksaan SPM tahun 2023.

Dalam perkembangan sama, baginda turut berkenan untuk menyempurnakan Pengurniaan Anugerah Pencapaian Terbaik SPM 2023 kepada 22 orang pelajar dan Pengurniaan Anugerah bagi Harapan Akademik, Anugerah Kecemerlangan Sukan, Anugerah Kecemerlangan Koakademik dan Anugerah Kepimpinan Murid kepada empat orang pelajar.

Menurut Puan Lili Mariam, pelbagai program telah dirancang untuk meningkatkan prestasi murid. Antaranya termasuklah kelas tambahan, kelas tambahan berfokus, Program Mentor-mentee, Program Cuti-cuti Cari Ilmu, Bengkel Teknik Menjawab, dan Kem Kecemerlangan. Menurutnya lagi:

Saya berharap agar dengan kerjasama dan kesungguhan daripada semua pihak, iaitu guru, murid, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), dan Jabatan Pendidikan Negeri, sekolah ini akan terus meningkatkan kecemerlangannya pada tahun berikutnya.

Untuk rekod, sekolah berkenaan telah berjaya memperoleh kelulusan 100 peratus dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.44 berbanding dengan tahun 2022, iaitu sebanyak 3.60 bagi SPM tahun 2023.

Sebanyak dua orang pelajar berjaya memperoleh 9A, enam orang pelajar mendapat 8A, tujuh orang pelajar berjaya memperoleh 7A dan 6A, manakala selebihnya pula memperoleh 5A ke bawah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.