5 Ogos 2024, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
YBhg. Dato’ Nor Sham Rahman menerima kunjungan hormat daripada Dewan Bahasa dan Pustaka yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed di Pejabat SUK Negeri Perak, hari ini.

Ipoh – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak bagi membincangkan pelaksanaan Majlis Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2024.

Delegasi DBP yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed telah disambut baik oleh Timbalan SUK Negeri Perak (Pengurusan), YBhg. Dato’ Nor Sham Rahman bersama-sama pegawainya dan seterusnya merakamkan gambar kenang-kenangan di Anjung Pejabat SUK Negeri Perak.

Pelbagai pengisian program diutarakan kepada YBhg. Dato’ Nor Sham tentang Majlis Sambutan BBK 2024 yang bakal diadakan pada bulan Oktober akan datang.

Dalam sesi pertemuan pada petang itu, YBhg. Dato’ Nor Sham berkata,

Kami dari Pejabat SUK Negeri Perak bersedia bersama-sama DBP untuk menjayakan Majlis Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 yang akan dilaksanakan di negeri kami, Perak Darul Rizduan pada bulan Oktober nanti.

Sementara itu, Tuan Haji Mohd. Salahuddin berkongsi bahawa terdapat pelbagai pengisian program akan diadakan bersempena dengan Majlis Sambutan BBK 2024 yang merangkumi tiga komponen utama, iaitu Majlis Pelancaran BBK 2024, Semarak Bahasa dan Sastera, serta Pameran dan Jualan.

Ujar beliau,

Antara kegiatan menarik yang dilakukan, termasuklah Program Eksplorasi Bahasa, Ekspresi Muzik Jalanan, Seronoknya Membaca dan Malam Bahasa Jiwa Bangsa.

Dengan tema Majlis Sambutan BBK 2024, ‘Bahasa Jiwa Bangsa’, dapat memugarkan semula semangat cinta akan bahasa Melayu dan mengukuhkan integrasi nasional.

Delegasi DBP yang turut hadir ialah Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah Md. Yunus; Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Armin Azhari Salleh; Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP, Puan Norhasmanalinda Mustapa; serta pegawai dari Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja dan Bahagian Penguatkuasaan DBP.

Selain itu, kunjungan hormat turut dihadiri oleh Pegawai Daerah dan Tanah Kinta, Encik Zulhisham Ahmad Shukori, Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Dr. Haji Mohd Taufik Haji Ahmed dan Penolong Setiausaha Kerajaan 4 (Penyelarasan Daerah), Bahagian Khidmat Pengurusan, Puan Nurul Nadiah Ahmad Roslan.

Sebagai tanda jalinan kerjasama dan penghargaan, pertukaran cenderamata daripada kedua-dua pihak turut dilakukan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.